Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


PENCULIKAN KEDUA DARI SABAH MEMALUKAN

Sangat memalukan bahawa penculikan telah berlaku buat kali kedua di Sabah. Kali ini tiga orang, kesemuanya orang tempatan, telah diculik daripada pulau peranginan Pindanan. Sekali lagi kumpulan Abu Sayyaf dipercayai telah melakukannya.

Selepas peristiwa yang pertama manakala 14 orang, termasuk pelancong asing, telah diculik dari Sipadan, kerajaan telah memberi jaminan tegas perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi. Sekarang ia berulang, hanya beberapa hari selepas kumpulan terakhir yang diculik dulu dibebaskan. Ini membuktikan betapa lemah dan tidak cekap penjagaan keselamatan sempadan Malaysia. Kerajaan patut mengambil tanggungjawab penuh.

Kerajaan sering menyatakan bahawa ia merancang untuk menjadikan pelancongan sebagai salah satu sumber penting pendapatan negara. Peristiwa seperti ini tidak akan membantu. Selepas penculikan pertama, Perdana Menteri sendiri menjamin bahawa pelancongan negeri ini tidak akan terjejas. Selepas peristiwa kedua ini, bolehkan beliau memberi jaminan yang sama, sekurang-kurangnya untuk Sabah?

Sudah cukuplah cakap dan janji. Keselamatan sempadan adalah perkara penting. Sudah sampai masanya pihak kerajaan melakukan sesuatu yang berkesan. Sebagai permulaan hendaklah dibentuk sebuah badan petugas untuk mengkaji, merancang dan melaksanakan apa yang patut dibuat.

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
12hb September 2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com