Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


Isu Royalti Minyak: Respons Kepada Artikel Pemuda PAS Terengganu Beku?

Assalamualaikum tuan webmaster PAS Terengganu/Tranung Kite, tolong siarkan jika bermanfaat.

Saya merujuk kepada artikel Isu Royalti: Pemuda PAS Terengganu Beku? tulisan Abdul Rahman Auf dan responds oleh Sdr. Aris Awang bertajuk Respons: Sebenarnya Pemuda PAS Terengganu Tidak Beku.

Apa yang dapat saya faham artikel pertama menunjukkan keluhan seorang anak jati Terengganu tentang kelembapan pemuda PAS Terengganu menanggani isu Royalti Minyak. Manakala respons dari Sdr. Aris Awang cuba mempertahankan kelemahan tersebut sebagai betul dan bersesuaian dengan keadaan sekarang dimana PAS menjadi kerajaan di Terangganu.

Saya juga anak jati Terengganu.

Suatu yang wajar dipersoalkan disini ialah apakah bentuk tindakan yang wajar diambil oleh Pemuda PAS Terengganu dan sejauh manakah Pemuda PAS Terengganu telah bertindak menanggani isu ini. Apakah Pemuda PAS wajar berdemonstrasi lagi setelah memerintah negeri? Atau apakah mereka perlu menerokai tindakan-tindakan lain yang lebih berkesan?

Kalau kita perhatikan laporan akhbar mainstream dan media TV, memang kita akan akui tiada langsung kerana kalau adapaun mereka tak akan buat cover-up. Tetapi dalam media alternatif pun kita dapati laporan tentang peranan Pemuda PAS ini amat kurang atau mungkin boleh dikatakan tiada. Kalau ada, tentulah tempiasnya akan tersiar di laman-laman internet dan akhbar-akhbar alternatif.

Memang diakui Pemuda PAS tidak harus bertindak semberono yang boleh meninggalkan beban kepada parti dan kerajaan negeri. Tetapi dalam keadaan sekarang Pemuda PAS Terengganu tidak harus berdiam diri. Mereka hendaklah meneroka tindakan-tindakan yang wajar dan bersesuaian dengan peranan mereka sekarang sebagai sayap kanan sebuah parti yang kini memerintah kerajaan negeri. Biarlah tindakan rundingan antara kerajaan, penjelasan dan taklimat kepada pegawai dan kakitangan kerajaan negeri diserahkan kepada pimpinan kerajaan negeri. Tetapi penerangan dan penjelasan kepada masyarakat umum di Terengganu serta usaha meraih sokongan diatas isu ini, maka wajar peranan itu diserahkan kepada Pemuda PAS Terengganu untuk menjuarainya agar kehadiran mereka dipersada politik negeri Terengganu dirasai oleh masyarakat. Mereka boleh turun ke peringkat daerah-daerah menjelaskan kepada masyarakat perkara ini. Mungkin rakyat Terengganu keliru sekarang ini samada kerajaan negeri boleh meneruskan dasar kebajikan mereka ataupun tidak setelah wang royalti ini dinafikan haknya untuk kerajaan negeri? Bagaimana kemampuan kewangan kerajaan negeri selepas ini? Banyak persoalan yang membuku difikiran masyarakat dan cuma dimanipulasi oleh UMNO melalui media-media utama mereka. Kalau tidak ditangani dengan baik, UMNO yang akan mendapat advantage. Kalau bukan Pemuda PAS Terengganu mengambil peranan ini siapa lagi?

Selain itu, Pemuda PAS Terengganu boleh menganjurkan program seperti seminar dan simposium tentang Akta Petroleum dan Isu Royalti dengan menjemput pakar-pakar yang boleh berbincang dari berbagai aspek seperti undang-undang, persempadanan antarabangsa dan perairan, islam terutamanya zakat, mengkaji kes-kes negara lain berkaitan royalti petroleum jika ada dan sebagainya. kemudian jemputlah peserta-peserta dari berbagai kelompok seperti parti politik, NGO, universiti, agensi dan industri berkaitan dari dalam dan luar negeri. Jemput sama badan-badan antarabangsa yang mengkhusus dalam aspek keadilan dan sosial sebagai pemerhati dan juga peserta. Jelaskan kepada mereka dengan penuh keyakinan ketidakadilan yang telah dilakukan oleh kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri dan rakyat terengganu. Dan minta mereka memainkan peranan secara profesional mendesak kerajaan pusat dan petronas mengembalikan semula hak kerajaan negeri.

Saya yakin Sdr. Zakaria Dagang dan Sdr. Ariffin Deraman yang memimpin Pemuda PAS Terengganu mampu melakukan ini. Perkara ini akan menjadi lebih mudah sekiranya YB Dr. Syed Azman MP Kuala Terengganu turut sama membantu.

Seroding


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com