Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Sandiwara “Konfrontasi Malaysia-Indonesia II” sudah bermula??

Assalamualaikum,

Hatta al-kisah pada hari Ahad 27 Ogos 2000 berlakulah letupan grenade di kawasan halaman Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta. Beberapa hari kemudiannya, iaitu pada 31 Ogos telah berlaku pula demonstrasi anti-Malaysia di hadapan Konsulat Malaysia di Pontianak. Bagunan konsulat tersebut dilaporkan telah dibaling batu oleh para pendemo.

Ada saya menulis sebelum ini tentang kemungkinan dipentaskan sandiwara berjodol “Konfrontasi Malaysia-Indonesia II” tajaan dan arahan bersama Dr Mahathir dan Gus Dur. Juga kemungkinan semasa lawatan Lee Kuan Yew baru-baru ini, satu lagi sandiwara krisis hubungan dua hala Malaysia-Singapura telah dipersetujui untuk dipentaskan. Mungkinkah peristiwa letupan grenade dan demonstrasi anti Malaysia yang berlaku di perwakilan diplomatik kita di Jakarta dan Pontianak itu merupakan babak-babak permulaan pementasan sandiwara “Konfrontasi Malaysia-Indonesia II”??

Seperti yang telah saya nyatakan, tujuan diujudkan sandiwara konflik dengan negara jiran tersebut adalah untuk membakar semangat nasionalisma dikalangan rakyat dalam pada mana rakyat diharap akan melupakan segala sengketa dan kebencian antara sesama sendiri dan bersatu serta berdiri teguh dibelakang Dr Mahathir dan kerajaan BN dalam menghadapi "ancaman" dari Indonesia itu. Ini memangnya antara helah yang lazim digunakan untuk, samada memulihkan sokongan rakyat terutamanya orang melayu terhadap kepimpinan negara, atau mengalihkan pandangan rakyat dari pelbagai masalah dalaman yang serius yang sedang memporak-perandakan negara.

Samada letupan grenade dan demonstrasi di dua perwakilan diplomatik kita di Indonesia itu adalah sandiwara atau sebaliknya akan menjadi jelas dari perkembangan-perkembangan seterusnya. Sama-sama kita tunggu episod-episod selanjutnya untuk membuat kesimpulan masing-masing.

Sementara menantikan episod-episod seterusnnya, mari kita renung kembali kepada krisis hubungan dua hala dengan Britain yang tercetus di pertengahan tahun-tahun 80an yang telah memuncak kepada dasar “Buy British Last” dan dasar “Look East Policy”. Krisis dengan pihak British tersebut timbul tatkala Malaysia, yang kaya dengan sumber-sumber aslinya termasuk minyak petroleum, sedang menghadapi masalah kemerosotan ekonomi buat pertama kalinya yang juga merupakan cabaran serius yang pertama yang dihadapi oleh Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Setiap hari semasa krisis itu Dr Mahathir yang dicanang-canangkan sebagai “wira” dunia ketiga itu telah bertikam lidah dan membelasah Perdana Menteri Britain ketika itu, ‘Iron Lady”, Margaret Thatcher. Ramai rakyat Malaysia begitu seronok dan megah melihat Britain yang dahulunya menjajah Malaysia digambarkan oleh media tempatan sebagai melutut kepada Dr Mahathir.

Hanya sebilangan kecil rakyat pada ketika itu termasuk pemimpin dan penyokong PAS, DAP dan PRM yang terhidu sesuatu yang tidak kena. (Pada masa itu Parti Keadilan belum ujud). Pihak pembangkang telah dengan tepatnya membuat kesimpulan bahawa yang sedang berlaku sebenarnya lakonan sandiwara box office Dr Mahathir dan Margaret Thatcher untuk alih pandangan rakyat dari kemerosotan eknomi yang dialami ketika itu oleh kedua-dua negara. Britain juga sedang menghadapi kemerosotan ekonomi dengan angka pengganguran melebihi 20 peratus.

Krisis hubungan dengan Britain yang begitu hangat itu telah berakhir secara anti-climax. Dr Mahathir telah singgah di London, dan Margaret Thatcher telah ambil kesempatan mengadakan majlis keraian di luar jadual (unscheduled) untuk Dr Mahathir. Di majlis keraian tersebut, Dr Mahathir yang hanya dua tiga hari sebelum itu dilaporkan mencaci dan menyindir Margaret Thatcher dengan seteruk-teruknya telah berbaik semula. Begitu mudahnya Dr Mahathir mengalah hinggakan ramai dikalangan rakyat Malaysia yang tercenggang-cenggang dan binggong dibuatnya. Saya ingat lagi seorang yang bergelar Dato melepaskan komen, “agaknya Margaret Thatcher kasi Dr Mahathir makan nasi kangkang.”

Beberapa tahun selepas itu baru diketahui (itu pun dikalangan segelintir rakyat golongan atasan yang dapat ‘inside information”) bahawa krisis dengan Britain itu sememangnya sandiwara. Diketahui bahawa sedang Dr Mahathir dan Margaret Thatcher sibuk hentam-menghentam, rupa-rupanya di belakang pentas (back stage) suku-sakat dan kroniputera Dr Mahathir secara diam-diam dan sembunyi-sembunyi mengadakan ‘hubungan sulit’ dengan syarikat-syarikat British dimana Denis Thatcher punyai kepentingan. Dan lahirlah beberapa projek usahasama semasa rakyat dihasut untuk menentang dan membenci Britain. Denis Thatcher adalah suami Margaret Thatcher. Bijak sungguh Dr Mahathir dan Margaret Thatcher berlakon untuk tutup amalan nepotisma mereka.

Berasaskan sandiwara ‘Buy British Last’ tersebut, maka tidak akan menghairankan kalau-kalau Dr Mahathir dan Gus Dur sudah pun sama-sama menulis skrip sandiwara ketegangan dan konflik berjodol “Konfrontasi Malaysia-Indonesia II”. Kedua-dua pemimpin ini sedang menghadapi masalah kehilangan sokongan dan kepercayaan rakyat yang amat serius. Sandiwara “Konfrontasi Malaysia-Indonesia II” bukan sahaja berkemungkinan memulihkan sokongan rakyat tetapi juga mengalihkan pandangan rakyat dari berbagai masalah rumit yang sedang memporak perandakan kedua-dua negara.

Tapi apa pula menafaatnya kepada Singapura jika dilakonkan sandiwara konflik dengan Malaysia??? Insya Allah akan saya kemukakan nanti dalam artikel lain. Sebenarnya sudah siap, tapi seperti biasa saya karang terlebeh dahulu dalam Bahasa Inggeris, dan maseh sedang berusaha menterjemahkannya tanpa hilang “nuances’. Masalah saya (masalah golongan yang melebehi setengah abad dengan pendidikan hampir sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris ) adalah saya lebeh selesa berfikir, bercakap dan menulis dalam Bahasa Inggeris. Saya bermimpi pun dalam Bahasa Inggeris. Tetapi kerana begitu penting sekali dalam keadaan kita tertindas ini untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat terutamanya orang Melayu kita, saya kurangkan sumbangan dalam Bahasa Inggeris (atas nama-nama samaran yang lain) seperti di soc.culture.malaysia untuk tumpukan tenaga menulis dalam bahasa kita yang tercinta.

Tarabulsi...
2 Sept. 2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : [email protected]