Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Royalti Minyak: Hj Abdul Hadi Awang menyerlah sebagai pemimpin negarawan.

Assalamualaikum,

Sesungguhnya segala puji-pujian itu hanya untuk Allah SWT, dan Rasulullah SAW pernah bersabda supaya dilempar debu kepada mereka yang memuji sesama makhluk. Yang ingin saya sebutkan bukan puji-pujian tetapi perkara-perkara yang nyata, iaitu reaksi Tok Guru Hj Abdul Hadi Awang terhadap isu terbaru sekitar kontroversi royalti minyak telah memperlihatkan Menteri Besar Terengganu itu mempunyai sifat-sifat pemimpin negarawan (statesman) yang berpengalaman (walau pun baru setahun sebagai MB), berkaliber, bijaksana dan tinggi keupayaannya berfikir secara waras dan matang dalam keadaan tertekan. Sememangnya beliau layak menjadi Perdana Menteri seperti yang disarankan oleh Asiaweek.

Tok Guru Hj Abdul Hadi Awang tidak melenting apabila tersiar kenyataan dalam media arus perdana bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan mematuhi perjanjian dan akan menyalurkan wang royalti minyak kepada Terengganu melalui “Program Pembiayaan Wang Ehsan” dan bukan lagi secara terus kepada Kerajaan Negeri . Dengan sabar lagi bijaksana, Hj Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa beliau akan tunggu maklumat rasmi daripada Kerajaan Pusat.

Dengan tepatnya Tok Guru Hj Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa kenyataan yang disiar dalam akhbar tidak jelas samada ianya benar-benar dari Kerajaan Pusat kerana tidak mempunyai tanda tangan dan boleh dianggap macam surat layang. Menteri Besar Terengganu itu juga berkata kenyataan tersebut mungkin muslihat orang-orang tertentu yang cuba mengeruhkan hubungan dua hala yang baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.

Disamping itu juga beliau dengan tepat menegaskan kenyataan tersebut boleh ditafsirkan macam-macam kerana perkataan ‘royalti’ itu tidak boleh diterjemahkan dengan ‘ehsan’, dan dengan demikian adakah ianya bermakna Kerajaan Pusat berhajat untuk memberikan tambahan wang ehsan kepada Kerajaan Negeri Terengganu selain dari royalti minyak.

Kewibawaan serta kebijaksanaan Tok Guru Hj Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin yang berprinsip serta bertaraf negarawan begitu menyerlah apabila beliau secara kiasan menegaskan bahawa tidaklah betul kalau Kerajaan Pusat mahu berurusan dengan Kerajaan Negeri Terengganu melalui media massa. Dengan erti kata yang lain beliau tidak akan membenarkan Kerajaan Pusat menghina kedaulatan negeri Terengganu dan maruah rakyat Terengganu dengan berurusan dengan mereka melalui media.

Dalam keadaan tertekan beliau telah memperlihatkan sifat sabar dan kebolehan mengamati situasi serta berfikir dengan tenang dan waras. Dan segala apa yang beliau katakan itu sememangnya suatu kewarasan berfikir ditahap yang tinggi.

Dengan mengatakan bahawa hubungan dengan Kerajaan Pusat adalah baik dan beliau percaya Kerajaan Pusat dan Petronas akan mematuhi perjanjian yang ditandatangani, Hj Abdul Hadi Awang telah meletakkan kerajaan Pusat dalam keadaan serba salah. Kini Kerajaan Pusat akan nampak sangat berniat busuk kalau melanggar perjanjian dan menutup segala pintu dan ruang untuk terus berunding.

Dengan berkata bahawa kenyataan yang tersiar dalam akhbar itu tidak jelas samada benar-benar datangnya dari Kerajaan Pusat, Tok Guru telah memberi ruang dan opsyen kepada Kerajaan Pusat untuk tarik balik keputusan tersebut jika ia sememangnya dari Kerajaan Pusat. Dengan ertikata yang lain, Tok Guru Abdul Hadi Awang telah memberi ‘face saving device” iaitu jalan keluar bermaruah kepada Kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat kini boleh menjaga maruah dan kredibilitinya dengan menafikan kesahihan lapuran akhbar tersebut, dan seterusnya membuat kenyataan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan beramanah bahawa Kerajaan Pusat akan menghormati perjanjian yang telah ditandatangani itu.

Cara Tok Guru Hj Abdul Hadi Awang menangani isu ini dengan kebijaksanaan seorang negarawan yang berhemah tinggi lagi berpengalaman (walau pun hanya baru setahun menerajui Kerajaan Negeri) menunjukkan bahawa sememangnya ada asas kukuh bagi Asiaweek untuk membuat saranan bahawa Tok Guru Hj Abdul Awang berkeupayaan menjadi Perdana Menteri Malaysia dalam empat atau sepuluh tahun dari sekarang. Allah SWT sahaja yang menentukannya.

Sekali lagi ditegaskan saya bukan memuji, hanya sekadar berkata apa yang nyata tentang Tok Guru Hj Abdul Hadi Awang. Sesungguhnya segala puji-pujian itu hanya untuk Allah SWT.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Semata-mata kerana Allah SWT, dan takut hanya kepada Allah SWT.

Tarabulsi

7 Sept 2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : [email protected]