Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


Warkah Penghargaan dari Ayahanda DSAI

Latar belakang kepada warkah di bawah:

Surat di bawah diserahkan oleh Datuk Ibrahim semasa Lawatan Wanita keADILan Pusat yang diketuai oleh Ketua Wanita KeADILan, Pn. Fuziah Salleh, ke UH pada 18 Sep 2000 yang lepas. Wanita KeADILan turut menyerahkan kad-kad "Get Well" serta jambangan bunga & buah-buahan. Sempat juga menjual poskad sempena Kempen Poskad "Bebaskan Anwar" dan mendapatkan T/Tangan untuk petisyen Bebaskan Anwar.

Sekian. Untuk tatapan semua.


WARKAH PENGHARGAAN DARI AYAHANDA SAUDARA ANWAR IBRAHIM

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada saudara-saudara dan saudari-saudari, tidak kira apa bangsa, agama maupun pangkat, yang telah menziarah, mengirimkan ucapan selamat serta menghulurkan doa keselamatan dan kesihatan buat isteri saya Hajjah Che Yan. Sifat keprihatinan dari orang ramai kepada keluarga kami disaat-saat yang cemas dan genting ini, tidak ternilai harganya bagi kami. Hanya Allah swt sahaja yang dapat membalas budi dan ketulusan hati saudara-saudara dan saudari-saudari semua.

Sokongan berterusan dari orang ramai kepada anak saya, Anwar dan kami sekeluarga dari mulanya kemelut ini hingga sekarang, telah memberi semangat dan kekuatan bagi kami untuk tabah menghadapi apapun dugaan yang dikurniakan Allah swt untuk meneruskan perjuangan kita bersama sehingga berjaya..... InsyaAllah.

Walaubagaimanapun, sebagai manusia biasa yang mempunyai perasaan dan kelemahan, setiap kali kami dikurniakan Tuhan kesukaran, perasaan sedih, kecewa dan kadang-kadang hampa tetap menyusuk dalam sanubari kami. Tapi kami tetap bersyukur dan redha dengan kurniaan Yang Maha Esa dan berdoa agar setiap musibah yang menimpa kami sekeluarga dikurniakan Allah swt pengganti yang lebih baik......InsyaAllah.

Seperti ibu dan bapa lain, saya dan MakYan mempunyai harapan agar dapat menghabiskan sisa-sisa hidup kami dengan berkumpul mesra bersama anak cucu, sehinggalah kami ditakdirkan Allah swt menemuiNya di alam seterusnya. Tetapi, kami akur bahawasanya manusia hanya mampu merancang, Allah swt yang menentukannya. Walaupun menanggung perasaan sedih yang tidak terhingga kerana Anwar tidak ada bersama kami, lebih-lebih lagi di saat-saat ibunya mengharapkan kehadirannya di sisi, saya sekeluarga tidak akan berputus asa dan akan terus berusaha untuk mendapat simpati pihak berkuasa membenarkan Anwar melawat ibunya sekurang-kurangnya seminggu sekali. Saya rasa rayuan ini tidak keterlaluan dan tidak menjejaskan keselamatan negara, kerana ini bukanlah isu berunsur polittik tapi di atas dasar perikemanusiaan dan insaniah sesama manusia.

Perasaan terkilan dan sedih semasa kematian anak sulung saya Allahyarham Rani yang tidak sempat menemui adiknya disaat-saat akhir hayatnya, tersemat sayu dihati kami sekeluarga. Saya berharap sangat dan berdoa agar keadaan seumpama ini tidak berulang lagi kerana kesannya kepada kami amat menyayatkan sehingga ke hari ini.

Berkat doa, sokongan dan sifat keprihatinan dari saudara-saudara dan saudari-saudari semua, keadaan kesihatan Mak Yan buat masa ini agak stabil, tetapi bagi seorang ibu, sslain dari kuasa Allah sswt, kehadiran anak-anak dan keluarga di sisi adalah penawar yang paling mujarab semasa menanggung penderitaan.

Mak Yan adalah tunggak semangat dan kekuatan bagi anak-anak dan keluarga, lebih-lebih lagi pada Anwar. Saya dapat merasakan kegelisahan yang ditanggung oleh anak saya disebabkan tidak dapat bersama ibunya disaat-saat ibunya memerlukannya. Walaubagaimanapun, kami sekeluarga sentiasa berdoa agar Anwar tabah dan sabar menghadapi satu lagi dugaan kurniaan Tuhan. Dan saya pasti Anwar turut menghargai jasa dan budi yang diberi saudara-saudara dan saudari-saudari kepada ibunya dan kami sekeluarga, malah memberi kekuatan dan semangat baginya untuk meneruskan perjuangannya hingga berjaya....InsyaAllah.

Sekali lagi ucapan setinggi-tinggi terima kasih saya sekeluarga kepada semua dan marilah kita sama-sama berdoa agar dilindungi oleh Allah swt Yang Maha Berkuasa dari kekikiran dan kebatilan dan mengurniakan kepada kita semua rahmatNya yang menyelamatkan, petunjukNya dan kemantapan iman untuk meneruskan perjuangan kita bersama ke jalan yang benar....AMIN.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ibrahim Abdul Rahman


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : [email protected]