Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Pencapaian keputusan SPM Sekolah Agama cemerlang

KUALA TERENGGANU: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1999 menunjukkan bahawa sebahagian besar sekolah aliran agama di negeri mempamerkan prestasi yang cemerlang setanding dengan sekolah berasrama penuh. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Ladang, Dr. Haji Sulaiman Abdullah berkata, ini satu petanda bahawa penghayatan agama dengan baik menjamin kecemerlangan akademik pelajar. Katanya, peningkatan permohonan ibu bapa untuk memasukkan anak-anak mereka ke sekolah aliran agama juga sebagai petanda bahawa pendidikan di sekolah berkenaan adalah berkualiti.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan hari Penyampaian Hadiah Sekolah Menengah Agama Khairiah di sini baru-baru ini, mewakili Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Dr. Haji Sulaiman mengambil kesempatan mengucapkan taniah kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak sekolah kerana berjaya mengadakan majlis penganugerahan atau penyampaian hadiah ini bagi mendorong dan memotivasikan para pelajar agar belajar bersungguh-sungguh.

Sehubungan itu Dr. Haji Sulaiman menyarankan agar hadiah juga diberikan kepada pelajar-pelajar yang mempunyai akhlak yang terpuji, yang terlibat dalam aktiviti kokurikulum seperti kepimpinan dan yang memberi sumbangan kepada pihak sekolah. Cadangan ini bertujuan supaya pendidikan tidak hanya terfokus kepada pendidikan akademik semata-mata. "Tambahan pula mengikut penemuan terbaru, manusia mempunyai lebih lapan jenis kecerdasan seperti IQ, Emosional, Itelegent, Interpersonal Intelegent, intrapersonal intelegent, kinestetik intelegent, muzik dan sebagainya.," kata beliau.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : [email protected]