Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Pendirian teguh penentu kehidupan dan perjuangan

MARILAH kita mengambil pengajaran dan iktibar daripada firman Allah yang bermaksud:

"Maka di antara manusia ada yang mendoakan : "Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami (kebaikan) di dunia dan tiadalah baginya bahagian ( yang menyenangkan) di akhirat. Dan di antara mereka ada yang mendoakan: "Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di akhirat, serta perliharakanlah dari azab neraka". (Surah al-Baqarah: 200-201)

Dalam ayat ini, Allah S.W.T. menjelaskan berhubung dengan kehidupan manusia, ada di kalangan mereka yang hanya mahu hidup senang di dunia ini sahaja, mengambil kesempatan daripada hidupnya untuk bermewah-mewah tanpa membuat persiapan dan persediaan bagi kehidupan di akhirat.

Golongan ini adalah golongan yang rugi. Ada pula di kalangan manusia yang mahu hidup bahagia bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Golongan ini adalah golongan yang beruntung. Sesungguhnya setiap orang tentu ingin mencapai hidup yang mantap, selesa dan penuh kenikmatan dan kesenangan meliputi kesenangan dan kenikmatan rohani dan jasmani baik di dunia mahupun di akhirat.

Kekosongan

Kesenangan dan kebahagiaan hidup duniawi dengan segala macam kemewahan belum dapat mententeramkan jiwa seseorang, kerana ia masih tetap merasai kekosongan dalam hidupnya. Sebaliknya seseorang yang tenggelam semata-mata dalam mempersiapkan diri untuk hidup di akhirat dengan tidak memperdulikan nikmat yang dikurniakan oleh Allah untuk kesenangan hidup di dunia, maka sikap yang demikian adalah sikap hidup yang tidak mantap.

Oleh yang demikian jelaslah kepada kita bahawa kehidupan yang mantap atau ideal ialah kehidupan yang dapat mengimbangi antara kepentingan hidup duniawi dengan kemestian menyediakan persiapan bekalan untuk hidup di akhirat. Berdasarkan firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan dari kenikmatan di dunia." (Surah Al-Qosos: 77)

Bagi mencapai hidup ini, Rasulullah s.a.w. telah mengemukakan dalam satu doanya yang menjadi panduan dan ikutan kepada umatnya yang bermaksud: " Wahai Tuhanku! Aku memohon kepadamu supaya dikurniakan ketetapan hati (istiqomah) dalam menghadapi urusan atau pekerjaan, aku memohon kepadamu dikurniakan kecerdasan ilmu yang bermanfaat, aku memohon kepadamu sikap jiwa yang sentiasa mensyukuri nikmatmu, beribadat kepada engkau secara baik (khusyuk), memohon kepada-Mu lidah yang benar dan dan hati yang aman tenteram,"

Di dalam doa ini Rasullulah s.a.w. memohon supaya baginda dikurniakan pendirian yang teguh dalam urusan atau pekerjaan. Pendirian yang teguh itu bersumberkan kepada kebulatan tekad dan keyakinan yang unggul. Di dalam kehidupan ini lebih-lebih lagi untuk mencapai suatu cita-cita, sudah tentulah seseorang itu akan bertemu dengan rintangan dan kesulitan demi kesulitan seperti bangunan di atas tapak yang tidak kukuh, sedikit sahaja gegeran berlaku maka bangunan itu akan pecah dan runtuh.

Hawa nafsu

Begitulah di dalam kehidupan ini, kalau seseorang itu tidak mempunyai kekuatan iman dan keteguhan aqidah, sudah tentulah mudah tersungkur dalam ujian hidup. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang berada dalam perjuangan, bukan sahaja ujian dan rintangan secara terbuka dari musuh-musuh dan lawan, tetapi musuh utamanya dari dalam diri sendiri yang berbentuk hawa nafsu yang tidak dapat dikendalikan yang berupa harta, pangkat dan wanita.

Rayuan dan pujukan harta, pangkat dan wanita yang cantik masih tetap menyusuk dan menyerap dalam setiap arena perjuangan, bahkan boleh dikatakan semakin manusia berkembang maju terutamanya di zaman keruntuhan dan kemusnahan nilai-nilai hidup di abad moden ini, ramai manusia yang tersungkur jatuh, tidak ketinggalan juga pemimpin-pemimpin negara kerana dipengaruhi dan digodai oleh ketiga-tiga perkara yang mempesonakan itu.

Terdapat dikalangan orang-orang yang dikatakan memperjuangkan kebenaran, keadilan dan kemanusian dan lain-lain cita-cita yang murni, tetapi apabila diberi harta, pangkat, disogok dengan rasuah dan perempuan yang cantik, maka semangat yang berkobar-kobar selama ini terus padam dan akhirnya membisu kemudian hilang dari permukaan pentas masyarakat, laksana buih-buih di permukaan air yang akhirnya hilang dibawa arus.

Salah satu sebab yang menjadikan demikian ialah kerana tipisnya iman, lumpuhnya ketahanan aqidah, kurang mendekati dirinya kepada Allah. Oleh yang demikian, pendirian yang teguh merupakan faktor penentu di dalam kehidupan dan perjuangan seseorang. Apabila seseorang itu sudah mempunyai pendirian yang teguh, ia tidak ragu-ragu lagi dalam menghadapi risiko perjuangan dan tidak akan hilang atau berundur apabila menghadapi rintangan dan kesulitan.

Di dalam hadith tersebut Rasulullah s.a.w. memohon kecedasan yang mantap yang diliputi oleh cita-cita yang luhur yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan umat. Kecerdasan, kepintaran ilmu pengetahuan merupakan syarat yang penting dalam kehidupan kerana dia dapat mendatangkan kebahagian seseorang tetapi sebaliknya mungkin juga ia boleh menimbulkan bencana dan kerosakan.

Kecerdasan dan kepintaran manusia yang berhasil mendapat penemuan-penemuan yang baru dapat dimanfaatkan untuk kepentingan umat manusia serta menjadi sumber tenaga dalam melakukan pembangunan yang dapat memberikan kehidupan yang baik kepada manusia. Tetapi sebaliknya hasil kecerdasan dan kepintaran manusia juga boleh dipergunakan untuk menghancurkan umat manusia sendiri dalam tempoh yang singkat.

Oleh yang demikian kecerdasan seseorang itu harus dapat di manfaatkan untuk kepentingan umat manusia seluruhnya bukan untuk digunakan kepada sesuatu yang menyebabkan kerugian kepada manusia itu sendiri. kebijaksanaan dan kepintaran yang merugikan manusia itu tidak ada faedahnya sama sekali. Disinilah pentingnya pimpinan agama iaitu Agama Islam yang memberi panduan dan petunjuk supaya kepintaran dan ilmu pengetahuan yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. kepada manusia itu dimanfaatkan untuk kepentingan umat dan sekali-kali tidak boleh digunakan untuk merosakkan kepentingan bersama.

Rasulullah s.a.w. juga memohon supaya baginda dikurniakan sikap jiwa yang sentiasa bersyukur di atas nikmat Allah. Menurut Al-Imam Ghazali, nikmat itu ialah kebaikan, kelazatan dan kebahagiaan yang berhubungkait dengan kehidupan ukhrawi.

Kemusnahan

Walau bagaimanapun nikmat hakiki ialah kenikmatan hidup di akhirat di mana seluruh hidup duniawi yang tidak diasaskan kepada kenikmatan hidup di akhirat hanyalah akan membawa kepada kemusnahan kerana nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada manusia amat banyak sekali dan tidak mungkin dapat dihitung dan dikira dan tidak dapat ditimbang beratnya. Ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud:

"Dan kalau kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak dapat kamu menghitungnya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya." (Surah Ibrahim: 34) Nikmat terbahagi kepada dua: Pertama, nikmat yang bersifat fitrah iaitu yang asasi yang dibawa oleh manusia ketika lahir. Kedua, nikmat yang mendatang yang diterima dan dapat dirasakan dalam waktu hidup ini.

Oleh yang demikian manusia mestilah mensyukuri nikmat Allah kerana barang siapa yang mensyukuri nikmat Allah, Allah akan menambahkan nikmatnya dan barang siapa yang kufur dan tidak mensyukuri nikmat Allah maka Allah akan menyiksakannya. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: " Jika kamu bersyukur, maka Aku akan tambahkan nikmat itu kepada mu dan jika ingkar maka sesungguhnya seksaan-Ku sangat dahsyat." (Surah Ibrahim: 7)

Sa'adah

Nabi juga sentiasa memohon kepada Allah S.W.T. supaya baginda dikurniakan sebagai hamba yang melaksanakan ibadat yang baik dan mendapatkan kebaikan untuk dirinya dan masyarakat. Pengaruh ibadat yang dimakbulkan oleh Allah pasti mendatangkan kebaikan untuk dirinya dan masyarakat.

Pengaruh ibadat yang dimakbulkan oleh Allah pasti mendatangkan kebaikan kepada orang yang melaksanakan sama ada di dunia ataupun di akhirat dan membuahkan nilai-nilai yang dapat dirasakan, dihayati supaya kesucian jiwa dapat disuburkan sehingga mencapai sifat kemanusiaan yang tinggi dan akhirnya mencapai tingkat sa'adah dalam ertikata seluas-luasnya.

Dalam ertikata yang lain bahawa peranan ibadat yang baik begitu penting sekali dalam kehidupan manusia yang sempurna, yang bersifat amanah dan sentiasa gembira bagi mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T.

`Amalul lisan

Nabi juga sentiasa berdoa kepada Allah supaya dikurniakan lidah yang benar (percakapan yang benar). Percakapan yang benar). Percakapan yang benar ini dapat diperolehi melalui pendekatan diri seseorang itu kepada Allah S.W.T. dengan membanyakkan zikir, tahmid, tasbih, tahlil, membaca al Quran dan lain-lain. Sentiasa melakukan `amalul lisan sehingga bibirnya dan lidahnya selalu basah kerana sentiasa menyebut nama Allah.

Kata-kata yang diucapkan sentiasa memberi faedah dan manfaat kepada manusia mengandungi nasihat dan tunjuk ajar, perkataan yang tidak kotor dan tidak menyinggung perasaan mana-mana orang serta percakapan yang sentiasa baik. Rasulullah s.a.w. sentiasa memohon kepada Allah supaya dikurniakan hati yang aman dan mantap. Sesungguhnya dalam kehidupan ini, hati memainkan peranan yang penting dan menentukan keadaan kehidupan seseorang manusia.

Ini ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging, apabila baiknya maka baiklah badan keseluruhannya dan apabila ia rosak maka rosaklah badan semuanya. Itulah dia hati."

Orang munafiq

Para Ulama' telah membahagikan hati kepada empat jenis: Yang pertama hati yang jernih iaitu seseorang mukmin yang beriman. Kedua, hati yang hitam yakni hati yang terbalik iaitu hati yang kafir. Yang ketiga, hati yang tertutup iaitu hati orang munafiq dan keempat, hati yang kacau bilau iaitu hati yang dikatakan beriman tetapi dalam masa yang sama memiliki sifat-sifat orang yang munafiq.

Mudah-mudahan kita sentiasa memohon kepada Allah agar dikurniakan keenam-enam unsur yang menyempurnakan dan memantapkan kehidupan kita, bagi mencapai kebahagiaan kehidupan di dunia dan di akhirat. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi segala hukum-hakam) semuanya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya bagi kamu syaitan itu musuh yang terang lagi nyata." (Surah Al-Baqarah : 208)


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : [email protected]