Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


Konsep Tazkiyyah dalam pembangunan

TUMPUAN pembangunan dalam Islam kepada unsur rohani dan tumpuan kepada pembangunan jasmani adalah sama penting dalam pelaksanaan sebarang perubahan terhadap alam ini. Malah dalam banyak hal, pembangunan dalam diri para pemimpin sehingga kepada golongan marhain kadang-kala menjadi tumpuan dan perlu didahulukan. Oleh kerana manusia adalah satu-satunya makhluk Allah yang dikurniakan kelebihan untuk memimpin alam ini, maka sebarang bentuk perubahan dan pembangunan yang dilaksanakan bergantung sepenuhnya kepada sikap pemimpin itu sendiri. Pemimpin yang memahani konsep ketauhidan Allah akan cuba untuk melaksanakan perubahan yang harmoni dengan alam sekitar. Manakala pemimpin yang tidak memahami konsep ketauhidan ini akan terus melakukan kerosakan dan kemusnahan terhadap alam sekitar mereka. Mentauhidkan Allah S.W.T. bererti manusia sebagai hamba yang lemah menyerah diri kepada kekuasaan penciptanya dan bersaksi bahawa hanya wujud satu pencipta tunggal dalam alam semesta ini.

Penyerahan ini yang terkandung dalam tauhid uluhiyyah amat perlu difahami oleh kebanyakan pemimpin negara pada hari ini kerana ia dapat mengawal corak pembangunan yang dilaksanakan. Pemimpin yang amanah akan cuba untuk menggunakan sumber-sumber yang disediakan di bumi ini jauh daripada memanfaatkannya untuk kepentingan dan kegunaan diri sendiri malah seboleh-bolehnya membangunkan sumber-sumber tersebut dengan sebaik mungkin dan hasilnya dikongsi secara adil dan saksama.

Dalam banyak keadaan, manusia yang diangkat untuk menjadi pemimpin pada hari ini seolah-olah tidak mengendahkan amanah yang dipikulkan di bahu mereka. Bagi mereka, menjadi pemimpin adalah peluang yang besar untuk mengumpul harta kekayaan, kemewahan hidup sendiri, anak-anak dan kaum kerabat. Terdapat juga segolongan pemimpin yang rakyat bersyukur kepada pembangunan yang selama ini telah diusahakan. Semua ini dilakukan semata-mata untuk meraih simpati rakyat bagi bagi memastikan peluang untuk memperlihatkan kekuasaan tidak terlepas ke tangan orang lain.

Ketika pemimpin-pemimpin ini sibuk mencari keuntungan diri sendiri, rakyat kebanyakan telah mulai sedar yang golongan ini perlu kembali membangun unsur rohani dalam diri yang selama ini diabaikan. Selagi mereka tidak kembali kepada keredaan Allah, selagi itulah mereka akan berhadapan dengan bermacam-macam penghinaan dan tentangan daripada rakyat kebanyakan yang menyedari betapa pentingnya memastikan pemimpin mereka di atas jalan keredaan Allah.

Disinilah letaknya peri pentingnya falsafah tazkiyyah, iaitu penerapan nilai-nilai kebersihan, kesucian dan kemurnian yang akhirnya akan membawa kepada ketenangan jiwa dan kemantapan akhlak. Al Quran menyebut penerapan nilai ini sebagai "tazkiyatun nafs" yang mendorong manusia meletakkan asas keimanan dalam sebarang perlakuan mereka dan menjadi aset yang penting dalam melaksanakan sebarang kegiatan pembangunan yang berpaksi kepada ajaran Islam.

Sesungguhnya, dalam menangani kepimpinan dan pembangunan yang semakin gawat pada hari ini, penyucian diri dan pemantapan akhlak seseorang pemimpin adalah sangat perlu dan menjadi agenda penting mengatasi hal-hal yang lain. Sikap bekerjasama, berkasih sayang, pemurah, memaafkan kesalahan orang lain, cintakan keadilandan seumpamanya perlu dibangunkan dalam diri setiap pemimpin dan individu. Manakala sikap tamak, mementingkan diri sendiri, sahabat handai dan kaum keluarga, boros, suka memfitnah, zalim dan tidak bertimbang rasa sekiranya masih wujud dalam diri, seseorang pemimpin itu adalah tidak relevan dunia dan akhirat.

Sikap mazmumah atau akhlak yang keji selagi ada dalam diri, pemimpin seperti ini dikatakan sebagai golongan "al-khusran", iaitu golongan yang rugi dan mendapat kecelakaan hidup di dunia dan berpanjangan di akhirat kelak selagi mereka tidak bertaubat kepada Allah S.W.T. Kebanyakan daripada pemimpin pada hari ini gagal menerapkan falsafah tazkiyyah dan terus kekal mengamalkan perbuatan keji dengan melanggar ketentuan Allah sewenang-wenangnya, lupa daratan, menghamba diri kepada nafsu dan mengejar kemewahan hidup di dunia semata-mata. Ciri-ciri pemimpin yang celaka dan rugi seperti yang disebut oleh Allah adalah seperti berikut:

i Pemimpin yang Zalim

Pemimpin yang zalim bukan sahaja menzalimi orang lain dengan mengada-adakan fitnah dan mereka-reka keaiban yang tiada, tetapi pemimpin yang zalim juga termasuk dalam kategori manusia yang melanggar ketentuan Allah. Menghalang perlaksanaan hukum Allah, mendustakan agama dengan kuasa dan akal fikiran dan melampaui batasan-batasan yang ditentukan dalam syariat. Perasaan belas kasihan langsung tiada dalam diri sehingga timbul rasa bersalah setelah begitu banyak kemusnahan yang telah dilakukan.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Barang siapa melanggar ketentuan-ketentuan Allah, maka sesungguhnya dia telah berbuat zalim terhadap diri sendiri" (surah at-Talaq:1)

ii. Pemimpin yang boros dan membazir

Pemimpin yang boros dan membazir juga tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi kerana golongan ini tidak pernah merasa cukup dengan anugerah dan nikmat yang disediakan oleh Allah. Segala pemberian dan rezeki yang diberikan digunakan kepada jalan yang melalaikan. Menganjurkan pesta-pesta yang dipenuhi dengan maksiat dan arak, menjemput artis-artis dalam dan luar negara mengadakan konsert dan membina patung-patung dan binaan yang jauh menyasarkan tumpuan insan kepada kekuasaan Allah.

Pemimpin-pemimpin beginilah yang hidup bersenang-senang di mahligai-mahligai indah sedangkan pada masa yang sama masih ramai rakyat marhain menderita dan kelaparan Allah berfirman yang bermaksud: "Dan bila kami memutuskan untuk membinasakan suatu negeri, maka kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka tetap melakukan kederhakaan, maka kemudian kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya" (surah al-Isra': 16)

iii. Pemimpin yang tidak bersyukur

Pemimpin yang tidak tahu mensyukuri nikmat Tuhan mendorong mereka menjadi lupa diri dan bertindak sesuka hati di muka bumi ini. Mempergunakan kurniaan yang Allah berikan untuk kepentingan diri dan melaksanakan pembangunan tersasar dari garisan syariah, menyebabkan mereka jauh daripada menghayati kebesaran Ilahi. Dalam keadaan mereka lalai dari mensyukuri anugerah tuahn, akan lahir dalam hati pemimpin seperti ini sikap angkuh sehingga mendorong mereka meminta rakyat bawahan bersyukur kepada mereka setelah sekian banyak kemudahan yang diberikan. Allah berfirman yang bermaksud: "Maka berpalinglah engkau daripada orang yang telah berpaling daripada peringatan kami dan dia tiada menghendaki, kecuali hidup di dunia"

iv. Pemimpin yang memandang kebendaan

Pemimpin yang memandang kebendaan akan melupakan pentingnya aspek kerohanian. Tumpuan yang tidak seimbang antara material dan kerohanian akan melahirkan masyarakat yang mengingkari perintah Allah. Golongan ini akan mempergunakan segala nikmat dan kurniaan yang terdapat dalam alam ini untuk mengumpul sebanyak mungkin harta kekayaan tanpa menghiraukan kesan kemushahan yang ditanggung oleh orang lain. Allah berfirman yang bermaksud: "katakanlah : Kesenagan keduniaan hanya sebentar sedangkan kesenangan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertaqwa dan kamu tidak akan dianiaya sedikitpun". (Surah Muhammad: 12) Akhirnya; dapatlah disimpulkan di sini bahawa dalam memastikan kegiatan pembangunan yang sejajar dengan tuntutan syariah di laksanakan, tumpuan kepada usaha membangunkan akhlak seorang pemimpin itu amat penting diutamakan.

Maka di sinilah letaknya peranan konsep tazkiyyah bagi memastikan seseorang pemimpin itu menyedari tanggungjawab untuk mentadbir alam ini bukanlah sesuatu yang mudah. Sebab itulah Allah mengingatkan kepada manusia dalam banyak ayat-ayatnya tentang kerugian dan kecelakaan yang dihadapi sekiranya mereka gagal memikul amanah yang diberikan. Sesungguhnya, hanya dengan kembali meletakkan al-Quran dan Sunnah dalam pentadbiran seseorang pemimpin itu akan dapat melaksanakan tugas mereka dengan penuh ras tanggungjawab dan seterusnya mengembalikan keharmonian di alam ini.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : [email protected]