KUALA TERENGGANU : Kerajaan Terengganu dengan langkah yang diambil oleh Kerajaan Pusat untuk menjadikan aktiviti sukan sebagai produk menarik para pelancong ke negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri Encik Wan Hassan Mohd. Ramli berkata acara sukan seperti golf mampu meningkatkan industri pelancongan dengan kedatangan para peserta daripada luar negara.
Beliau menambah, para peserta luar negara yang mengambil bahagian itu menjadi `duta kecil' untuk mempromosikan industri pelancongan negeri ini di negara mereka apabila pulang ke negara masing-masing. Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan daripada para penaja Kejohanan Golf Ibai Terengganu Masters & Pro-Am 2000 di Ibai Golf & Country Club, disini, baru-baru ini. "Saya bagi pihak Kerajaan Negeri mengucapkan tahniah kepada Ibai Golf & Country Club yang mengambil langkah mempromosikan negeri ini melalui penganjuran sukan golf ini," ujurnya.
Kerajaan Negeri, tambahnya akan memberikan perhatian terhadap pertandingan seperti itu dan akan memberikan sumbangan yang sewajarnya. "Kerajaan Negeri memberi galakan kepada aktiviti yang sihat seperti sukan untuk meningkatkan industri pelancongan di negeri ini," katanya.
Berucap sebelum itu, pengerusi kejohanan, Dato' Zamri Mohd. Yusof berkata, pertandingan itu adalah satu cara pihaknya membantu mempromosikan negeri ini. Ini, katanya kerana selain daripada pemain tempatan, para pemain profesional daripada luar negara seperti Jepun, Thailand, Filipina, Taiwan, Australia, India dan lain-lain turut serta pada kejohanan itu. Beliau berharap dapat menarik lebih ramai para pemain profesional luar negara termasuk Tiger Woods menyertai pertandingan itu pada masa akan datang yang sekaligus meningkatkan kedatangan para pelancong luar ke negeri ini.