Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Tazkirah 90 - Kubur Taman Syurga Atau Lubang Neraka (4)

Bersambung…

Apakah pula yang dimaksudkan dengan lubang neraka? Azab neraka tidak boleh difikir dengan fikiran dan digambarkan dengan akal. Ianya sungguh mengerikan. Tidak ada taranya dan tidak ada bandingan yang boleh dibuat untuk menggambarkan keperitan dan keadaan yang sungguh menakutkan di neraka.

Tidak ada perkataan dan huruf yang boleh disusun untuk menceritakan keperitan kubur yang bertukar menjadi lubang neraka bagi orang yang dimurkai oleh Allah. Apa yang boleh kita fikirkan ialah bagaimana keadaannya dengan lubang penyeksaan yang ada di dunia, atau bagaimana dengan kepanasan relau yang digunakan untuk mencairkan logam atau mengeraskan tanah liat untuk dibuat bata.

Maksud lubang neraka mungkin satu liang yang digali ke dalam yang berisi di dalamnya dengan api yang membakar dengan alat penyeksaan seperti rantai yang menakutkan. Apa yang dilihat semuanya menakutkan dengan bunyinya yang menggerunkan atau baunya yang memuntahkan isi perut atau pakaian yang dibuat dari minyak tar yang panas atau makanan yang dihidangkan adalah bara api.

Cuba bayangkan jika kita berada dilubang penyeksaan begitu. Atau berada di dalam penjara bawah tanah yang panas, gelap, bunyi yang menakutkan dan binatang liar seperti ular yang besar, lipan, kala jengking yang merayap ke sana ke mari sambil mengacu-acu untuk mematuk kita. Apa kata jika kita dilumurkan dengan tar yang panas yang boleh menghancur dan meluluhkan kulit kita dan dipaksa memakan bara api sehingga hancur lidah kita serta dituang air panas seumpama air terjun yang turun ke atas kita.

Sesungguhnya azab di dalam kubur untuk orang yang dimurkai Allah lebih dari itu. Itulah hakikatnya kerana kubur kita boleh menjadi satu taman dari taman-taman syurga atau satu lubang dari lubang neraka.

Mayat diletakkan di dalam kubur dalam keadaan mengiring ke kiblat. Kain kafan di bahagian muka dibuka supaya pipi kanan mayat menyentuh tanah. Tanah-tanah keras digunakan supaya mengukuhkan kedudukan mayat supaya tetap dan tidak terbalik. Kemudian debu-debu dan ketul-ketul halus tanah ditaburkan di atas mayat, seterusnya keranda dimasukkan dan pada zahirnya mayat berada dalam kegelapan.

Abu Said Al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda maksudnya : “Apabila dikebumikan seorang hamba yang mukmin, kubur pun berkata padanya : “Marhaban ya ahlan, selamat datang wahai tetamuku seorang mukmin yang sudah lama ku kenali dan ku nanti-nantikan. Apabila bertamu ke rumahku, akan aku layanimu sebaik mungkin.” Maka kubur pun menjadi luas sejauh mata memandang dan dibukakan pintu syurga ke arahnya. Sebaliknya apabila dikebumikan seorang yang jahat dan ahli maksiat ataupun orang kafir, tiada ucapan selamat datang baginya. Ucapan kubur padanya ialah : ”Sesungguhnya kamu adalah di antara orang yang terkutuk dan sangat-sangat ku murkai.” Ketika itu lubang kubur menjadi sempit menghimpit mayat sehingga berselisih tulang rusuk.”

Apakah perasaan jika didatangi seseorang ke rumah seseorang dalam keadaan kita keseorangan? Tiba-tiba kita disambut dengan kata-kata yang menghiris perasaan dan diperhinakan? Bagaimana pula perasaan kita jika kunjungan ke rumah seseorang disambut dengan kata-kata aluan dan dipersilakan naik dengan penuh hormat serta dilayan dengan segala jenis keinginan kita?

Bersambung…

Kitab rujukan : Lambaian Wajah-Wajah Kematian oleh Ustaz Jaafar Salleh (terbitan Al-Hidayah Publisher)

"SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI"






______________________
Terbitan : 4 Jan 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com