Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Ulangtahun ke 2 Dubai Media City

DUBAI ON LINE

Oleh fudzail@yahoo.com

Apabila seorang pegawai kanan polis Dubai menelefon penulis, sedikit terkejut dan mendebarkan juga. Mungkin bahang trauma dari membaca berita ‘serangan’ terhadap malaysiakini.com dan peguam Uthayakumar masih terasa.

Tentunya panggilan tersebut tidak kena mengena dengan Akta Hasutan atau apa-apa yang berkaitan dengan undang-undang. Pegawai yang tidak fasih berbahasa Inggeris itu sebenarnya mahu meminta sedikit pertolongan Yusuf Islam dalam membantu para muallaf di penjara.

Beliau begitu terharu bercerita tentang semakin ramai banduan di penjara Dubai yang memeluk Islam. Peningkatan yang tinggi dalam tempoh terdekat. Polis Dubai sememangnya agak aktif dalam memperkenalkan Islam kepada banduan bukan Islam melalui pelbagai program.

Malah banduan Islam yang menghafal Al Quran juga dikurangkan tempoh hukuman mengikut bilangan surah yang dihafal. Tidak mengejutkan ada banduan yang menjadi hafiz dalam penjara.

Pihak berkuasa enggan memanggil penjara sebagai ‘penjara’ kerana kebanyakan agak bebas di dalam ruang tahanan. Kemudahan membuat urusan bisnes juga dibenarkan kerana kebanyakan pesalah adalah jenayah kolar putih. Bukan jenayah berat seperti bunuh dan rompakan.

Buat masa ini Dubai masih berani mengatakan mempunyai kadar jenayah menghampiri paras kosong. Polis Dubai walau tidak sempurna atau berslogan ‘cepat dan betul’ ternyata agak berjaya dalam mengawal kenteteraman dan sedikit sebanyak giat berdakwah.

Belum juga terdengar rampasan komputer untuk pemeriksaan forensik atau autopsy. Tidak juga penangkapan yang dibuat atas alasan ‘keselamatan negara’. Kalau ada pun imej tidak baik mengenai polis Dubai ialah majoriti anggotanya bukan bumiputera UAE, hanya orang Arab dan kebanyakan sukar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Kebetulan, Dubai Media City (DMC) menyambut ulang tahun kedua apabila berita polis Malaysia sekali lagi membuat ‘mata lebam’ kepada kebebasan media. Tidak pasti insiden lebam itu akan membawa pukulan maut seperti mana statistik jumlah mereka yang mati di tangan pihak polis dalam setahun.

Walau apapun alasan pihak berkuasa sebagai ‘damage control’, sesungguhnya ‘damage has been done’. Yang ternyata, publisiti global terhadap malaysiakini.com turut membantu ke arah kematian semulajadi MSC di mata pengamal IT dan media.

Secara ringkas, penulis merasa bertuah untuk melihat perkembangan DMC dari atas kertas kepada 15 bangunan dengan 560 syarikat media tempatan dan antarabangsa beroperasi.

Pada awalnya, hanya penulis (dipinjamkan oleh Dubai Internet City seketika) berlima dengan CEO pertama merangka pelbagai perancangan. Mencari pelbagai idea dengan bermesyuarat dari Dubai ke London dan mendengar pelbagai ‘presentations’ dari puluhan syarikat antarabangsa. Selain membaca proposals yang tidak putus dihantar.

Setelah bersama sebuah stesen TV swasta Malaysia selama 7 tahun, penulis agak berpengalaman untuk menyumbang idea dengan yakin, walau suasana dan pasaran yang berbeda. Tetapi pada masa itu, semua kami ‘dalam proses belajar’ kerana konsep Media City bukanlah satu perkara biasa di mana-mana.

Setelah diserahkan matlamat, apa yang perlu dilakukan ialah untuk merealisasikan segala impian seperti yang ditetapkan mengikut jadual dan peruntukan kewangan. Dalam masa yang sama cuba mengelakkan terlalu ambitious dan di luar keupayaan.

Dua tahun kemudian, terdapat 15 stesen TV, radio dan akhbar beroperasi sepenuh masa dari kampus canggih DMC yang setempat dengan Dubai Internet City. Jumlah ini di luar jangkaan buat kami yang merancang di peringkat awal. Dengan CNN, Reuters, VOA dan CNBC menjadi penghuni pertama.

Buat masa ini juga, piagam kebebasan bersuara dan media yang menjadi teras DMC masih belum diganggu gugat oleh pihak polis tempatan.

Malah Sheikh Mohamed Al Maktoum, pemerintah efektif Dubai yang menjadi peneraju Dubai Inc. memberi arahan agar segala halangan yang masih mengongkong pengamal media dihapuskan segera.

Tentunya tidak semudah yang dijangka kerana ada perkara yang melibatkan politik tempatan dan keluarga diraja. Tetapi apabila usaha telah dilakukan untuk membebaskan media dari belenggu pelbagai akta drakonian, DMC boleh bergerak lebih jauh untuk meyakinkan lebih ramai pengamal media.

Sebelum meninggalkan DMC tahun lalu, penulis sempat terlibat dengan usaha kerjasama antara DMC dan sebuah ‘negara pulau’ Asia Tenggara. Kesungguhan negara pulau itu untuk menyumbang tenaga dan pengetahuan disambut baik walau penulis tahu imej negara tersebut dalam segi kongkongan media.

Mungkin Dubai dan negara pulau itu mempunyai suasana yang sama, kecil dan tanpa sumber alam yang banyak. Bezanya, Dubai lebih terbuka langit dan buminya dari segi media.

DMC sebenarnya tidak bebas dari masalah dalaman dan luaran tetapi kesungguhan mereka yang menerajuinya ternyata membuahkan hasil. Bukan mudah untuk menghilangkan stigma ‘kebebasan media ala Arab’ kerana hampir semua pemerintah Teluk masih mengamalkan dasar tertutup.

Konsep ‘big brother’ yang sentiasa memerhati dan mengesyaki mungkin lebih mudah dilakukan dalam kampus seperti DMC. Tetapi pada dasarnya, DMC mahu bebas dari ‘big brother’ walau tentunya ‘the world only policeman’ tidak akan duduk diam.

Memandang jauh ke hadapan, penulis sebagai penyumbang kecil terhadap keujudan DMC berharap untuk melihat pertumbuhan yang lebih berkualiti. Bukan sahaja dari nama-nama jenama, tetapi mutu pengisian media dari mereka yang beroperasi di kampus DMC.

Dan jangan sekali ada insiden mengaibkan seperti serangan polis terhadap malaysiakini.com yang boleh membuatkan DMC sekelip mata menjadi e-Village di Cyberjaya! Yang sebelum sempat menyambut ulangtahun pertama, telah lama terkubur dengan puluhan jutaan wang rakyat!






______________________
Terbitan : 30 Jan 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com