Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Dari Kuasa Bahasa

mengingati Lutfi Othman, si pemilik kuasa bahasa yang mencabar kuasa penguasa, mohon disampaikan kepadanya

Aku kenalinya
lewat bicara pena
dari sebuah surah
ke surah lainnya.

Aku nguliti bahasa
mencabar kuasa
yang begitu perkasa
dengan sedikit asa.

Jasanya hanyalah
menguak pintu kebenaran
dosanya hanyalah
bermusuh dengan penguasa.

Bicaranya hanya di surah
terlempar dalam helaian
yang tidak terselak marhaen
[inikan pula dibaca
si penjahit kain
menutup cela].

Rupa-rupanya, dia menjadi
ketakutan hingga terbabas
segala kewarasan atas nama
kebenaran sebelah pihak.

Benar, dulu aku menyulam tekad
konon bersedia mengekorinya
dengan kuasa bahasa
mencabar kuasa penguasa
dengan sedikit asa
berdepan si gergasi perkasa
tetapi setelah tekad itu selesai
aku dapati, masakan mampu
menandingi layar besar
penuh noda itu
[ia belum mampu menutup
aurat kita yang sudah
lama ditelanjangi]
dan aku pun rombak tekad itu
nyata kuasa bahasa
tidak akan menewaskan kuasa penguasa
dan sedikit asa itu akan
ditelan gergasi perkasa
aku hanya mahu menjadi
si pembaca pada surah
lewat bahasa, mencabar kuasa
yang tidak pernah usai.

Rupa-rupanya
yang terjadi sebaliknya
kuasa bahasa adalah
kebimbangan pada
si penguasa perkasa
sehingga aku pun
menjadi aneh,
masakan bahasa mampu
menewaskan kuasa?

Dia membuktikan kuasa bahasa
pada surah kebenaran
adalah timah berapi
dari busur buku
atau sekurang-kurangnya
jarum berbara
meski halus, tetapi
tetap menyakitkan
dan si penguasa itu
sedang menggelepar
kepanasan!

Dan silapnya paling besar
adalah tidak berteman
dengan penguasa yang lain
untuk membunuh
penguasa itu.

Dalam dunia kuasa bahasa
tidak dihadapkan dengan
meriam bahasa,
maka dia harus ditewaskan
dengan apa-apa sahaja
sama ada cara waras
atau kaedah paling
gila, kerana si penguasa
yang berkuasa untuk kuasanya
adalah manusia paling gila
yang tidak harus wujud
dalam sejarah surah.

Aku kenalinya
lewat bicara pena
dari sebuah surah
ke surah yang lainnya
dan surah terbarunya
adalah buku derita
yang dikarang dengan
dakwat darah
oleh pena hayat
kerana dia cuba
mencabar kuasa penguasa
dengan kuasa bahasa
kerana jasanya
menguak pintu kebenaran
dan dosanya
bermusuh dengan penguasa.

Ya, tandatangannya masih kusimpan
dalam buku di rumahku
dan sejarah hidupnya
tentu sekali akan jadi
sebahagian masa depanku.

Hj Mohnas
Zulkaedah, 1423 alias Januari, 2003







______________________
Terbitan : 15 Jan 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com