Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

KEADILAN DAN PRM BANTAH TINDAKAN POLIS ATAS MALAYSIAKINI

Petang semalam, segerombolan pegawai polis dari Bukit Aman telah merempoh masuk ke pejabat akhbar internet Malaysiakini dan merampas 19 buah komputer dan server. Editor Steven Gan telah disoal oleh polis. Pagi ini beliau dipanggil untuk disoal di Balai Polis Jalan Stadium.

Sehubungan ini, Presiden Keadilan, Dr Wan Azizah Ismail dan Presiden PRM, Dr Syed Husin Ali, telah mengeluarkan sebuah kenyataan bersama membidas keras tindakan polis itu. Mereka menegaskan tindakan tersebut mencabul hak asasi manusia dan kebebasan akhbar. Tindakan merampas alat-alat dari Malaysiakini seolah-olah merupakan perompakan di siang hari.

Mereka juga menegaskan bahawa tindakan kilat pihak polis, yang tertakluk di bawah Kementerian Dalam Negeri, telah diambil selepas menerima laporan daripada pihak Pemuda UMNO. Mereka bertanya: mengapakan sehingga ini polis tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menyiasat berpuluh-puluh laporan yang dibuat oleh Pemuda Keadilan, Angkatan Muda PRM dan badan-badan NGO terhadap korupsi dan salah guna kuasa oleh pemimpin-pemimpin tertentu UMNO-BN, dan juga keganasan serta kekasaran yang dilakukan oleh pihak polis?

Kedua-dua presiden menyeru supaya rakyat dalam negara dan masyarakat antarabangsa yang prihatin terhadap soal hak asasi dan kebebasan akhbar membantah sekeras-kerasnya tindakan tidak demokratik yang diambil oleh pihak polis ini, dan menyokong Malaysiakini.

Sebelah malam Dr Wan Azizah dan Dr Syed Husin telah menyertai satu perhimpunan di hadapan Malaysiakini, yang kemudian bergerak ke Jalan Bungsar, dekat stesen LRT Bangsar Utama. Mereka telah berucap mengecam tindakan tidak adil pemerintah melalui pasukan polis dan menegaskan perlunya diteruskan perjuangan untuk menegakkan keadilan dan demokrasi, khususnya kebebasan media.

Dikeluarkan oleh PRM






______________________
Terbitan : 23 Jan 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com