|
SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
Jika Kelmarin Bisa Ku Putar Semula
Jika kelmarin bisa kuputar semula
ingin saja ku pohon kepada Sultan Mahmud Duli Yang Di Pertuan
untuk mengusir terus saki baki turunan Mandaliar
pulang kebenua asal usul mereka
dan haramkan samasekali dari menjejakkan kaki semula
dibumi Melaka buat selama-lamanya
agar tiada lagi cucucicitnya … menyambung kerja durjana
mengonar agama,bahasa dan budaya
ditanah warisan tercinta
Jika kelmarin bisa kuputar semula
dan Dato Bahaman Orang Kaya Semantan dapat kutemui
akan kukhabarkan kepada dia
bahawa Inggeris yang diperanginya itu
telah berdekad lamanya meninggalkan tanah pusaka
tetapi akidah sesat mereka terus menyebati
dikalangan para penguasa yang sama warna kulit dan tutur bahasanya
dengan kita semua
lantas kezaliman dijelmakan terus…. tanpa batas dan hadnya.
Jika kelmarin bisa kuputar semula
dan aku berpeluang berguru dengan Sheikh Daud al Fatani,Sheikh Arsyad al Banjari
serta meyaksikan kekeramatan Tok Kenali
akan ku pinta sepenuh hati
agar mereka mengangkatkan doa mustajab kehadirat Illahi
untuk sama-sama menghalangi
gerakan anasir hizbi syaitani dari mengkhianati
Sekolah Agama Rakyat yang telah sekian lama meyumbang bakti
memelihara akidah dan melahirkan Muslimin sejati.
Jika kelmarin bisa kuputar semula
dan dengan Burhanuddin al Helmi dapat ku berbicara
akan kubisikkan ketelinganya
betapa kelak kata keramat pembakar semangat anakbangsanya:
Diatas Runtuhnya Kota Melaka,Kita Dirikan Jiwa Merdeka
akan diadaptasi dan dinodai
oleh sang penguasa mahakejam buta hatinurani
lantas bertukarlah kata keramatnya itu kepada kata haprak yang amat memualkan.. berbunyi:
Diatas Runtuhnya Kota Melaka,Kita Dirikan Putrajaya
semata-mata untuk mempamirkan bahawa
hanya dialah satu-satunya Dewa Perkasa yang wajib disembah oleh seluruh rakyat jelata buat selama-lamanya..
Tetapi kelmarin tak mungkin berputar semula
yang ditinggalkannya hanyalah cahaya untuk pendekar perkasa menyusun langkah pada hari ini
buat kita mencipta suatu sejarah baru pada hari esok
mewarnai kebenaran dan keadilan pada payung keramat untuk naungan anak cucu tercinta.
Rajunatapa ks 122602
______________________
Terbitan : 4 Jan 2003
Ke atas
Home
Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com
|