Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Apabila Umno cuba campurtangan urusan Al Azhar

Oleh Subky Latif

SELEPAS peristiwa 11 September Amerika menghantar wakil ke Unversiti Azhar dan memberi kata dua supaya merombak karikulumnya dan jihad tidak lagi diajar.

Ia adalah tindakan bedebah dan campur tangan terhadap otonomi pendidikan Islam universiti tertua di dunia itu.

Pemimpin sekular anti Islamis Mesir dari Gamal Abdel Nasser hingga ke Husni Mubarak memang pernah campur tangan di universiti itu hingga wibawa gurunya mulai diragui kebelakangan ini.

Dalam perkembangan terbaru Perdana Menteri Malaysia yang hendak mengakhiri kuasanya beberapa bulan lagi menemui dan meminta Sheikh Azhar menerima pelajar Malaysia mengikut kemahuan kerajaan BN. Antaranya mahu calun itu dikemukakan dulu oleh kedutaan Malaysia di Mesir.

Alasannya bagi keperluan pasaran buruh di Kuala Lumpur dan terlebih pentingnya ialah takutkan pelajar politik Islam.

Prihatin kerajaan terhadap mutu pelajaran adalah niat dan sikap yang terpuji, tetapi curiga kepada lulusan Azhar adalah satu cetusan dari kalbu yang kotor dan keji.

Memberi cadangan dan pandangan bagi meningkatkan darjat universiti itu terutama pelajar dari Malaysia adalah baik. Dalam Islam dan demokrasi pandangan dari semua pihak digalakkan dan wajar didengar. Antara kelebihan orang berilmu ialah suka mendengar pandangan orang lain.

Tetapi memberi syarat itu dan ini kepada universiti itu adalah satu campur tangan dan hendak mengajar Azhar yang mempunyai pengalaman hampir seribu tahun.

Jika pun Dr. Mahathir merasa perlu memberi nasihat, dan tidak mustahil nasihat itu akan didengar, maka beri saja pandangan, tetapi tidak memberi kata dua supaya pelajar yang disahkan oleh kedutaan saja yang boleh diterima.

Ia adalah satu campur tangan terus yang menyentuh kebijaksanaan dan otonomi universiti itu, sedang pihak universiti tahu apa yang terbaiknya dan untuk pelajarnya.

Jika nasihat perlu disampaikan, maka sampaikan apa yang terdongkol di kalbu, dan terserahlah kepada kebijaksanaan para ilmuan itu untuk menimbangkannya. Bukankah mereka adalah orang yang bijaksana?

Dulu Soviet Union curiga kepada pelajar-pelajarnya menuntut di luar negeri. Hanya yang dibenarkannya saja yang keluar negeri. Israel tidak memberi laluan kepada pelajar Palastin menuntut di Azhar. Jika ada pelajar yang diizinkannya ialah yang bersedia menjadi talibarutnya. Lazimnya mereka belajar sambil mengintip.

Penjajah di era kekuasaannya dulu tidak menggalakkan anak jajahan menuntut di mana institusi pengajian Islam kerana ia meniupkan ruh perjuangan Islam dan bencikan kezaliman dan penjajahan.

Perdana Menteri penjajah British bernama Gladstone pernah membawa Quran ke Parlimen British menunjukkannya kepada sidang sambil berkata kira-kira, 'Selagi orang Islam berpegang kepada buku ini, maka jangan fikir mereka boleh dikuasai.'

Penjajah tidak pula kurang ajar memberi syarat kepada pusat pengajian supaya buat itu dan ini. Mereka tidak galakkan hamba jajahannya ke Azhar dan lain-lain dengan tidak memberi apa-apa kedudukan apabila tamat dan pulang. Yang boleh berkhidmat dengan kerajaan ialah untuk menjadi mufti, seorang bagi satu negeri dan menjadi kadi. Berapa orang sangat.

Orang-orang ini terikat pula kepada Sultan yang penasihat utamanya adalah Penasihat British.

Maka graduan Azhar itu balik membukar SAR, menjadi guru SAR dan bekerja sendiri; bersawah; menoreh getah atau berniaga. Sebahagian kecil ke England dan Eropah. Yang menyambung pelajaran di England boleh balik berkhidmat dengan kerajaan dengan menggunakan ijazah England, bukan ijazah Mesir.

Otak inilah yang meniupkan jiwa merdeka.

Belajar dari pengalaman penjajah itu, maka pemimpin-pemimpin regim sekular yang terbelenggu dengan asakan anti keganasan global Amerika takut dengan bayang-bayang graduan dan pelajar agama meniupkan jiwa Islam, melakukan helah mengganggu selagi ada sekolah Islam di seluruh dunia.

Yang masih bersemangat seperti di Azhar itu lalu diusirnya percubaan campur tangan Amerika tadi. Tetapi tidak mustahil Amerika membisikkan kepada rakan-rakan dan rantingnya di seluruh dunia supaya menggunakan diplomasi mensyaratkan kemasukan pelajar masing-masing ke institusi seperti itu.

Di negeri masing-masing mereka tidak menutup SAR. Tetapi memberi bantuan. Ia tutup sendiri. Bukan kerajaan yang menutup tetapi sekolah itu sendiri tutup.

Seperti bapa tidak memberi susu kepada bayi. Berkata bapa, 'Aku tidak bunuh anak, tetapi dia mati kerana tidak menyusu.'

Sama bijak dengan Abu Nawas dan Luncai. Biarkan mereka turun dengan regim-regimnya! Biarkan! Biarkan!






______________________
Terbitan : 30 Jan 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com