SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Betulkah pembangkang tidak kuat?Oleh: Utuh Jeram Pemimpin UMNO, termasuk Dr.Mahathir, selalu mengatakan bahawa UMNO kalah dalam pilihan raya yang lalu (khasnya pilihan raya umum) kerana parti itu berpecah belah atau tidak bersatu, bukan kerana parti pembangkang kuat. Implikasinya ialah, kerana parti pembangkang tidak kuat, maka UMNO akan menang dalam setiap pilihan raya, jika ia bersatu. Betulkah demikian? Dalam kes tertentu, kenyataan itu barangkali ada juga kebenarannya. Memang pernah kita saksikan, UMNO kalah dalam sesuatu kawasan raya, kerana calon UMNO disabotaj oleh orang-orang UMNO sendiri. Misalnya, jika calon UMNO tidak disetujui oleh puak-puak tertentu dalam parti itu, atau pun beberapa orang pemimpin tidak memberi kerjasama, kerana tidak terpilih menjadi calon pilihan raya. Dalam keadaan demikian, memang ada kemungkinan calon UMNO akan kalah, kerana tidak mendapat sokongan daripada sebahagian orang UMNO sendiri. Dalam keadaan seperti itu, ada ahli UMNO yang menyokong calon pembangkang sebagai undi protes. Maka kalahlah calon UMNO, walaupun parti pembangkang di kawasan itu mungkin tidak kuat. Akan tetapi, dalam tiga empat tahun kebelakangan ini, saya rasa keadaan telah berubah. UMNO boleh kalah di kawasan tertentu, walaupun ia bersatu, kerana parti pembangkang di kawasan itu tidak lagi berada dalam keadaan yang lemah. Perubahan parti pembangkang dari 'parti yang tidak kuat' kepada 'parti yang kuat' ini, saya rasa memang begitu ketara setelah Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Kita sedia maklum, selepas Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO kira-kira separuh daripada ahli UMNO telah meninggalkan parti itu. Sebahagian besar daripada telah membentuk parti baru, KeADILan, manakala sebahagian yang lain mungkin memasuki PAS. Berdasarkan fakta di atas, tidakkah jelas bahawa parti pembangkang ( khasnya PAS dan KeADILan) telah merupakan pihak yang kuat, manakala UMNO yang telah ditinggalkan oleh kira-kira separuh daripada ahlinya itu telah menjadi pihak yang lemah? Kemunculan parti pembangkang sebagai parti yang kuat sebenarnya dapat diperhatikan daripada keputusan pilihan raya umum tahun 1999, apabila dianggarkan kira-kira 60-70 peratus pengundi Melayu telah memberikan undi mereka kepada parti pembangkang, dan hanya tinggal kira-kira 30-40 peratus sahaja lagi yang masih memberikan undi mereka kepada UMNO. Mungkin dalam masa tiga empat tahun kebelakangan ini, ada bekas ahli UMNO itu yang rujuk semula kepada UMNO. Tetapi setakat yang saya tahu, mereka merupakan golongan kecil sahaja. Sebahagian besar daripada ahli UMNO yang telah meninggalkan parti itu dahulu masih tetap komited terhadap KeADILan dan PAS. Oleh yang demikian, adalah satu kenyataan atau fakta yang umum sekarang, saya rasa , parti pembangkang bukan sahaja kuat, malah jika mereka bergabung, mereka lebih kuat daripada UMNO. Dengan itu, UMNO tidak boleh lagi mengharapkan bahawa ia akan sentiasa menang dalam pilihan raya umum jika ia bersatu berasaskan andaian bahawa parti pembangkang adalah tidak kuat. Pada hakikatnya ialah UMNO tidak semestinya menang dalam pilihan raya, walaupun ia bersatu dan tidak berpecah, kerana parti pembangkang adalah kuat, dan di kawasan tertentu dan dalam keadaan tertentu mungkin lebih kuat daripada UMNO!
Diterbitkan oleh : |