Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Malaysiakini.com : Alangkah Cepatnya Polis Bertindak

Tahniah diucapkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di atas kecepatan yang tidak terkira di dalam menyiasat kes tulisan ang didakwa menfitnah dan menghasut yang disiarkan di dalam laman web Malaysiakini.com. Ekoran laporan polis yang dibuat oleh Pemuda UMNO, polis terus menjalankan siasatan dan beberapa kelengkapan komputer milik Malaysiakini.com kini selamat berada di lokap polis.

Itulah kehebatan polis di Malaysia. Satu kebanggaan sepatutnya dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia kerana rupa-rupanya kecekapan yang digambarkan oleh Yusof Haslam di dalam siri Gerak Khas adalah tidak tepat sama sekali. Ini kerana kecekapan sebenar polis jauh lebih hebat dari apa yang ditampilkan di dalam siri televisyen.

Kes bermula dengan tulisan seseorang yang hanya menggunakan nama samaran di dalam laman web Malasiakini.com menyamakan pertubuhan Pemuda UMNO seperti satu pertubuhan komunis yang sanggup membunuh untuk mencapai matlamatnya. Maka, apabila satu laporan polis dibuat, siasatan terus dijalankan dan hasilnya kelengkapan komputer Malaysiakini.com dilokapkan dengan selamatnya untuk tujuan siasatan.

Sekalung tahniah kepada pihak polis. Namun, bagaimana pula dengan tuduhan Perdana Menteri satu ketika dulu terhadap Suqiu yang juga disamakan dengan komunis? Adakah sekiranya laporan polis dibuat, polis akan menyiasat Perdana Menteri? Atau sebenarnya bagaimanakah jenis kesalahan barulah siasatan akan dibuat? Kalau tidak ingin menyiasat Perdana Menteri sekalipun, bagaimana pula laporan polis yang dibuat oleh aktivis PAS di Anak Bukit, Kedah enam bulan yang lalu dalam kes'menendang pintu'?. Memandangkan kes 'selak kain' sudahpun dibicarakan dan Abdul Razak Abbas dibebaskan, maka molek benarlah sekiranya kes yang berkaitan iaitu 'tendang pintu' turut disiasat dan dilakukan pendakwaan. Namun, dalam kes ini, ke mana pula kecekapan pihak berkuasa?

Bukanlah tulisan ini mahu menuduh sebenarnya, namun rakyat Malaysia dalam kehairanan sebenarnya. Oh ya, bagaimana pula dengan laporan polis yang dibuat oleh Ezam? Atau setidak-tidaknya aduan yang dibuat oleh Lutfi? Hai.. beruntunglah Pemuda UMNO…

WeWantJustice
21 JANUARI 2003






______________________
Terbitan : 23 Jan 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com