SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Mengapa ekstrem?Oleh: Al-Yasar Dr.Mahathir menyesali dan telah menegur para pelajar Malaysia di Mesir yang kebanyakannya dikatakan cenderung kepada ajaran ekstrem. Kata Dr.Mahathir," … kita kesal kerana pelajar Malaysia yang datang ke sini menjadi lebih ekstrem daripada orang Mesir sendiri," ( Berita Harian, 24 Januari 2003, hal.1). (Walaupun label "ekstrem" ini barangkali tidak disenangi atau tidak disetujui oleh setengah-setengah pihak, akan tetapi di sini dipakai untuk membezakan mereka daripada satu golongan lagi yang dikatakan oleh Dr.Mahathir sebagai ' golongan liberal'). Sebenarnya saya tidak pasti sama ada kebanyakan pelajar Malaysia di Mesir boleh digolongkan sebagai 'pelajar ekstrem' sebagaimana yang didakwa oleh Dr.Mahathir. Bagaimanapun, saya rasa kemunculan apa yang dikatakan golongan 'pelajar ekstrem' itu kini sudah merupakan fenomena sejagat. Pelajar ekstrem itu ada di Mesir, di negara-negara Timur Tengah yang lain, dan juga di Barat. Cuma kita kurang pasti sama ada mereka sudah merupakan golongan besar atau golongan kecil sahaja. Pada batas tertentu, sedikit atau banyak, mungkin ada juga betulnya kemunculan golongan ini dipengaruhi oleh cara berfikir pemimpin-pemimpin PAS. Ini tidak payahlah kita nafikan. Namun, di samping pengaruh pemimpin-pemimpin PAS, saya rasa ada faktor lain yang mungkin lebih penting, iaitu pengaruh pemikiran ulama fundamentalis, seperti Maulana Maududi, Sayid Qutb, Hassan Al-Bana dan Said Hawwa, dan pengaruh gerakan Islam radikal seperti Ikwan al- Muslimoon. Kita semua mungkin maklum bahawa pemikiran ulama fundamentalis itu sudah lama mempengaruhi pemikiran pelajar-pelajar kita, selewat-lewatnya sejak tahun 1970-an lagi Dan pemikirian mereka masih berpengaruih besar hingga ke hari ini. Tentang gerakan Ikhwan al- Muslimoon pula, saya rasa pengaruhnya tetap ada, kerana gerakan ini adalah gerakan yang penting, dan mampu bertahan lama, walaupun pada masa tertentu mendapat tekanan daripada kerajaan Mesir. Jadi inilah saya rasa faktor 'terdekat' atau 'fakor serta merta' yang membawa kepada kemunculan golongan pelajar ekstrem itu. Bagaimanapun, di samping dua atau tiga faktor 'terdekat' yang tersebut di atas, yang mungkin mempengaruhi kemunculan golongan pelajar ekstrem itu, saya rasa elok juga kita menyoal lebih jauh, apakah faktor yang lebih asas atau yang lebih fundamental, yang membawa kepada kemunculan mereka? Dalam hal ini, banyak sarjana menyatakan bahawa kemunculan golongan ekstrem ini (yang di sini disamakan dengan 'gologan fundamentalis') adalah reaksi kepada perjalananan masyarakat dan dunia sekeliling yang dianggap telah jauh meninggalkan tuntutan agama. Sebagaimana yang kita maklum, kebanyakan negara umat Islam sekarang, yang pernah dijajah oleh kuasa-kuasa barat, mengamalkan sistem ekonomi kapitalis dan tidak melaksanakan undang-undang syariah. Sebagai negara yang membangun mengikut jalan kapitalis, kesan sampingan daripada pembangunan itu sangatlah banyak, kerana yang diutamakan ialah pembangunan material, sehingga pembangunan rohaniah terabai. Oleh itu, maksiat berleluasa, dan keruntuhan moral berlaku tanpa dibendung. Dengan tidak melaksanakan undang-undang syariah pula, maka masyarakat dianggap telah kembali ke zaman jahiliah. Oleh itu, golongan ekstrem ini sebenarnya ingin mewujudkan masyarakat yang islamik, yang mengamalkan cara hidup Islam yang menyeluruh, dengan berasaskan undang-undang syariah. Dengan perkataan lain, golongan ini sebenarnya ingin mewujudkan 'sistem sosial Islam' sebagai ganti kepada sistem sosial kapitalis yang berlaku sekarang. Kebetulan, dari segi moral dan spritual, masyarakat dan negara yang berlandaskan sistem kapitalis ini semakin dilanda pelbagai krisis yang tidak berkesudahan. Malah mungkin boleh dikatakan semakin bobrok. Dengan itu, mungkin boleh difahami, mengapa reaksi golongan fundamentalis ini semakin keras dan mungkin meningkat ke peringkat yang ekstrem. Bagaimanapun, oleh kerana kemunculan golongan ekstrem ini merupakan reaksi kepada cara hidup yang telah menyimpang jauh dari tuntutan agama, maka golongan ini akan tetap wujud dan berkembang, selagi cara hidup yang meninggalkan tuntutan agama itu masih wujud. Dr.Mahathir boleh menyesali hal ini. Akan tetapi beliau tidak akan dapat berbuat apa-apa, kerana golongan ekstrem itu akan terus berjuang, sehingga matlamat mereka untuk mewujudkan masyarakat yang mengamalkan undang-undang syariah tercapai.
Diterbitkan oleh : |