Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Roboh Surau Jubli Perak - UMNO Hulu Langat ambil tindakan 'harakiri'

Surau Jubli Perak di Seksyen 4 terletak di dalam Daerah Mengundi Seksyen 3, 4 & 5 Bandar Baru Bangi (BBB). Di dalam pilihan raya umum 1999 Barisan Alternatif melalui PAS berjaya meraih 72.7 peratus undi popular di situ. Dengan kemenangan besar ini Dr Shafie Abu Bakar berjaya mewakili DUN Kajang dengan majoriti tipis 37 undi.

Bagaimanapun melalui Syor Persempadanan Semula Kawasan Pilihan raya yang sedang dipamerkan untuk kali ke dua sekarang, Seksyen 3,4 & 5 BBB dimasukkan di dalam kawasan DUN baru di kenali sebagai Bangi. Selain seksyen ini, Seksyen 1 & 2, BBB turut dipindahkan ke DUN baru ini. Di dalam pilihan raya umum lalu PAS meraih 73.7 peratus undi popular di Seksyen 1 & 2. Oleh itu Seksyen 3, 4 & 5 BBB merupakan kubu kedua terkuat PAS di DUN Bangi jika trend keputusan pilihan raya umum lalu berkekalan.

Senario dalam UMNO

Adalah bukan menjadi rahsia lagi bahawa UMNO Hulu Langat terpecah kepada dua pasukan (team). Di dalam pemilihan parti dua tahun lepas Team A yang diketuai oleh Timbalan Menteri Besar Selangor yang juga ADUN Dusun Tua, Dr Zainal Abidin Ahmad berjaya menewaskan Team B yang diketuai oleh Ahmad Kuris, ADUN Beranang. Di dalam pemilihan itu juga regu Ahmad Kuris dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Badrul Hisham Abdul Aziz ditewaskan oleh Datuk Ahmad Basri bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

Kerjaya politik Badrulhisham selepas itu ibarat, "telor di hujung tanduk". Satu demi satu cawangan-cawangan yang menyebelahi team B mulai berjaya digantikan kepimpinannya oleh Team A. Jika Team B berjaya mengekalkan jawatan, Dr Zainal akan menubuhkan cawangan berdekatan untuk memastikan jumlah perwakilan yang mencukupi bagi mempertahankan jawatannya di dalam pemilihan akan datang. Pertarungan ini sedang berlangsung dengan hangat dan Badrulhisham tidak ada tempat mengadu kecuali memohon belas ihsan seteru politik Dr Zainal iaitu Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Khir Toyo.

Demi menjaga survival politik kedua-dua tokoh UMNO ini, Khir Toyo mengarahkan Badrulhisham meleburkan pengaruh PAS di Bandar Baru Bangi. Langkah pertama ialah dengan mengeluarkan kawasan 'elit ekademi' ini dari parlimen Hulu Langat melalui persempadanan semula. Langkah ini sudah hampir sampai ke matlamatnya dan kedudukan Badrul di peringkat parlimen nampaknya akan lebih selamat berbanding dengan kemenangan tipisnya dalam pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun jika PAS mampu mempertahankan kerusi Bangi ia dianggap oleh Khir Toyo sebagai 'pucuk lalang menikam mata'. Impian menjadikan Selangor sebagai negeri 'Sifar Pembangkang' tidak akan menjadi kenyataan. Lebih buruk jika prestasi cemerlang ADUN Kajang sekarang terus diberi liputan meluas oleh akhbar-akhbar Cina. Oleh itu satu pendekatan yang lebih drastik perlu diguna.

Dahagakan masjid

Kawasan perumahan BBB mula dibangunkan sejajar dengan kewujudan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan selama lebih 30 tahun ia dikenali sebagai Taman Akademi. Bagaimanapun arus pembangunan telah mewujudkan Kawasan Perindustrian BBB dan Kawasan Institusi Latihan. Ratusan syarikat dalam dan luar negara membuka kilang mereka di sini. Antaranya yang terbesar ialah Kumpulan Hitachi dan Kumpulan Sony. Pertambahan peluang pekerjaan ini menyebabkan permintaan terhadap kawasan perumahan yang lebih luas. Satu demi satu fasa baru dibuka yang kadang-kadang menggugat kehijauan yang selama ini menyelubungi sebuah kawasan elit akademi. Bagaimanapun kerajaan negeri yang dari dahulu dipimpin oleh UMNO tidak pernah prihatin terhadap suara rakyat yang dahagakan pertambahan beberapa institusi sosial seperti masjid, sekolah malah kawasan perkuburan.

Hingga kini BBB hanya ada dua buah masjid iaitu Masjid Jamik (Masjid Hasanah) dan Masjid UKM. Untuk menampung permintaan penduduk yang 99 peratus beragama Islam, Jabatan Agama Islam Hulu Langat terpaksa mengiktiraf dua buah surau untuk mendirikan sembahyang Jumaat. Di Seksyen 1 & 2, kebenaran diberi kepada Surau An Nur sementara di Seksyen 3,4 &5 kepada Surau Jubli Perak.

Menyedari betapa tidak selesanya ribuan jemaah setiap kali bersolat Jumaat, Persatuan Penduduk Pangsapuri Jubli Perak telah mengambil inisiatif melantik firma arkitek dan jurutera bertauliah bagi memulakan projek mendirikan masjid di situ. Malangnya usaha murni ini langsung tidak mendapat perhatian Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Agama sendiri.

Tindakan harakiri UMNO

Kedua-dua surau ini kemudiannya dikuasai oleh PAS. Surau An Nur dibayangi oleh tokoh ulama Dr Harun Din. Surau Jubli Perak pula mengundang khatib jemputan yang tidak selaras dengan nafsu UMNO. Masyarakat tempatan dan yang bertugas berhampiran kedua-dua surau ini membanjiri sama ada surau An Nur atau Surau Jubli Perak.

UMNO mengikuti perkembangan ini dengan penuh minat dan kebimbangan. Akhirnya dalam pilihan raya umum lalu kebimbangan mereka menjadi kenyataan bila Dr Shafie Abu Bakar dipilih sebagai ADUN Kajang mengalahkan calon MCA dari BN.

Oleh itu sebagai persiapan menjelang pilihan raya umum akan datang UMNO berpendapat sama ada salah satu atau kedua-dua surau ini mesti dirobohkan demi survival politik Khir Toyo dan beberapa kerat tokoh UMNO Team B. Bagaimanapun pada pandangan mereka risiko meruntuhkan Surau An Nur adalah terlalu tinggi kerana pengaruh Dr Harun Din yang cukup kuat di situ. Jika ianya berlaku tentu seluruh penyokong PAS dan mereka yang cintakan kebebasan beragama malah beberapa golongan dalam UMNO sendiri akan memberontak. Ia umpama tindakan kerajaan Hindu merobohkan Masjid Babri di India.

Jadi mereka menumpukan segala usaha untuk meruntuh Surau Jubli Perak dan ianya terlaksana pada 10 Februari lepas ketika umat Islam dari seluruh penjuru alam sedang wuquf di Padang Arafah. Tidak ada perkataan atau perasaan yang lebih sesuai untuk ditujukan kepada UMNO khususnya untuk Khir Toyo dan Badrulhisham selain dari mengulang amaran Allah swt :

[2.114] Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah (untuk sembahyang dan menyebut nama Allah di dalamnya), dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.

Jelas tindakan merobohkan Surau Jubli Perak adalah perbuatan yang teramat zalim dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Hulu Langat yang di cocok hidungnya oleh Khir Toyo dan Badrulhisaham. Mereka sedang dihina oleh seluruh makhluk Allah di muka bumi, di langit dan di antara keduanya. Mereka sesungguhnya telah mengambil tindakan 'harakiri' kerana tidak pernah belajar dari kesilapan rakan-rakan mereka di Terengganu. Mereka mengulangi kesilapan UMNO pimpinan Wan Mokhtar yang merobohkan surau-surau di negeri tersebut kira-kira sepuluh tahun yang lalu. Akibatnya rakyat secara total bangun menentang kezaliman dan meruntuhkan sebuah kerajaan negeri.

Akhirnya tindakan merobohkan Surau Jubli Perak merupakan satu pengiktirafan UMNO bahawa Bandar Baru Bangi adalah Marang ke dua di Malaysia.

abang Long - InsyaAllah akan bersolat hajat lagi malam ini di rumah YDP.






______________________
Terbitan : 16 Feb 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com