Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

MEMO TERBUKA KEADILAN DAN PRM KEPADA KETUA NEGARA NAM

MEMO TERBUKA KEADILAN DAN PRM KEPADA KETUA NEGARA DAN PERWAKILAN DI PERSIDANGAN NEGARA BERKECUALI KE-13

Parti Keadilan Nasional (keADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) ingin mengalu-alu dan mengucap selamat kepada Ketua-ketua Negara dan para perwakilan yang menghadiri Persidangan ke-13 Gerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

Malangnya, sebagai parti pembangkang, kami dinafikan peluang menyertai semua upacara dalam persidangan itu. Kami tidak dapat menemui perwakilan-perwakilan sahabat, oleh kerana permintaan kami melalui Seketaiat tempatan tidak dilayan.

Kami ingin menegaskan bahawa kami menyokong NAM dan semua tujuan serta prinsip mulia yang ditetapkan oleh para pelopornya. Oleh itu, kami ingin menyatakan setiakawan dan harapan agar para perwakilan akan dapat mengadakan perbincangan berfaedah dan persidangan akan mencapai keputusan berguna untuk keamanan dunia.

Sehubungan ini, benarkan kami menyeru semua Ketua Negara dan para perwakilan yang menghadiri Persidangan ke-13 NAM menimbangkan perkara-perkara berikut:

a. Mendukung inisiatif untuk menyelesaikan krisis AS-Iraq melalui PBB dengan cara diplomasi dan aman, bukan dengan mengisytiharkan perang bersendirian;

b. Mengecam sikap permusuhan AS terhadap Iraq, dan mengutuk sebarang percubaan AS serta sekutunya hendak menyerang Iraq;

c. Menyokong kempen antarabangsa untuk memerangi keganasan, dan menggesa supaya negara-negara tidak membenarkan diri mereka menjadi alat kuasa besar;

d. Menyokong kemerdekaan Iraq, bebas daripada campur tangan asing dalam usaha rakyatnya hendak menegakkan pemerintahan yang berdaulat, adil dan demokratik;

e. Mengenalpasti kewujudan serta bahaya keganasan negara, dan menghentikan tindakan menyekat perbezaan pendapat serta menekan pembangkang yang sah dengan menggunakan momokan keganasan;

f. Mengiktiraf hak semula jadi rakyat Palestin dan mengutuk pencerobohan serta penaklukan Israel yang berterusan;

Akhirnya, dengan rendah hati kami ingin menyampaikan kepada semula Ketua Negara dan para perwakilan mengenai nasib bekas TPM Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun selepas dibicarakan secara tidak adil atas tuduhan palsu, dan juga penahanan berpanjangan bawah ISA ke atas beberapa orang tahanan politik tanpa perbicaraan. Kami berharap Yang Terutama sekalian dapat menunjukkan keprihatinan dan menyokong kempen kami supaya mereka dibebaskan segera atau dihadapkan ke mahkamah terbuka.

Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden keADILan

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM

16hb Februari 2003






______________________
Terbitan : 22 Feb 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com