SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Islam dan Politik di MalaysiaDr. Louay M. Safi Boleh saudara beri sedikit gambaran tentang Gerakan Islam di Malaysia? Gerakan Islam di Malaysia terdiri daripada pelbagai individu dan kumpulan yang mempunyai perbezaan terhadap jawapan kepada persoalan: apakah yang membentuk masyarakat Islam kontemporari. Perbezaan ini ketara sekali. Mereka juga turut mempunyai perbezaan yang ketara dari segi strategi yang mereka pakai untuk merealisasikan masyarakat. Namun demikian mereka sama-sama percaya bahawa nilai-nilai Islam itu adalah penting untuk membangunkan masyarakat. Ungkapan paling jelas tentang sosiopolitik gerakan Islam di Malaysia boleh dilihat dalam kenyataan-kenyataan dan aktiviti-aktiviti Parti Islam Se-Malaysia, PAS. Parti berkenaan ditubuhkan dalam tahun 1945 di bawah nama Parti Kebangsaan Malaya (Malayan National Party) (MNP) sebagai usaha untuk menentang kependudukan Inggeris dan untuk mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu. Gerakan anti Inggeris ini diterajui oleh MNP dan pesaingnya, UMNO. Parti UMNO ditubuhkan setahun kemudian iaitu dalam tahun 1946. Gerakan anti Inggeris itu tercetus antaranya berikutan meluasnya kuasa dan pengaruh ekonomi kaum China di bawah pemerintahan Inggeris. Dalam usaha memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu, kedua-dua buah parti berkenaan (iaitu MNP dan UMNO) terpaksa berdepan dengan persoalan "siapa itu Melayu?" UMNO memilih ciri bangsa/kaum, bahasa, dan adat resam sebagai ciri yang menjadi asas untuk menentukan sama ada seseorang itu boleh digelar "Melayu" atau tidak. MNP pula meletakkan ciri-ciri "agama, bangsa /kaum dan bahasa" sebagai ciri asas untuk menentukan melayu tidaknya seseorang itu. Tindakan MNP memilih "Islam" sebagai ciri yang menentukan sama ada seseorang itu boleh dipanggil "Melayu" atau tidak telah menjadikan parti itu tidak sejalan dan tidak sehaluan dengan UMNO. Tidak lama selepas itu kedua-dua parti berkenaan terpaksa menyelusuri hala tuju perjuangan dan identiti masing-masing. MNP menukar namanya sebanyak dua kali. Akhirnya parti itu kekal dengan namanya yang sekarang ini iaitu PAS. MNP ditukar namanya kepada Pan-Malaysan Islamic Party (PMIP) dalam tahun 1951 dan sekali lagi menukar namanya kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam tahun 1973. Penukaran nama parti itu kepada nama Melayu sekali gus memperkukuh komitmen parti itu untuk menukar bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara. Apa yang mengejutkan atau apa yang menjadi paradoks pula ialah identiti Islam PAS tidak memupuk visi yang menyeberangi batasan budaya atau universal. Sebaliknya ia lebih membantu memperkukuh komitmennya terhadap orang Melayu, dan ini menyebabkan hubungannya dengan parti-parti politik kaum Cina menjadi agak tegang. Pemikiran sempit yang dibawa PAS pada ketika itu dan ketiadaan usaha untuk mewujudkan hubungan kerja dengan parti-parti bukan Melayu terus menjadi batu penghalang kepada usaha parti berkenaan untuk mendapatkan sokongan lebih luas daripada pengundi di Malaysia, baik orang Melayu mahupun bukan Melayu. Tumbuhnya pertubuhan Islam yang non-partisan seperti cendawan dapat dilihat dengan ketara dalam awal 1970-an. Antara yang paling terkenal dan berpengaruh ialah Angkatan Belia Islam Malaysia, singkatnya ABIM. ABIM yang ditubuhkan dalam tahun 1971 oleh Anwar Ibrahim bersama sekumpulan graduan universiti, telah mengemukakan wawasan sebuah masyarakat Islam, menggabungkan kemanjuran ilmu sains dan teknologi dengan nilai-nilai Islam. ABIM telah menarik ramai orang Melayu Islam yang berpendidikan tinggi, yang mendalam minatnya, untuk membangunkan diri, negara, dan masyarakat mereka, dengan sekali-kali tidak mengorbankan atau meminggirkan identiti Islam mereka. Di antara 1971 dan 1981 ABIM berkembang pesat menjadikannya sebuah kuasa yang disegani, sebahagiannya kerana status pertubuhan itu yang tidak memihak mana-mana parti politik ketika negara ini tidak sanggup bertoleransi dengan pertubuhan politik Islam, manakala sebahagian lain pula disebabkan kedinamikan Anwar Ibrahim yang menjadi presiden pertubuhan itu sejak 1972 hingga 1982. ABIM dianggarkan tumbuh dari kira-kira sembilan ribu keanggotaan dalam tahun 1972 menjadi tiga puluh lima ribu dalam tahun 1980. Namun, peletakan jawatan Anwar daripada ABIM dalam tahun 1982 untuk bertanding dalam pilihan raya di bawah tiket UMNO dan bukan PAS, telah mengucar-ngacirkan, melesukan, dan mematikan pertumbuhan gerakan berkenaan. Meskipun ABIM tidak bersikap memihak mana-mana parti politik jika dilihat dari sudut bahawa pemegang jawatan pertubuhan itu tidak bertanding dalam pilihan raya, hakikatnya ialah bahawa ABIM memberi pengaruh kuat terhadap politik dan di bawah kepimpinan Anwar dapat mengenakan tekanan hebat ke atas kerajaan sehingga sampai ke satu tahap ABIM mampu mempengaruhi dasar awam negara. Komitmen ABIM untuk menerapkan prinsip Islam "amar makruf nahi mungkar" ("mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran") dan membendung korupsi/rasuah, telah menjadikan pertubuhan itu tidak boleh mengelak daripada bertembung dengan UMNO. Kemuncak aktivisme politik ABIM datang pada akhir tahun 1970 apabila pertubuhan itu, di bawah kepimpinan Anwar, telah mengadakan demonstrasi besar-besaran menyokong pekebun kecil Melayu miskin di negeri Perlis terhadap rancangan kerajaan untuk mengusir mereka keluar dari tanah mereka tanpa menawarkan pampasan secukupnya. Bagaimanapun, Anwar telah ditangkap di bawah undang-undang drakonian /undang-undang rimba `Akta Keselamatan Dalam Negeri' (ISA) yang membenarkan polis menahan orang yang dituduh membahayakan keselamatan negara hingga tempoh dua tahun tanpa bicara. Adakah pergerakan itu punya peranan untuk dimainkan dalam proses pembangunan negara Malaysia? Gerakan Islam telah sekian lama menjadi penggerak penting dalam membangunkan masyarakat Malaysia. PAS, ABIM, dan deretan organisasi dan kumpulan kerdil lainnya turut terbabit cergas dalam membentuk acuan nilai dan sikap sosial, dan membentuk institusi dan dasar awam. Biarpun demikian, organisasi dan kumpulan-kumpulan Islam ini lebih cenderung memberikan reaksi terhadap dasar dan tindakan yang diambil oleh pemimpin UMNO berbanding memainkan peranan yang proaktif. Bentuk yang diterima pakai oleh kumpulan Islam ini sering kali begitu defensif, dan bersikap mempertahankan diri dengan tujuan meringankan pengaruh negatif dasar pembangunan yang dipromosikan oleh kerajaan berbanding mengutarakan visi pembangunan alternatif mereka sendiri. Tetapi walaupun kumpulan Islam di Malaysia belum berjaya setakat ini untuk mengutarakan cadangan yang konkrit dan mencukupi bagi merealisasikan ideal Islam yang mereka perjuangkan, penekanan yang mereka berikan terhadap pengukuhan ekonomi rakyat miskin dan mereka yang tidak bernasib baik dan usaha mereka menyuarakan penentangan terhadap korupsi ekonomi dan politik telah berupaya membantu membatasi tindak-tanduk tidak berprinsip di kalangan pemimpin. Apakah peranan Anwar Ibrahim dalam proses pembangunan negara Malaysia, dan apa pula peranan beliau dalam memperkukuh hubungan Malaysia dengan negara-negara lain di peringkat serantau dan global? Pengaruh Anwar dalam politik Malaysia secara umumnya, dan pembabitan gerakan Islam Malaysia khususnya, agak besar. Hasil kerja beliau dengan ABIM, Anwar dapat membawa arah dan semangat kepada gerakan Islam dan memperluas matlamat dan keprihatinan pemimpinnya. Peletakan jawatan beliau dari ABIM dalam tahun 1982 untuk bertanding dalam pilihan raya umum atas tiket UMNO mendorong kepada pegorientasian semula dua buah parti politik utama Melayu, iaitu UMNO dan PAS. PAS terpaksa menjalani suatu rombakan besar-besaran di bawah kepimpinan dua bekas orang kanan Anwar, Ustaz Fadzil Nor dan Ustaz Hadi Awang. Ustaz Fadzil dan Ustaz Hadi meninggalkan ABIM dalam tahun 1982 untuk bergerak cergas dalam PAS selepas Anwar menyertai UMNO. Banyak pimpinan gerakan Islam di Malaysia amat terharu dengan tindakan Anwar menyertai sebuah parti politik yang mereka benci dan pandang serong lantaran politik wang dan korupsi yang berleluasa dalam parti itu, dan kerana tindakan parti itu mengambil tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap kumpulan-kumpulan gerakan Islam dan yang berorientasikan Islam. Tindakan Anwar mencemar duli di persada UMNO mewujudkan suatu suasana politik yang baru di Malaysia, mengurangkan ketegangan antara parti yang memerintah dan pembangkang Islam. Suasana baru ini telah merangsang lagi program dan aktiviti Islam, dan menjadikan kerajaan lebih aktif membabitkan diri dalam siri program yang berhasrat membawa dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam dasar awam. Pada awal 1983 kerajaan pimpinan Mahathir Mohamed telah mencakupkan lebih lima belas program Islam termasuklah mengasaskan Universiti Islam Antarabangsa, bank Islam, dan mahkamah-mahkamah Syariah. Tentang peranan Anwar dalam memperkukuh kedudukannya di mata global dan serantau, saya kira aspek sumbangan Anwar ini bukan mudah untuk dinilai dan diukur. Sebahagian besar dasar luar Malaysia telah dibentuk oleh Perdana Menteri Malaysia yang telah berjaya dengan dasar perindustrian dan gaya yang ranggi dalam meletakkan negaranya di peta geopolitik dunia. Anwar mempunyai dan sering mempunyai hubungan peribadi yang akrab dengan deretan organisasi dan individu yang pelbagai di dunia Islam dan Barat. Beliau amat dihormati di kalangan intelektual dan sarjana, pimpinan perniagaan, dan pimpinan politik, di seluruh dunia. Meskipun Anwar mendatangkan kesan terbatas terhadap dasar luar Malaysia, pembabitannya dalam dasar luar mula bertukar corak dalam lima tahun kebelakangan selepas beliau memenangi kerusi timbalan presiden UMNO dalam tahun 1993. Beliau memperlihatkan potensi yang menyerlah tetapi pemecatannya pada 2 September 1998 telah menghentikan suatu kerjaya politik yang luar biasa. Akan tetapi, ada satu perkara yang cukup jelas: peristiwa yang mengekori pemecatan beliau memperlihatkan darjah penghormatan yang dinikmati oleh Anwar di dalam dan luar negara. Para pemimpin dunia, dan dari pelbagai aliran politik, menyanjung tinggi jasa beliau. Mereka dengan keras mengkritik cara kerajaan Mahathir menangani kes beliau. Tindakan Anwar menyertai parti Melayu yang memerintah dan peningkatan beliau yang cepat dalam jawatan telah membawa kepada tempoh detente antara kerajaan dan pembangkang Islam, dan ini telah mewujudkan ruang politik yang penting buat pembangang. Malah pemimpin parti Islam yang merupakan pengkritik Anwar kerana Anwar memihak UMNO, menyedari graviti kehilangan yang mereka tanggung akibat pemecatan beliau dan memberi sokongan padu kepadanya. Agak jelas bahawa gerakan Islam di Malaysia telah mengalami suatu rintangan besar. Dua tahun yang ke depan telah menyediakan gerakan itu dengan ujian getir setakat ini. Pilihan raya umum dijangkakan Jun 2000 dan berkemungkinan besar akan diadakan akhir 2000. Tetapi UMNO dan parti pembangkang telah masing-masing mempersiapkan kedudukan mereka untuk berdepan dengan pilihan raya akan datang. Melihat pada jenis struktur politik kaum di Malaysia dan imbangan yang rapuh yang dikekalkan antara ketiga-tiga komuniti kaum utama, kemungkinan besar UMNO akan mengekalkan majoritinya di parlimen, meskipun ramai yang rasa geram dengan perbuatan yang dilakukan oleh para pemimpinnya. Parti Islam, yang pada masa ini mengekalkan penguasaan di Kelantan, berkemungkinan besar menerima sokongan tambahan, khususnya di Terengganu dan Kedah. Apakah peranan wanita dan belia/pemuda Islam dalam landskap Politik Malaysia? Wanita dan belia/pemuda Islam adalah golongan yang cergas dalam politik Malaysia. Masyarakat Malaysia adalah lebih terbuka kepada peranan wanita dalam masyarakat jika dibandingkan dengan masyarakat Islam lainnya. Wanita Islam mengambil bahagian dalam aktiviti sosial dan politik. Pembabitan mereka termasuklah memberi ceramah agama kepada kalangan masyarakat lelaki dan wanita yang konservatif. Lelaki dan wanita saling bersaing dalam musabaqah al-Quran tahunan. Kesemua parti politik mempunyai sayap wanita dan pemudanya dan ia memberi pengaruh penting terhadap hala tuju dan strategi parti. Wanita Islam turut serta bertanding dalam jawatan awam, memenangi kerusi di parlimen, dan menerima portfolio kementerian yang penting dalam kabinet di peringkat Persekutuan. Apakah masa depan Malaysia selepas era Mahathir? Adakah pejuang gerakan Islam ada peranan untuk dimainkan? Mahathir telah menyumbang secara positif terhadap pembangunan ekonomi negaranya, dan telah berjaya membina empayar keyakinan diri dan sikap "Malaysia boleh" di kalangan rakyatnya. Tetapi di samping keghairahannya untuk menanamkan disiplin diri dan menyemarakkan kemajuan, beliau juga mampu memasung dan mengenyahkan kuasa politik tandingannya serta pengkritik/pembidasnya. Ini sering dilakukan dengan menggunakan cara-cara dan kaedah yang sering boleh dipersoalkan. Dalam usaha itu, beliau bukan sahaja telah melemahkan asas perlembagaan dan asas undang-undang institusi politik di Malaysia, malah telah berhasil menjadikan badan kehakiman kurang penting jika dibandingkan dengan jawatannya. Umpamanya, beliau telah memaksa peletakan jawatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas suatu ketika dulu apabila bekas Ketua Hakim Negara itu enggan mengikut rentak politik kerajaan Mahathir. Yang terakhir ialah pemecatan bekas timbalannya yang dilakukan dengan maksud untuk menjamin supaya tidak ada seorang pun yang berani menentang keputusan dan dasar beliau. Hanya sedikit benar mereka yang mempunyai nilai sah dan berfikiran bebas yang masih ada di dalam kerajaan pada masa ini. Tidak diragukan, ini membawa kepada natijah buruk kepada era selepas Mahathir. Bagi pejuang gerakan Islam pula, mereka akan terus menjadi tenaga penggerak yang penting, dinamik dan digeruni. Satu perkembangan penting yang lahir ekoran krisis politik di Malaysia ialah wujudnya sebuah parti politik iaitu Parti Keadilan Nasional. Pada masa ini parti itu diterajui oleh Dr. Wan Azizah, isteri Anwar. Beliau adalah presiden parti berkenaan dan Tian Chua merupakan naib presiden sejak awal penubuhannya. Kewujudan Parti Keadilan Nasional merupakan anjakan mendadak dari politik masyarakat yang mendominasi kehidupan berpolitik di Malaysia sejak merdeka, membawa ketiga-tiga kaum dalam masyarakat Malaysia - Melayu, China dan India - menjadi satu keharmonian politik. Meskipun parti berkenaan mempunyai peluang tipis untuk membariskan kuasa politik dalam pilihan raya akan datang, parti Keadilan memperlihatkan suatu transformasi politik yang cukup besar yang kini sedang dijalankan, khususnya apabila betul-betul diteliti bahawa parti itu diasaskan oleh individu yang tergolong sebagai penggerak yang mempunyai latar belakang Islam. Gerakan Islam di Malaysia dan Turki telah tidak memperlihatkan hasil sebagai model saling wujudnya Islamisme dan sekularsime. Apa pendapat anda tentang aspek positif dan negatif pengalaman ini? Jika kita mengikut kejayaan dan kegagalan gerakan-gerakan ini dari segi keupayaan mereka memenangi kedudukan politik menerusi cara demokrasi maka gambaran yang lebih tepat ialah bahawa gerakan ini telah memperoleh kejayaan yang terbatas. Setakat ini pejuang gerakan Islam di Malaysia telah memenangi Kelantan yang telah diperintah oleh parti Islam untuk beberapa dekad sekarang. Gerakan Islam juga telah berjaya meletakkan wakilnya di tempat kedua dalam Kerajaan Persekutuan. Sebaliknya gerakan Islam di Turki hanya berjaya melakukannya selepas tiga dekad menjadi parti politik utama negara itu kerana tekanan keras tentera. Kedua-dua gerakan ini , iaitu di Turki dan Malaysia, tidak berganjak dan mereka tekun serta sabar dengan perjuangan politik dan demokrasi, dan mereka begitu bersungguh-sungguh untuk terus mengharungi onak dan duri dengan cukup tabah, menjadikan mereka lebih terkedepan jika dibandingkan dengan perjuangan dan kebangkitan Islam untuk merubah cita-cita politik dengan menggunakan kekerasan/ senjata. Bagi saya, kejayaan dan kegagalan mana-mana gerakan politik tidak harus diukur berdasarkan bilangan kerusi dan jawatan politik yang mampu mereka tawan pada satu-satu pilihan raya. Tetapi yang lebih realistik ialah ia mesti diukur berdasarkan keupayaan gerakan itu untuk memperluas dan memperoleh sokongan ramai, dan mampu untuk terus menggerakkan masyarakat ramai supaya berjalan seiring dengan matlamat dan perjuangan gerakan itu. Di kedua-dua negara itu, gerakan Islam telah bergerak dari bersifat gerakan yang mewakili kelompok pinggiran pada mulanya ke suatu tahap apabila mereka diiktiraf untuk bercakap dan terbabit dalam kancah politik arus perdana. Tidakkah ini merupakan suatu kejayaan besar? Sikap menahan diri yang dipaparkan dan diamalkan oleh para pemimpin gerakan-gerakan Islam ini nampaknya telah mendatangkan hasil lebih-lebih lagi melihat pada taktik kotor yang tidak demokratik dan permainan serta helah yang menjijikkan yang dimainkan oleh pihak lawan mereka. Kedua-dua gerakan ini telah memperlihatkan tahap kematangan berpolitik dan kecanggihan mereka, dan kedua-dua gerakan ini juga telah membangunkan daya saing dan keupayaan mereka untuk secara kreatif mengecewakan dan menggagalkan rancangan jahat musuh-musuh mereka yang bercita-cita melenyapkan mereka dari senario politik. Maka itu, kedua-dua gerakan ini telah menyediakan model terbaik yang ada pada pejuang Islam dalam usaha menentang rejim zalim itu. Adakah pengalaman gerakan Islam di Malaysia mempunyai impak/kesan besar kepada negara-negara jiran? Pada pendapat saya gerakan Islam di Malaysia mempunyai pengaruh dan juga dipengaruhi oleh peristiwa yang berlaku di negara -negara jiran. Meskipun sukar untuk membuktikannya, kita boleh menghujah dengan penuh yakin bahawa kebangkitan Pertubuhan Intelektual Islam Kebangsaan di Indonesia (ICMI) di bawah kepimpinan Habibie dalam tahun 90-an telah dipengaruhi oleh usaha Anwar untuk membuat perubahan dari dalam kerajaan itu sendiri. Juga, boleh dihujah bahawa keputusan Missuari untuk meletak senjata dan memeterai perjanjian perdamaian dengan kerajaan Filipina telah didorong oleh peristiwa yang berlaku di Malaysia dan Indonesia. Bagaimana anda menilai krisis ekonomi dan politik di Malaysia, dan bagaimana negara berkenaan dapat mengeluarkan dirinya keluar dari kemelut berkenaan? Kerajaan Mahathir telah dapat mengurangkan kesan kegawatan ekonomi yang dialami Malaysia dengan mengenakan langkah kawalan modal. Langkah yang diambil nampaknya begitu baik dan memberi kerajaan ruang bernafas untuk mengendalikan kekusutan politik yang dihadapinya. Langkah itu secara prakatikalnya telah mengasingkan negara berkenaan dari ekonomi dunia, dan boleh membuat pelabur asing tawar hati untuk melabur di negara berkenaan. Akan tetapi, setelah melihat pada turun naik pasaran global, Malaysia boleh sekali lagi menjadi syurga yang selamat untuk pemodal antarabangsa cuba melarikan diri dari kegawatan ekonomi yang berlaku di tempat-tempat lain. Kami jangka Malaysia dapat keluar dari kemelut ekonomi ganas pada masa akan datang tetapi ia terpaksa berdepan dengan krisis politik yang serius jika kuasa berakar umbi pada manusia elit di sekeliling Mahathir. [Temu bual dengan Louay M. Safi, Ogos 1999. Pertama kali tersiar dalam Journal of Middle East Affairs, Washington, DC, keluaran September 1999). Dr Louay M. Safi Phd (Sains Politik, Wayne State University) ialah bekas Dekan Pusat Penyelidikan, Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia (1998-1999). Sekarang beliau ialah Pengarah International Institute of Islamic Thought di Amerika].
Diterbitkan oleh : |