Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Kurikulum perlu dirangka oleh pakar pendidikan, bukan ahli politik

Oleh ANIS NAZRI dan NYZA AYOB

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Hrkh) - Ahli Jawatankuasa PAS, Ustaz Haji Ahmad Awang, hari ini menyarankan agar sukatan mata pelajaran di sekolah-sekolah dirangka oleh mereka yang benar-benar berautoriti dalam bidang pendidikan.

Ini kerana, katanya, mereka yang benar-benar mahir dan berpengalaman dalam bidang tersebut sahaja yang mengetahui dan memahami selok belok pendidikan di negara ini.

Beliau berkata, ini bertujuan mengelakkan berlakunya masalah dalam pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja subjek Pendidikan Islam, tetapi semua subjek lain.

"Sekiranya urusan pendidikan dicampuri oleh mereka yang berkepentingan, mutunya lambat laun akan menjadi merosot," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Khas mengkaji kurikulum sekolah kebangsaan (SK), Tan Sri Murad Mohd Noor yang mengakui tempoh masa mengajar subjek Pendidikan Islam tidak mencukupi dengan peruntukan hanya 180 minit seminggu di peringkat sekolah rendah.

Murad, seperti dilaporkan oleh akhbar Berita Harian semalam berkata, pihaknya turut menerima banyak maklum balas bahawa pelajar sukar memahami subjek Pendidikan Islam yang disampaikan guru.

Ahmad yang juga bekas Ketua Unit Penyelidikan Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan, menyatakan bahawa kurikulum subjek Pendidikan Islam bukan sahaja perlu di lihat dari segi teknik pengajaran atau masa ia diajar, tetapi juga kepentingan subjek itu sendiri.

Menurutnya lagi, soal masa pengajaran yang pendek bagi subjek itu bukanlah perkara baru, tetapi sudah ditimbulkan sejak awal tahun 1980-an lagi.

"Ketika itu, beliau (Murad) masih menjadi Ketua Pengarah Pendidikan. Ketika itu jugalah dasar pelajaran kebangsaan yang mengurangkan masa mengajar subjek itu dibuat," katanya.

Justeru, katanya, kenyataan Murad itu menunjukkan beliau seolah-olah 'baru tersedar dari mimpi yang panjang.'

"Perkara itu sudah lama menjadi dasar pelajaran kebangsaan, tetapi baru disedari oleh beliau," kata Ahmad lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, kajian yang dibuat oleh Gerakan Bertindak Umat Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (GEGAR) menunjukkan waktu pembelajaran subjek agama di sekolah rendah agama (SRA) ialah 15 jam seminggu (900 minit), berbanding di sekolah rendah kebangsaan (SRK) mengikut Akta Pendidikan Pindaan 1996 ialah tiga jam seminggu (180 minit).

Sementara itu, di sekolah menengah rendah agama pula pengajaran agamanya ialah 14 jam seminggu (840 minit), berbanding di sekolah kebangsaan hanya 2.66 jam seminggu (160 mnit).






______________________
Terbitan : 28 Feb 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com