Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

JI kambing hitam Kertas Putih Singapura?

Oleh ASDI RAHIM

KETUA JI (Jemaah Islamiyah) Singapura, Ibrahim Muhyiddin pernah menulis kepada Ketua Taliban, Mullah Omar pada 3 Mei 2000. Beliau memohon penjelasan berikut:

1. Setelah saudara diberi gelaran Amirul Mukminin Afghanistan, apakah ia bermakna saudara juga adalah Khalifah dunia Islam?

2. Apakah wajib bagi umat Islam dari negara bukan Islam berhijrah ke Afghanistan? Sekiranya semuanya dikehendaki berhijrah, apa akan terjadi pada masjid, institusi Islam dan ehwal Islam di negara asal mereka?

3. Bagaimana pula dengan umat Islam di negara Islam yang tidak melaksanakan Syariat Islam; atau negara-negara seperti Arab Saudi?

4. Apakah pandangan ulama atau ulama dari dunia Arab mengenai perkara tersebut?

5. Apakah benar majoriti ulama Hejaz (Arab) tidak bersetuju dengan saudara?

6. Apakah benar saudara akan mengusulkan agar Afghanistan menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)?

7. Apakah benar Raja Saudi adalah sekutu Amerika dan bekerjasama dengan negara bukan Islam dalam banyak perkara? Andainya benar, apakah kaum Muslimin perlu taat kepadanya dan bertolak ansur dengan bukan Islam?

....Dipohon penjelasan segera.
-Ibrahim Muhyiddin
(Petikan The Straits Times Singapura - 10 Januari 2003)

Surat tersebut tidak dimuatkan dalam 'Kertas Putih Mengenai JI' oleh kerajaan Singapura yang dikeluarkan untuk umum baru-baru ini. Diperturunkan kandungan surat tersebut agar pembaca dapat menilai apakah soalan-soalan tersebut menjadi satu kesalahan atau ditafsir sebagai mengancam keselamatan negara sehingga Ibrahim dan teman-temannya dimasukkan ke dalam ISA?

Intisari Kertas Putih tersebut menyentuh ancaman keganasan di Asia Tenggara dengan menggalurkan sejarah dan jaringan JI yang didakwa berakar daripada gerakan Darul Ihsan yang berjuang bersama tentera Indonesia menentang penjajah Belanda.

Selaku Qaid Wakalah (pemimpin utama) JI Singapura, Ibrahim menganjurkan kelas pengajian agama di mana ditekankan penderitaan yang menimpa umat Islam sejagat.

Menurut Kertas Putih itu lagi, ulama Indonesia, Abu Bakar Basyir adalah ketua rangkaian JI di Asia Tenggara dengan Abu Jibril sebagai ketua di Malaysia yang bertanggungjawab mengembang fahaman JI ke Singapura.

Kertas Putih tersebut mengemukakan keterangan mengenai dakwaan penglibatan dua ahli JI Singapura dalam peristiwa pengeboman di Indonesia sebelum hari Krismas 2000 yang didakwa diselaraskan oleh Imam Hambali dan pengeboman di Manila yang mengorbankan 22 nyawa yang didakwa direncanakan oleh pakar bom Fathur Rahman Al Ghazi.

Tindakan tegas terhadap kumpulan pengganas perlu diberi sokongan padu. Bukan saja dunia, malahan rantau kita menyaksikan beberapa peristiwa ngeri dari Manila hinggalah ke Bali yang mengorbankan ratusan nyawa rakyat termasuk wanita dan kanak-kanak.

Namun, isu yang perlu direnungkan ialah sama ada tindakan yang diambil pemerintah adalah berdasarkan pertimbangan keselamatan dengan merujuk kepada fakta dan bukti kukuh.

Kita mempunyai sebab untuk mengkhuatiri kemungkinan ini adalah tindakan gopoh dan melulu bermotif politik. Pertama, kerana bukti penyalahgunaan ISA oleh pemerintah Singapura terhadap tokoh pembangkang termasuk Lim Chin Siong dan Said Zahari, juga oleh kerajaan Malaysia yang menahan beratus-ratus tokoh politik pembangkang sehingga sekarang.

Kedua, mengambil sentimen anti-Islam di Barat setelah terjadi peristiwa 11 September; dan mengambil semula tindakan keras atas nama membanteras keganasan.

Sayugia diingat bahawa Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, Kofi Annan turut prihatin dengan masalah tersebut. Baru-baru ini beliau menggesa pemerintah untuk bertindak tegas terhadap pengganas, tetapi mengingatkan bahawa isu keganasan tidak boleh dijadikan kesempatan untuk menekan pembangkang dan menyekat kebebasan rakyat!

Justeru, segala tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada bukti dan proses undang-undang. Ini tidak dipatuhi oleh kerajaan Singapura kerana menggunakan ISA dan mengeluarkan Kertas Putih tanpa merujuk proses mahkamah bebas.

Keadaan di Malaysia lebih teruk lagi kerana penangkapan beramai-ramai hanya berdasarkan kenyataan umum, tanpa Kertas Putih dan rujukan ke mahkamah.

Maka, kita ulagi tindakan keras terhadap pengganas, tetapi tindakan tersebut perlu telus dan menganiayai kalangan yang tidak bersalah. Agenda kita perlu bertolak dari keamanan dan keadilan, dan bukannya untuk memenuhi tuntutan Amerika Syarikat!






______________________
Terbitan : 1 Feb 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com