Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Bahasa Inggeris- Jangan Cepat melatah

Oleh : MHI

Persoalan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Matematik dan Sains nampaknya sudah ditenggelamkan oleh isu-isu terkini yang lebih menarik. Namun demikian penulis ingin menarik perhatian para pelaksana dasar ini agar jangan terlebih sudu daripada kuah khususnya juak-juak yang berada di institusi pengajian tinggi. Penulis tidak menentang peningkatan usaha ke arah penguasaan bahasa Inggeris di kalangan anak Melayu tetapi berpada-padalah tindakan yang diambil agar tidak mati bahasa Melayu. Biarlah wujud apa yang dikatakan situasi menang-menang. Anak Melayu tidak teraniaya dan bahasa Melayu terpulihara, manakala bahasa Inggeris penambah ilmu. Memetik kata-kata seorang pejuang bahasa, seandainya seorang jurutera tersilap memasang skru, maka runtuhlah sebuah jambatan, begitu juga seandainya seorang doktor tersilap memeriksa pesakitnya, maka matilah pesakit itu tetapi seandainya seorang pemimpin silap dalam membuat polisi, maka akan ranaplah satu generasi dan peradaban yang sedia ada. Maka fikir-fikirkanlah dengan baik kata-kata tersebut.

Apa yang merisaukan penulis ialah penukaran dasar ini amat berkait rapat dengan hidup dan matinya bangsa Melayu secara langsung atau tidak langsung. Dari segi pencapaian ekonomi dan pendidikan, kita telah melihat kejayaan golongan Melayu yang berpendidikan tinggi dan muncul golongan elit menengah Melayu yang rata-rata hasil daripada pelaksanaan Dasar Pendidikan Negara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Cacatnya ialah ada di antara mereka ini tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Apakah ini satu dosa yang perlu dihukum? Apakah pencapaian mereka itu tidak membuktikan bahawa mereka ini anak didik bahasa ibunda tetapi masih berjaya dalam kerjaya? Yang menggunakan bahasa Inggeris secara 100% adalah segelintir golongan yang terlibat dalam dunia antarabangsa. Tetapi dalam dunia perniagaan di Malaysia, kecuali di bandar secara keseluruhannya masih lagi dalam bahasa ibunda. Syarikat korporat antarabangsa pasti tidak dapat lari daripada halkikat ini. Tetapi umumnya perniagaan masih lagi berjalan dalam bahasa ibunda ataupun dwibahasa. Bayangkanlah lima tahun akan datang kita akan menyaksikan golongan pertama lulusan bahasa Inggeris ini memohon tempat di universiti yang menggunakan sistem merit - soalannya berapakah banyakkah pelajar luar bandar yang akan mendapat tempat di universiti dengan penukaran dasar ini? Sekiranya seorang anak petani gagal ke universiti hanya semata-mata tidak dapat menguasai bahasa Inggeris, maka akan hilanglah satu tempat bergantung bagi keluarga tersebut. Sebuah keluarga petani yang berjaya menghantar anaknya ke universiti, selepas tamat belajar dan dapat bekerja seterusnya dapat membantu ibu bapa dan adik-adik. Tetapi sekiranya anak sulong ini gagal, pada siapakah harapan ibu bapa ini kelak? Sebuah keluarga kehilangan sebuah harapan semata-mata anaknya gagal dalam bidang limu diajar dalam bahasa kedua sedangkan dia pasti berjaya belajar dalam bahasa ibundanya.

Bayangkan sekiranya dulu kita dapat menghantar 100 anak kampung ke universiti tetapi nanti kelak hanya sepuluh orang sahaja, berapa banyakkah lagi yang akan kecundang dan pencapaian ekonomi orang Melayu tidak ke mana-mana. Penulis merupakan generasi yang mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, lahir di kampung yang terpencil dan terpaksa bertatih memahami bahasa Inggeris dan selalu mengeluh kepada guru Sains memohon dibenarkan menjawab dalam bahasa Melayu kerana lebih mudah menerangkan konsep yang dipelajari dalam bahasa ibunda. Penulis dapat memahami kesukaran yang bakal ditempuhi oleh pelajaran tingkatan satu pada waktu ini. Inilah isu yang perlu dihayati dengan sebaik-baiknya oleh pelaksana polisi ini.

Sekali air bah, sekali pantai berubah. Apakah selepas perletakan jawatan PM (kalau jadi) dasar ini pasti dipatuhi sepenuhnya? Apakah mungkin apabila keputusan pilihanraya memperlihatkan tanda-tanda keruntuhan penguasaan tertentu menyebabkan akan berlaku perubahan dasar? Kelak nanti akan kecohlah pulak seluruh negara berubah dasar bagi entah kali ke berapa kerana melihat keputusan peperiksaan yang merungsingkan .....kelmahan polisi lama. Kalau dulu orang di Sungai Buluh pernah menekankan penggunaan bahasa Melalyu, juak-juak inilah dengan samping tengkoloknya berkeris taming sari menjunjung kitab Melayu sebagai lambang karya agung bangsa Melayu. Kini bila air bah dan dasar berubah juak-juak inilah juga yang berpantun dan bergurindam dalam bahasa Inggeris walaupun indahnya sudah hilang, seninya sudah mati, pedulikan...

KIta sebenarnya melihat tanda-tanda pada dinding (writing on the walls) akan kejatuhan peradaban Melayu. Kalau satu ketika yang lalu Persidangan Antarabangsa Peradaban Melayu diadakan dalam bahasa Melayu tetapi kini diadakan dalam bahasa Inggeris. Ironi sungguh bagi kita mengagungkan apa yang dikatakan tamadun Melayu dalam bahasa Inggeris. Juak-juak ini menangguk-angguk kepala di hadapan Pak Menteri yang entahkan sedar, entahkan tidak bahawa teksnya yang dalam bahasa Inggeris itu mengagungkan tamadun Melayu. Apakah kerana kehadiran sepuluh dua Mat Salleh yang setengah-setengahnya memang mahir dalam bahasa Melayu (khususnya negara-negara Eropah - Belanda ) maka kita korbankan bahasa Melayu sebagai menghormati tetamu yang memang tahu bahasa Melayu? Mereka ini datang kerana mereka tahu indahnya dunia Melayu dengan bahasanya yang tercermin dalam karya sastera dan budaya, jadi apakah logik kegusaran juak-juak ini hinggakan menukar teksnya dalam bahasa Inggeris. Bukan calang-calang orang pulak - tokoh bahasa negara! Kalau tamadun Melayu itu diagungkan, apakah ciri yang menunjukkan keagungan sesuatu bangsa - jawabnya ialah bahasanya! Bahasa yang menunjukkan bangsa tetapi anehnya kita meletakkan bahasa Inggeris untuk menunjukkan bangsa Melayu. Pakaian apakah yang dipakai pada anak-anak didik ini, dan budaya apakah yang ingin diterap oleh pembuat dasar ini.

Difikir-fikir betapa juak-juak ini terlebih sudu daripada kuah jelas sekali apabila para cendikiawan di pusat pengajian tinggi sudah di arahkan untuk menulis apa sahaja dalam bahasa Inggeris waima pokok persoalan ialah bahasa Melayu. Kononnya inilah peluang untuk mereka memperkenalkan bahasa Melayu ke antarabangsa yakni dengan menulis dalam bahasa Inggeris membicarakan isi bahasa Melayu. Akhir-akhirnya pensyarah universiti akan diminta mengajar Tatabahasa Melayu dalam bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar Melayu. Hal ini bukanlah satu yang ganjil kerana telah ada unsur-unsur yang senada dengan ini kelihatan di institusi pengajian tinggi. Ada juak yang mensyaratkan bahawa pelajar Sarjana Bahasa Melayu mestilah lulus syarat Bahasa Inggeris untuk mendapat ijazah bahasa Melayu walaupun ijazah kelas pertama. Ada juga suara-suara pensyarah di instutusi ulung Malaysia ini yang ingin mengajar linguistik Melayu dalam bahasa Inggeris. Juak-juak yang ada mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju kerana bahasa Inggeris itu penting. Ingatlah para juak bahawa yang ditekankan oleh PM kita bidang ialah sains dan teknologi, jadi mengapa terlebih sudu daripada kuah. PM tidak menganggu gugat pun pengajian Melayu kenapa anda semua beria-ia benar pula melatah. Inilah hakikat perit yang sedang dihadapi di IPTA akibat juak yang terlebih sudu daripada kuah hingga ada yang ingin meminggirkan bahasa ibunda sendiri semata-mata hendak menyahut seruan. Maka matilah peradaban agung bangsa Melayu kerana orang Melayu sendiri tidak memahami tanda-tanda yang jelas di hadapan mata. Jangan kita jadi seperti orang Yahudi dalam surah al-baqarah yang menyulitkan diri mereka sendiri untuk mencari lembu atau sapi yang hendak dijadikan korban sebagaimana diperintahkan oleh Allah subhanallah wataala. Sekiranya polisi hari ini tertumpu kepada sains dan teknologi, jangan diganggu gugat pula apa yang ada dalam ilmu Pengajian Melayu itu sendiri. Inilah hakikat yang berlaku dalam senario hari ini. Penulis begitu gundah sekali memikirkan nasib anak-anak Melayu pada masa akan datang. Pendidikan dwi bahasa amat penting bagi sesebuah bangsa untuk mendapat kemajuan tetapi jangan yang sakitnya tangan, tetapi kaki yang dipotong, akan tempang seluruh dunia budaya Melayu yang diagung-agungkan ini - fikir-fikirkanlah. Wasalam.






______________________
Terbitan : 24 Feb 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com