Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Khir Toyo gagal lihat fakta, beri alasan remeh dan tuduh tanpa bukti.

Merujuk kepada penjelasan YAB Dr. Khir Toyo berkenaan isu perobohon Surau Jubli Perak, saya ingin perturunkan beberapa fakta yang cuba disembunyikan oleh beliau dalam isu perobohan surau ini.

1. Surau Jubli Perak telah digunakan sebagai surau untuk solat lima waktu semenjak tahun 1987 lagi. Kebenaran untuk mengadakan solat Jumaat di surau berkenaan telah diperkenankan oleh DYM Sultan Selangor dan pihak berkuasa agama negeri pada tahun 1995. Pada waktu itu, masjid yang paling hampir dengan surau tersebut untuk mengerjakan solat Jumaat ialah Masjid UKM, sekitar 2.5 kilometer jaraknya dari surau Jubli Perak.

2. Taraf sementara surau tersebut ialah sehingga surau baru yang menggantikan surau sedia ada disiapkan. Sehingga hari ini surau baru tersebut masih belum disiapkan walaupun tapaknya telah ada kerana kekurangan dana bagi menyiapkan. Lagipun pihak berkuasa agama masih belum memberi sebarang kelulusan bagi pembinaan surau tersebut sehingga hari ini.

3. Kesemua masjid-masjid di sekitar Bandar Baru Bangi tidak mampu menampung bilangan jemaah semasa solat Jumaat. Di Masjid Hasanah, para jemaah terpaksa bersolat di kaki lima dan bawah tangga kerana kesesakan. Begitu juga di Masjid Teras Jernang, Surau An-Nur, Masjid UKM, Masjid MPI, dan Masjid Sg. Merab. Pihak Surau An-Nur, sebagai contoh, terpaksa menyediakan khemah-khemah kerana limpahan para jemaah setiap kali solat Jumaat. Sepatutnya kemudahan ini ditambah dan bukannya dikurangkan dengan merobohkan Surau Jubli Perak.

4. Kewujudan Masjid Hasanah dijadikan alasan oleh YAB Khir Toyo untuk merobohkan Surau Jubli Perak. Selain penuh sesak setiap kali Jumaat, jarak masjid baru tersebut dengan surau Jubli Perak ialah 3.4 kilometer. Ianya lebih jauh dari Masjid UKM yang memang telah sedia ada sebelum dari kebenaran mengadakan solat Jumaat di Surau Jubli Perak diberikan pada tahun 1995. Masjid lain yang berhampiran ialah Masjid Teras Jernang (5.3 kilometer) dan Surau An-Nur (3.0 kilometer).

5. Memandang garis panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa agama negeri untuk sesuatu tempat itu mendirikan solat Jumaat ialah tidak kurang dari 1.3 kilometer, maka kewujudan Masjid Hasanah bukan alasan yang benar bagi merobohkan surau Jubli Perak.

6. Tapak surau yang dirobohkan itu telah didirikan Tadika Kemas. Ini bermakna alasan bahawa surau tersebut dirobohkan bagi kemudahan penduduk mengerjakan aktiviti seperti kenduri dan sebagainya di tapak tersebut juga palsu, kerana kawasan itu sekarang juga telah dibuat dinding sepertimana Surau Jubli Perak sebelum dirobohkan.

7. Pembinaan Tadika Kemas di tapak surau tersebut juga memperkukuhkan andaian bahawa terdapat agenda politik UMNO dalam isu perobohan Surau Jubli Perak. Umum mengetahui bahawa KEMAS adalah perkakas politik UMNO/BN. Petugas KEMAS dibuat secara lantikan politik oleh pimpinan UMNO/BN. Premis KEMAS juga sering dijadikan Bilik Gerakan Barisan Nasional pada setiap kali musim pilihanraya.

Selain dari penyembunyian dan penyelewengan fakta, YAB Khir Toyo juga telah membuat tuduhan liar yang amat memalukan untuk dilakukan oleh seorang Menteri Besar.

1. Tuduhan bahawa kutipan wang Jumaat digunakan untuk membiayai aktiviti parti tertentu adalah tohmahan yang dahsyat. Malangnya, beliau tidak mampu membuktikan tuduhan yang sebegini besar.

2. Tuduhan bahawa mimbar Surau Jubli Perak digunakan sebagai pentas politik untuk memaki hamun pemimpin tertentu juga dibuat secara melulu tanpa sebarang pembuktian. Seolah-olahnya, tuduhan liar ini sudah cukup menjadi lesen bagi menghalalkan apa juga tindakan keji parti pemerintah ke atas seteru politiknya.

3. Tuduhan YAB Khir Toyo bahawa PAS mengambil kesempatan politik dari isu perobohan surau ini jelas menunjukkan bahawa beliau mempunyai niat yang tidak baik terhadap PAS dan cuba lari dari masalah sebenar. Beliau sepatutnya maklum bahawa arahan penutupan Surau Jubli Perak sememangnya ditentang oleh penduduk setempat. Ianya juga tidak dipersetujui oleh hampir kesemua pentadbir surau-surau di Bandar Baru Bangi.

Sebagai seorang Menteri Besar, YAB Khir Toyo seharusnya melihat kepada isu yang lebih penting iaitu tentang kesukaran murid-murid sekolah mengerjakan solat Jumaat, terutamanya bagi murid yang tinggal jauh dari masjid dan ibubapa mereka bekerja jauh dari tempat tinggal. Sudahlah mereka terpaksa berkejar dengan waktu di antara waktu selepas balik sekolah sessi pagi, waktu makan tengahari, dan waktu sessi kelas agama petang, kenderaan untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat tidak ada. Malah ramai murid-murid yang masih berada di atas bas, pulang dari sekolah, ketika azan Zohor dilaungkan. Apakah YAB Khir Toyo merasakan beliau tidak akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti di atas kesulitan rakyatnya mengerjakan solat Jumaat? Dengan merobohkan Surau Jubli Perak, semakin ramai murid sekolah tidak dapat menunaikan kewajipan solat Jumaat. Anehnya, Khir Toyo tidak pula merasa semakin berdosa dengan tindakannya.

Jamzuri Ardani
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor.






______________________
Terbitan : 26 Feb 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com