Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris - Jelaskan peruntukan RM5 bilion -- Azmin

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad mesti menjelaskan senarai penuh tentang peruntukan RM5 bilion yang akan dibelanjakan untuk melaksanakan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang, Azmin Ali.

"Perdana Menteri telah mengumumkan dalam pembentangan belanjawan 2003 di Parlimen bahawa jumlah RM5 bilion itu akan diperuntukkan untuk melaksanakan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di semua sekolah dalam tempoh masa tujuh tahun daripada tahun 2002 sehingga tahun 2008. "Daripada jumlah peruntukan RM5 bilion itu, sebanyak RM978.7 juta akan dibelanjakan bagi tahun 2002 dan 2003.

"Tetapi, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Datuk Abdul Rafie Mahat mengumumkan bahawa Kementerian Pendidikan telah memperuntukkan sebanyak RM3.29 bilion untuk perbelanjaan tahun ini, ataupun lebih kurang satu pertiga daripada jumlah peruntukan belanjawan 2003 untuk Kementerian Pendidikan.

"Oleh itu, Tan Sri Musa mesti memberitahu rakyat bagaimana Kementerian Pendidikan boleh membelanjakan RM3.29 bilion pada tahun ini sedangkan Mahathir mengumumkan dalam ucapan belanjawannya bahawa jumlah peruntukan RM5 bilion itu adalah peruntukan bagi tempoh selama tujuh tahun iaitu daripada 2002 sehingga 2008," katanya.

Menurut Azmin lagi, jikalau diambil kira penjelasan Mahathir di Parlimen, lebih kurang 20 peratus daripada peruntukan RM5 bilion itu akan dibelanjakan pada tahun 2002 dan 2003, dan baki lapan puluh peratus lagi akan diperuntukkan untuk lima tahun berikutnya iaitu daripada 2004 sehingga 2008. "Bagaimanapun timbul kekeliruan apabila Rafie membuat kenyataan iaitu untuk tahun 2002 sahaja RM3.29 bilion telah diperuntukkan.

"Adakah ini bermaksud peruntukan RM5 bilion untuk melengkapkan perlaksanaan dasar mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah tidak tepat dan jumlah peruntukan akan bertambah dua atau tiga kali ganda lagi? Mungkin RM15 bilion sehingga RM20 bilion!" tambahnya.

Azmin juga mendesak Tan Sri Musa supaya mengumumkan dengan terperinci senarai perbelanjaan yang melibatkan RM3.29 bilion itu dan siapakah yang berjaya menjadi pembekal dan kontraktor serta menyerahkan laporan tahunan yang lengkap kepada Parlimen tentang perkembangan dan tahap kejayaan program tersebut.

"Ini menimbulkan persoalan lain yang amat penting iaitu pertanggungjawaban, amanah dan ketelusan dalam mengurus wang rakyat yang berjumlah berbilion-bilion ringgit," tambahnya.






______________________
Terbitan : 2 Feb 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com