Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Percanggahan 'Batu-Batu Yang Aneh'

Assalammualaikum wbk.

Terlebih dahulu izinkan saya panjatkan rasa syukur dan puji-pujian ke hadrat Allah swt. di atas restu dan izinNya yang mengatur dan memberi kekuatan untuk terus menyumbang dan bersama-sama para sahabat yang dirahmati. Selawat serta salam ke atas junjungan Nabi Muhammad ibni Abdullah saw., kepada para ahli keluarganya dan para sahabat baginda, para tabi'in dan tabi' attabi'in serta seluruh muslimin dan muslimat yang dirahmati dan dikasihi Allah swt. Kepada semua penggerak wadah egroups tercinta, saya doakan agar kalian terus-terusan mendapat panduan, kerahmatan dan bantuan dari Allah swt. Tidak lupa juga salam kerberkatan untuk semua sahabat yang lain yang mencintai akan kebenaran dan memperjuangkan akan keadilan. Dan kepada sahabat yang bukan beragama Islam, salam ceria dan sejahtera diucapkan.

Dengan izin moderator budiman. Saya nak ulas sedikit sahaja email daripada saudara Rosdi yang bertajuk Percanggahan 'Batu-Batu Yang Aneh' bertarikh Jumaat 21 Feb 2003.

Terlebih dahulu saya kalungkan ucapan tahniah buat saudara Rosdi yang agak peka dan sensitif dengan kisah-kisah yang berkaitan dengan agama. Sekurang-kurangnya ada juga seorang sahabat yang mewakili sahabat yang lain di dalam menyaring dan menegakkan antara hak dengan yang batil dan membetulkan yang salah dengan kebenaran. Menyaring antara illusi fata-morgana yang dicipta oleh syaitan dengan kebenaran yang hakiki menepati kehendak Al-Quran dan Sunnah.

Di dalam Surah Al-Baqarah ayat 208, Allah swt. telah berfirman

[208] Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata

Dan di dalam Surah Yasin ayat 60, Allah swt. berfirman

[60] "Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!

Surah Faatir ayat 6 sekali lagi Allah swt. berfirman

[6] Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka

Di kesempatan yang terhad buat saya, izinkan saya menjawab serba sedikit dengan ilmu yang masih kurang dan cetek pengetahuan. Andaikata pendapat saya ini bercanggah dan menyongsang dari perspektif hujahnya, muhaddithnya, hafiznya, sanadnya, isnadnya, musnadnya, musnidnya mahupun rawinya, perbetulkanlah saya dengan teguran yang penuh hikmah. Kerana yang baik itu adalah dari Allah Yang Maha Sempurna dan Maha Mengetahui dan yang silap dan serba serbi kekurangan itu adalah dari saya jua.

Pertamanya saudara Rosdi mempersoalkan bagaimana mungkin umat yang ada sebelum kedatangan Nabi Muhammad saw. dapat mengucapkan dua kalimah syahadah yang terkandung di dalamnya pengakuan Nabi Muhammad saw. sebagai Rasul Allah? Padahal Muhammad saw. belum diutuskan lagi di ketika itu.

Saudara Rosdi dan para sahabat yang seaqidah,

Sebelum saya menjawab akan kewujudan dua kalimah syahadah sebelum kelahiran Rasul Allah Muhammad, izinkan saya berkisah sedikit akan penciptaan Baginda saw. sebelum kelahiran Baginda saw. itu sendiri di bumi ini.

Di bawah ini saya sisipkan tiga sabda Muhammad saw. yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah al-Ansari

“Awal-awal perkara yang telah dijadikan (dicipta) oleh Allah swt. itu adalah Nur Nabi engkau hai Jabir. Maka menjadi Ia Allah daripadanya (Nur Muhammad) akan beberapa Asyaa' (sesuatu yang dijadikan Allah) dan kamu daripada demikian itu Asyaa”

“Hai Jabir! Bahawasanya Allah Taala menjadi Ia sebelum Asyaa' akan Nur Nabi engkau daripadaNya (Nurul Zat)”

“Bahawasanya Allah Taala menjadi Ia akan Roh Nabi saw. daripada ZatNya dan menjadi Ia akan alam sekelian daripada Nur Muhammad saw.”

Dari Nur Muhammad itulah seluruh yang ada dicipta dan diwujudkan syurga dan neraka, dunia dan akhirat, para malaikat, Arasy, Kursi, Sirath, manusia, jin, haiwan, jamadat dan lain-lainnya. Ertinya kalau bukan kerana Nabi Muhammad saw., yang lain tidak akan diwujudkan. Muhammad saw. membawa rahmat zahir dan batin kepada semua makhluk Allah swt.

Nota 1: Untuk lebih lanjut, saudara Rosdi dan sahabat yang lain boleh merujuk kepada tajuk MENGAPA MUHAMMAD IBNI ABDULLAH SAW. DIMULIAKAN yang saya sisipkan di perenggan bawah

Nota 2: Saudara Rosdi dan sahabat yang lain boleh membuat rujukan di atas kepada sahabat-sahabat yang mempunyai latar pendidikan Usuluddin dan Tahqiq

KEWUJUDAN DUA KALIMAH SYAHADAH SEBELUM KELAHIRAN MUHAMMAD IBNI ABDULLAH SAW.

Kalau kita lihat dan teliti akan sejarah dan hikmah hakikat dakwah utusan Allah swt. ini, kita akan dapati bahawa setiap Rasul dan Nabi semenjak zaman Nabi Allah Adam as. sehinggalah ke zaman Nabi Allah Muhammad saw. membawa misi yang satu dan sama iaitu beriman kepada Allah swt. melalui dakwah ikatan syahadah, “Asyhadu Al-laa ilaha il-lallah Wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah”

Rasul dan Nabi terdahulu juga berdakwah membawa umat kepada pengabdian Allah swt. sahaja (kalimah tauhid) iaitu mengetahui, berikrar, mengakui dan mempercayai bahawa sesungguhnya sembahan yang benar dan berhak disembah ialah Allah swt. sahaja manakala selain daripadaNya sama sekali tidak benar dan tidak berhak disembah serta dengan ikhlas menyerah kepada Allah swt. dengan penuh rasa mahabbah (cinta) kepadaNya, khauf (takut) kepadaNya, raja’ (pengharapan), tawakal dan raghbah (keinginan) dan rahbah (kegerunan) hanya kepada Allah swt. Bahawa semua itu dibina dengan ibadat yang ikhlas zahir dan batinnya kepada dan kerana Allah swt. Tidak ada sekutu bagiNya, tidak dijadikan ibadat itu kepada yang lain melainkan kepadaNya. Seterusnya menerima segala hukum dengan yakin dan redha.

Kita boleh mengambil contoh Nabi Allah Ibrahim as. yang berdakwah kepada kaumnya untuk membawa mereka pengabdian kepada Allah swt. seperti yang termaktub di dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 4 dan 5

[4] Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata", tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): "Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu". (Berdoalah wahai orang-orang yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali!

[5] "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana penindasan orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"

Firman Allah swt. di dalam Surah Al-Kahfi ayat 110 pula menyebut betapa dakwah para Rasul dan Nabi itu hanya penyembahan Allah swt. yang satu

[110] Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya"

Juga diperkuatkan lagi bukti di dalam Al-Quran itu sendiri yang begitu nyata dan jelas bahawa Allah swt. dan para MalaikatNya berselawat sebagai penghormatan ke atas Nabi Muhammad saw. sebagaimana firman Allah swt. di dalam Surah Al-Ahzaab ayat 56

[56] Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya

Dan jika kita meneliti hadis Rasullullah saw. dari Abu Hurairah ra. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Demi Tuhan yang diri Muhammad di dalam kekuasaannya! tidak ada seseorangpun dari umat manusia ini sama ada Yahudi atau Nasrani yang mendengar akan perihalku (menjadi utusan Allah) kemudian ia mati sedang ia tidak beriman dengan (agama Islam) yang aku diutus membawanya melainkan ia dari ahli neraka" (Riwayat Muslim)

Nota 3: Sila rujuk kisah Ka’ab al-Ahbar dan surah di bawah ini

Dibuktikan lagi pada firman Allah swt. di dalam Surah As-Saff ayat 6

[6] Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang jelas nyata!"

Diriwayatkan juga bahawa apabila Allah swt. menciptakan langit dan bumi, Allah swt. telah menyeru para malaikatNya dan lalu MalaikatNya menyeru , “Asyhadu Al-laa ilaha il-lallah” tiga kali, “Wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah” sebanyak 3 kali

Nota 4: Ketika ini, saya masih belum mampu menjumpai siapa perawawinya mahupun sanadnya yang mengeluarkan ini riwayat di atas ini. Kepada sahabat yang lebih arif, sila bantu saya jika benar riwayat di atas ini dan perbetulkan jika saya tersasar

Secara ringkasnya, dua kalimah syahadah yang menjadi tunjang rukun keislaman umatnya telah lama wujud sebelum terciptanya makhluk Allah swt. yang lain, telah lama bersemadi di Sidratul Muntaha dan Mustawa serta kesemua Rasul dan Nabi memeluk dan mengajar agama tauhid dan Islam berpegang kepada kalimah “Asyhadu Al-laa ilaha il-lallah Wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah” dan nama Muhammad wujud sebelum kewujudan alam semesta dan juga sebelum kelahiran Baginda saw. di muka bumi ini. Wallahualam.

MENGAPA MUHAMMAD IBNI ABDULLAH SAW. DIMULIAKAN

Muhammad ibni Abdullah saw. adalah makhluk Allah swt. yang pertama dan yang paling utama dicintai oleh Allah swt. Muhammad ibni Abdullah saw. adalah hamba Allah swt. yang awal wujud nisbah roh dan yang akhir nisbah jasad di kalangan para nabi. Baginda saw. satu-satunya Rasul yang diisrak dan dimikrajkan. Baginda adalah Habibullah (kekasih Allah swt.), satu-satunya Nabi yang mempunyai tanda kenabian (Khatamun Nubuwah) pada tubuhnya, mengetuai seluruh para rasul dan para nabi, penghulu seluruh orang yang bertaqwa dan Imam seluruh umat. Muhammad ibni Abdullah saw. adalah insan termulia melebihi tingkat dan darjat dari seluruh nabi-nabi dan umat manusia, bahkan seluruh makhluk-makhluk Allah swt. Kerana itu Baginda saw. bergelar "Rahmatan Lil 'Alamin" yang bererti "Rahmat bagi seluruh alam". Syariatnya meliputi seluruh jin dan manusia dan juga penutup seluruh syariat. Orang yang memberi syafaatul-kubra di akhirat dan orang yang pertama memasukki syurga.

Baginda saw. memiliki ilmu dunia dan akhirat sekalipun Baginda saw. seorang yang ummi (tidak boleh menulis dan membaca). Nabi saw. mempunyai akhlak yang paling mulia yang tiada timbangtaranya. Bahkan lebih mulia dari para malaikat. Kerana kemuliaan Baginda saw. yang begitu terserlah dan ketara di sisi Penciptanya maka Allah swt. satukan nama Baginda saw. dengan Namanya (Allah) di dalam dua kalimah syahadah yang kita kerap sebut dan baca ketika solat. Malahan tidak sah Islam seseorang itu kalau tidak diucapkan nama Muhammad saw. bersama dengan nama Allah swt.

Doa yang hendak dikabulkan, awal akhir kenalah menyebut nama Muhammad saw. Doanya sangat makbul, bahkan sesiapa yang berdoa bertawassul dengannya lebih diterima doanya. Siapa yang banyak berselawat dengannya diberi syafaat di Akhirat. Siapa yang selalu menyebut namanya diturunkan rahmat dan berkat.

Banyak perkara-perkara ghaib yang dibuka oleh Allah swt. kepada Baginda saw. sehinggakan sebahagian perkara-perkara di langit diperlihatkan dan yang belum terjadi seperti peristiwa akhir zaman dapat diceritakan.

Dari Nur Muhammad seluruh yang ada dicipta dan diwujudkan syurga, neraka, dunia, akhirat, para malaikat, Arasy, Kursi, Sirath, manusia, jin, haiwan, jamadat dan lain-lainnya. Ertinya kalau bukan kerana Nabi Muhammad saw., yang lain tidak akan diwujudkan. Muhammad saw. membawa rahmat zahir dan batin kepada semua makhluk Allah swt.

Al-Quran menjelaskan agama para Rasul dan Nabi terdahulu adalah Islam. Islam bermaksud tunduk dan patuh kepada perintah Allah swt. Setiap Rasul dan Nabi menyeru umatnya ke arah mengabdikan diri kepada Allah swt. semata-mata dan mematuhi syariatNya yang diutuskan kepada setiap Rasul dan Nabi ini.

Setiap Rasul dan Nabi berpegang dengan syariat yang diutuskan oleh Allah swt. kepadanya yang sesuai dengan masa dan masyarakatnya. Begitulah juga Nabi Muhammad saw. yang diutuskan oleh Allah swt. bagi menegakkan aqidah Rasul dan Nabi terdahulu dan melaksanakan syariat yang diutuskan kepada Baginda saw. untuk seluruh umat manusia sehingga berlakunya hari kiamat.

Ini bermakna syariat Muhammad saw. adalah penyudah atau pelengkap dalam menyempurnakan segala syariat Rasul dan Nabi terdahulu dan sesuai dengan suasana manusia yang hidup di akhir zaman hinggalah ke hari Pembalasan.

Berdasarkan keterangan ini jelas menunjukan agama para Rasul dan Nabi terdahulu adalah Islam dan berpegang kepada kalimah syahadah dan tauhid kerana Rasul dan Nabi terdahulu juga menyeru manusia ke arah ketundukkan dan kepatuhan kepada segala yang diperintahkan oleh Allah swt. sebagaimana juga Nabi Muhammad saw. yang diperintahkan menyeru manusia ke arah ketundukan dan kepatuhan kepada segala yang diperintahkan oleh Allah swt.

Marilah kita renung firman Allah swt. di dalam Surah Al-Mujaadalah ayat 7

[7] Tidakkah engkau memikirkan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dia lah yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dia lah yang keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Ia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Ia akan memberi tahu kepada mereka - pada hari kiamat - apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu

Wallahualam

Jazakalahu khairan katsira

Wassalammualaikum wbk.

Shamsul Kamal bin Main
09:35 PM

ps. Saya mohon maaf banyak sangat kerana tidak dapat mengulas (respon) persoalan Dunia Di Ambang Akhir Zaman daripada saudara Asrul Muzaffar Mohammed dan juga Sehari di Arasy Sama 1,000 Tahun Dunia? daripada saudara Abuzar bin Hilman seperti yang diminta oleh individu tertentu yang saya percaya warga Relexjap juga. Saya sibuk sesangat sekarang ini. Tambahan pula saya tidak mampu menambah apa-apa bila berhadapan dengan sisipan daripada saudara Asrul Muzaffar Mohammed dan saudara Abuzar bin Hilman. Saya pun masih merangkak lagi nih! Saudara Abd. Hafiz Hashim boleh tolong? Lama benar sahabat yang saya ingati ini menghilang.

..................
rosdi.MMOSAICS@mmosaics.com wrote:

Subject: [Relexjap] NWR(A) - Percanggahan 'Batu-Batu Yang Aneh'
Date: Fri, 21 Feb 2003 16:58:54 +0800

Wallahu a'lam.

Setakat pengetahuan saya yg cetek ini, cerita tersebut saling bercanggah diantara isi-isinya. antara buktinya :

1- Cerita tersebut dikatakan berlaku pada zaman dahulu, ini bermakna ianya berlaku sebelum pengutusan Nabi s.a.w. sebagai rasul, kerana cerita tersebut dikatakan hadith. Umum mengetahui istilah hadith biasa digunakan bagi mewakili ucapan nabi s.a.w.

Persoalannya ........

Bagaimana mungkin umat yg ada sebelum kedatangan Nabi s.a.w. dapat mengucapkan dua kalimah syahadah yg terkandung di dlmnya pengakuan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasul ? Padahal Nabi s.a.w. belum diutuskan lagi di ketika itu. (sila check balik cerita di bawah ini)

2- Sememangnya ahlus sunnah wal jama'ah memahami bahawa mana2 hamba yg mati dlm keadaan melakukan dosa, namun masih mempunyai aqidah yg murni, ianya tidaklah akan kekal berada di dlm neraka. Tetapi ahlus sunnah tidak pula mengatakan ianya bebas daripada azab di atas dosa yg pernah dilakukannya, hamba yg berdosa tersebut akan terlebih dahulu di azab beberapa ketika, setelah itu barulah ia akan di masukkan ke dlm syurga oleh Allah s.w.t.

Perkara ini berlawanan dengan kenyataan yg ada di dlm cerita tersebut. Jika benar dengan batu dari Arafah yg diucapkan dua kalimah syahadah padanya dapat menyelamatkan seseorg daripada azab api neraka Allah s.w.t. maka sudah tentu perkara ini akan dikhabarkan terlebih dahulu oleh rasulullah s.a.w. kepada kita. Tetapi kita tidak ketemukan arahan atau tunjuk ajar yg sedemikian rupa dari nabi s.a.w.

Atau setidak2nya arahan dari nabi sepaya setiap para jemaah haji melakukan perkara yg sama seperti yg ada di dlm cerita tersebut. mudah2an kita tidak tertipu dgn puak2 yg asyik nak menjadikan umat Islam ini umpama 'MAT JENIN' dalam beragama.

wallahu a'lam






______________________
Terbitan : 24 Feb 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com