SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Peluang lebih cerah untuk lulusan SARArfa'eza Aziz Masyarakat Melayu akan terus mempertahankan sistem pendidikan SAR kerana graduan sistem pendidikan Islam tertua akan memperolehi sekurang-kurangnya lapan sijil pelajaran setelah tamat pengajian di peringkat rendah dan menengah. Berbekalkan sijil-sijil yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan dan Jabatan Agama Islam Negeri itu, pelajar SAR mempunyai lebih banyak pilihan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang biasa atau pendidikan Islam. Menurut pengerusi Pertubuhan Pendokong Sekolah Agama Rakyat Negeri Perak, Wan Ahmad Tarmizi Abdul Aziz, selepas tamat pengajian di sekolah rendah SAR, pelajarnya akan memperolehi Sijil Penilaian Rendah Agama (SPRA), Sijil Ujian Penilaian Kertas Kafa (UPKK), di samping sijil UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan. Manakala di peringkat menengah pula, selain Sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar juga mendapat Sijil Idadi, Sijil Sanawi dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), tambahnya. "Di peringkat sekolah menengah, sudah dibuat penyelarasan peringkat peperiksaan sijil tertinggi di mana Lembaga Peperiksaan sudahpun mengiktirafkan STAM sebagai syarat untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di dalam dan luar negara," kata Tarmizi dalam satu laporan yang dimuatkan dalam buku kecil bertajuk "Menjawab Fitnah terhadap SAR". Laporan itu dimuatkan dalam buku tersebut bagi meyokong hujah mengapa sistem pendidikan SAR tidak mungkin boleh diserapkan ke sekolah kebangsaan sepertimana yang dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan tahun lepas. Banyak pilihan Sementara itu, ketika dihubungi malaysiakini untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kelebihan sijil-sijil tersebut, Tarmizi berkata: "Sijil SPRA dan UPKK diambil kira dalam permohonan masuk ke sekolah menengah agama kebangsaan yang berprestij yang pengambilan pelajarnya adalah amat terhad. "Manakala sijil Idadi, Sanawi dan STAM pula adalah keperluan asas bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi seperti Kolej Islam dan Kolej Sultan Zainal Abidin (Kusza)." Malah, katanya, Sijil Idadi dan Sanawi adalah perlu bagi mereka yang mahu memilih kerjaya dalam bidang agama seperti untuk menjadi Imam. Sebaliknya, kata beliau, pelajar kebangsaan tidak mempunyai pilihan dalam bidang agama kerana sistem sekolah kebangsaan tidak menawarkan subjek agama Islam yang khusus. "Sistem pendidikan SAR telah terbukti membebaskan anak mereka daripada buta al-Quran, buta Jawi serta buta fardhu ain. Kejayaan ini masih belum dibuktikan oleh sistem pendidikan kebangsaan," katanya. Kebanyakan ulamak, mufti dan guru agama yang berkerja dengan kerajaan atau swasta adalah kelahiran daripada sistem kelahiran SAR, tambah Tarmizi yang juga seorang pengetua sekolah agama di Perak. Tidak sama Pendapat beliau disokong oleh seorang ahli perniagaan Zabidi Morad yang turut mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Agama Rakyat Al-Tahzib di Perak. Menurutnya, sistem pendidikan SAR memberi beliau dan rakannya lebih banyak pilihan dalam menentukan masa depan mereka. "Jika belajar di sekolah kebangsaan, peluang untuk memilih kerjaya yang khusus dalam bidang agama atau melanjutkan pelajaran dalam ilmu agama amat tipis berbanding mereka yang mendapat pendidikan agama di SAR. "Malah kami mempunyai peluang untuk memilih bidang lain, selain agama, kerana kami juga memiliki Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan SPM," katanya ketika dihubungi hari ini. Sementara itu, dalam laporan tersebut, Tarmizi berkata pelajar SAR mempelajari sembilan subjek agama Islam yang khusus iaitu Tauhid, Feqah, Tafsir, Hadis, Sirah, Bahasa Arab, al-Quran, Akhlak dan tulisan Jawi/Khat, berbanding hanya satu subjek iaitu Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan. Katanya, SAR juga mengagihkan 15 jam seminggu untuk pengajaran sembilah subjek tersebut, berbanding dengan peruntukan hanya tiga jam di sekolah kebangsaan. Kembali rasional "Perbezaan itu amat ketara dan menunjukkan penyerapan SAR ke sekolah kebangsaan tidak mungkin berlaku," kata Tarmizi. Oleh itu, katanya, kerajaan sepatutnya terus mengiktirafkan SAR sebagai penyokong dan pelengkap kepada sistem pendidikan kerajaan supaya usaha pendidikan yang ditaja di peringkat rakyat, terus berkembang. Beliau berpendapat mekanisma dan birokrasi pendidikan seperti Lembaga Penasihat Penyelarasan dan Pendidikan Agama Islam (Lepai), Jabatan Agama Islam Negeri dan kementerian pendidikan, boleh membantu mengawal dan memantau perjalanan SAR. Menurutnya lagi, isu SAR perlu ditangani secara pendidikan dan bukan politik, sepertimana yang dilakukan pada waktu ini. "Pendekatan politik dalam menangani isu SAR adalah tidak tepat dan jauh dari kemurnian dan dunia pendidikan. Marilah kita seluruhnya kembali rasional dalam menangani isu ini. Jangan kerana politik kepartian, maka yang menjadi korban adakah generasi muda pelanjut kepimpianan masa depan negara," katanya.
Diterbitkan oleh : |