Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

DUA DARIPADA TIGA HAKIM MASUK NERAKA

SEJAK peristiwa pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada tahun 1988, kewibawaan institusi kehakiman negara mula terhakis. Satu persatu keputusan mahkamah dipertikaikan rakyat. Kes D.P. Vijandran, Lim Guan Eng dan Murray Hiebert adalah beberapa contoh kecil.

Sepuluh tahun kemudian, sisa-sisa kehormatan badan perundangan itu terkubur rapat di mata rakyat apabila tercetus kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Peristiwa pemecatan Tun Salleh bersama beberapa hakim kanan lain turut turut melibatkan krisis badan perundangan sendiri. Ketua Hakim Negara selepas Tun Salleh tidak lagi dihormati termasuk oleh kalangan pengamal undang-undang.

Majlis Peguam Negara contohnya meluluskan resolusi supaya perlantikan Tun Hamid Omar sebagai Katua Hakim Negara ditarik balik atau beliau meletak jawatan. Tun Eusoff Chin yang menggantikan Hamid juga menerima nasib sama. Prestasi Eusoff diburukkan lagi dengan pendedahan ‘skandal’ percutian bersama peguam V.K. Lingam di New Zealand. Badan Kehakiman negara dilanda gerhana berterusan.

Namun, cahaya terang seolah-olah mula nampak apabila Tun Dzaiddin Abdullah mengambil alih tampuk. Ramai yang menaruh harapan berdasarkan rekod dan merit, beliaulah orang yang akan membawa perubahan dan mengembalikan badan kehakiman di tempat sepatutnya. Malah sesetengah pihak menggelar beliau ‘hakim reformasi’.

REFORMASI DZAIDDIN HANYA SEMENTARA

Tetapi ini tidak dipersetujui oleh peguam terkemuka, Raja Aziz Adrusse. Menurut Raja Aziz, reformasi badan kehakiman yang dicetuskan oleh Dzaiddin hanyalah dianggap sementara. “Sebaliknya, dalam keadaan kita (badan kehakiman) sepatutnya maju kedepan, kita telah mengambil langkah ke belakang,” kata Raja Aziz dalam majalah Insaf , terbitan Majlis Peguam Malaysia keluaran September 2001.

Kebimbangan Raja Aziz ini kemudiannya terbukti benar. Reformasi tersebut tidak lebih hanya kosmetik dan gagal membawa sebarang perubahan polisi. Cara Dzaiddin mengendalikan kes penting negara, iaitu kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak berbeza dari hakim-hakim sebelumnya.

Dzaiddin yang mengetuai panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan hukuman enam tahun penjara yang dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Augustine Paul.

Keputusan ini tidak mengambil kira hujah peguam Anwar, Christopher Fernando yang menyatakan perbicaraan kes Anwar adalah yang paling tidak adil dalam sejarah perundangan negara.

Fernando dan rakan-rakan peguam bela Anwar ketika berhujah di depan Dzaiddin membuktikan bahawa hakim Paul yang mengendalikan kes tersebut bersikap berat sebelah, menghalang pembela daripada mengemukakan saksi, mengugut dan memusuhi pihak pembela serta mengampu Peguam Negara.

Keputusan Dzaiddin itu meranapkan harapan tinggi rakyat Malaysia kepada beliau. Di luar negara, Dzaiddin menerima tamparan apabila Raul Rocco, wakil peribadi Presiden Gloria Macapagal Arroyo, enggan duduk semeja dengan beliau di sebuah majlis makan malam di Filipina sebagai tanda bantahan kepada keputusannya dalam kes Anwar.

HAKIM PENAKUT

Kurangnya wibawa dan keberanian hakim menyebabkan rakyat tidak menaruh harapan kepada mereka untuk mendapat keadilan. Tidak hairan jika warga internet, melalui forum-forum web, telah terlebih dahulu berani meramalkan keputusan kes Anwar berdasarkan ‘rekod hakim-hakim Malaysia’.

Persoalan yang dibangkitkan mereka, apakah hakim akan berani menyanggah 'isyarat' daripada Perdana Menteri yang berkali-kali menyatakan Anwar bersalah sebelum perbicaraan dimulakan. Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang dalam sebuah sajak berkata: “Adinda ku Anwar, palu telah dijatuhkan lama sebelum tangan mu terikat ke belakang”.

Apakah yang tersirat di sebalik ungakap ini? Bukankah ini bererti hukuman telah dijatuhkan lama sebelum Anwar dipecat. Jika pandangan Usman ini ditafsir, hukuman sebenarnya ditentukan oleh pihak lain lebih awal, dan hakim serta mahkamah hanya dijadikan alat untuk mengesahkan hukuman tersebut. Setakat itukah saja peranan hakim?

Kenyataan Anwar di Mahkamah Persekutuan selepas rayuannya ditolak Dzaiddin Julai tahun lepas mengesahkan telahan Usman ini, kata Anwar: "Konspirasi peringkat tertinggi kini lengkap sudah dengan mencakup mahkamah dan badan kehakiman. Mereka (hakim-hakim) diperangkap dan dengan rela menjadi perkakas dan tanduk kepada perintah penguasa”.

DAIF

Kenapa sampai sampai begitu daif hakim-hakim membiarkan diri mereka bergelumang dengan kontroversi? Bukankah hakim adalah penegak hukum yang harus patuh kepada tiada lain kecuali etika profession mereka iaitu ‘keadilan bukan saja harus diperlakukan, tetapi harus dilihat diperlakukan’. Hakim yang baik bertanggung jawab memastikan tidak ada pihak yang dizalimi dan mereka yang zalim wajib dihukum tanpa mengira pangkat atau kedudukan; berdasarkan fakta yang dikemukakan dihadapan mereka, bukan atas campur tangan atau arahan pihak lain.

Dalam kes Anwar, butakah mata hakim-hakim celik atau terencatkah akal sihat mereka untuk melihat dan mengkaji fakta yang dibawa di hadapan mereka antara lain seperti:

a. Surat Ketua Pengarah Cawangan Khas ketika itu, Dato’ Mohd Said Awang kepada Perdana Menteri yang menyatakan bahwa hasil siasatannya mendapati semua tuduhan terhadap Anwar tidak berasas.

b. Said juga ketika menjadi saksi untuk menyabitkan Anwar, mengaku di depan hakim bahawa beliau sanggup berbohong sekiranya diminta berbuat demikian.

c. Pengakuan bercanggah saksi utama, Azizan Abu Bakar di dalam mahkamah yang pada satu ketika menyatakan beliau diliwat kemudian di saat lain mengaku tidak diliwat.

d. Perubahan tiga kali tarikh pertuduhan oleh Peguam Negara daripada tahun 1997 kepada di antara Januari dan Mac tahun 1993.

e. Alibi Anwar di dalam mahkamah yang membuktikan beliau tidak berada di tempat kejadian (Tivoli Villa) diantara Januari dan Mac tahun 1993. (Alibi ini tidak pun dicabar oleh pihak pendakwa; bererti hakim harus menerimanya sebagai sahih).

f. Pendedahan peguam kepada Dato’ Nalla Karuppan, Manjeet Singh yang mendedahkan insiden yang berlaku dalam pertemuannya dengan Pegawai Kanan Peguam negara, Dato’ Gani Patail. Gani menggunakan perjumpaan tersebut, berserta hukuman mati (terhadap Dato’ Nalla) di bawah Seksyen 57, ISA, sebagai alat tawar menawar untuk mendapatkan bukti terhadap Anwar.” Fakta-fakta tersebut sudah sudah bagi orang awam,walau tanpa pengatahuan undang-undang untuk menghukum bahawa kes ini adalah satu rekaan yang bertujuan jahat terhadap Anwar. Jika seorang peniaga air tebu atau guru sekolah rendah boleh berfikir sedemikian, kenapa hakim-hakim yang mengendalikan kes Anwar tidak boleh berfikir?

PANDANGAN DUNIA DIABAI

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Harun Hashim ketika diminta memberi komen terhadap kes Anwar berkata: “Saya terkejut bila hakim (Augustine Paul) mengarahkan (Anwar) untuk membela diri. Sekiranya saya menjadi hakim, telah lama kes ini dibuang” (majalah Time Ogos 2000).

Pemenjaraan Anwar juga mendapat perhatian daripada pertubuhan bukan kerajaan dalam dan luar negara. Sebuah pertubuhan hak asasi, Aliran Kesedaran Kebangsaan (Aliran) berkata adalah sangat malang, mahkamah terlihat di mata rakyat sebagai kasar dan kejam terhadap Anwar. Aliran mempersoalkan kenapa hakim tidak membenarkan ikat jamin sedangkan ‘kesalahan’ Anwar boleh diikat jamin menurut undang-undang.

Aliran juga membangkitkan kenapa hukuman Anwar tidak bermula dari tarikh beliau ditahan (enam bulan sebelum itu), tetapi dikira dari tarikh bermulanya hukuman. Ini menyebabkan Anwar dihukum lebih lama dari yang sepatutnya.

Timbalan Pengarah (Asia) Human Right Watch, Joe Saunders pula berkata hukuman terhadap Anwar Ini adalah jelas satu langkah ke belakang bagi Malaysia. Duta Jerman ke Malaysia, Juergen A R Staks berpendapat perbicaraan Anwar tidak dijalankan dengan adil menurut undang-undang Malaysia. Duta Amerika ke Malaysia, Marie T Huhtala pula mengeluarkan kenyataan tegas : “Kami tak fikir dia (Anwar) dibicarakan dengan adil dalam kedua-dua kesnya”.

Amnesty International, sebuah pertubuhan yang terkenal dalam perjuangan hak asasi berpendapat Anwar dan rakan-rakannya adalah 'Tahanan Prihatin' (prisoners of conscience) kerana mereka ditahan semata-mata kerana mahukan reformasi politik serta mempunyai pandangan berbaza daripada Perdana Menteri.

"Mahathir patut membebaskan mereka segara tanpa syarat," kenyataan Amnesty dipetik.

ULAMAK TERKEMUKA SELAR HAKIM MALAYSIA

Pakar-pakar perundangan Islam dan Syariah juga mengkritik cara kes Anwar diadili. Anggota Lembaga Fiqh Rabitah Alam Islami Mekah, Yusuf Al-Qardhawi dan Ahli Majlis Fiqh Antarabangsa Jeddah, Shaikh Taha Jabir Al-Awani serta ulama terkemuka Dato’ Dr Harun Din Al Hafiz bersependapat bahawa Anwar perlu dibebaskan dan mereka yang memfitnah beliau dihadapkan ke muka pengadilan.

Ketika mengeluarkan fatwanya, Shaikh Taha berkata, daripada kacamata Syariah, seseorang boleh mencatatkan berjilid-jilid perlanggaran hak-hak asasi tertuduh (Anwar). Kata, Shaikh Taha, Mahkamah telah menafikan hak tertuduh untuk memanggil saksi utama dalam kedudukan saksi sebagai Perdana Menteri. Anwar juga dinafikan permohonan, dari segi perundangan, untuk membolehkan 'mangsa' dan saksi utama pendakwa (Azizan) diperiksa dari segi perubatan terhadap tanda-tanda diliwat.

"Bukti perubatan boleh dijadikan bukti kukuh dalam kes seumpama ini. Saksi utama, Azizan sering menukar tarikh pertuduhan berdasarkan tahun dan bulan. Dalam mana-mana mahkamah Syariah dan sivil yang adil, ini sudah cukup untuk menutup kes dan mengenakan hukuman terhadap saksi dan 'mangsa' kerana kesalahan memfitnah (Qathf).

Adalah dikesali kerana mahkamah telah menerima satu tempoh (pertuduhan) selama beberapa bulan dan menafikan hak tertuduh bagi menentukan tarikh yang tepat," kata Shaikh Taha.

Oleh itu kata beliau lagi, Anwar patut diisytiharkan tidak bersalah. "Beliau patut dibebaskan serta-merta dan para penuduh beliau wajib dibicarakan kerana memfitnah. Hakim sepatutnya menegakkan nilai-nilai keadilan dan Syariah serta etika profesionnya dengan membuang kes tersebut."

Fatwa Shaikh Taha ini dipadamkan daripada pengetahuan umum oleh pemerintah dengan kerjasama media kawalan mereka. Sebagai rakyat, berulang kali kita diberitahu bahawa mahkamah adalah satu institusi mulia dan mempertikai keputusan hakim bererti menghina mahkamah.

RASUAH PARA HAKIM

Tetapi peraturan ini untuk mahkamah yang macam mana dan hakim jenis apa? Apakah ia termasuk hakim yang mengendali kes Anwar seperti Dato’ Augustine Paul, Dato’ Ariffin Jaka, Lamin Mohd Yunos, Ahmad Fairuz Sheikh Halim, Mokhtar Sidin, Tun Dzaiddin Abdullah, Tan Sri Steve Shim dan Dato' Haidar Mohd Noor? Apakah mereka terlepas dari golongan yang disebut oleh bekas Hakim mahkamah Tinggi dalam surat layang kontroversi mengenai 112 tuduhan salah laku dan rasuah para hakim dan badan kehakiman di negara? Salahkah kalau ada yang menganggap mereka adalah golongan yang menjadi sasaran peringatan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis baginda iaitu: “Dua daripada tiga hakim masuk Neraka”.

- Petikan dari rencana penuh Seruan Keadilan.






______________________
Terbitan : 22 Mac 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com