Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

MANIFESTO RAKYAT: EMPAT TUNTUTAN (8)

RUMUSAN~

TUNTUAN PERTAMA : Parti politik dengan kerjasama para cendekiawan (ilmuwan) dalam semua bidang hendaklah berusaha mengembalikan segala hak itu kepada rakyat secara kolektif. Hak tersebut adalah tanah, air, api dan angin tidak boleh dimonopoli oleh syarikat dan individu.

Jadi penguasa hendaklah berfungsi sebagai PAYUNG mengurus dan mengawal syarikat Dari hasil tanah didapati berbagai tanaman, galian termasuk minyak dan gas. Begitu dari air bukan sahaja air untuk diminum seperti air galian tetapi isi tasik, sungai laut dan lautan cukup banyak untuk manusia boleh makan, minum dan hidup selesa.

Dari api seperti elektrik, ribuan cabang kemudahan hidup dapat digunakan. Begitu juga dengan angin yang memberikan kemudahan dalam komunikasi dan perihal yang berkaitan dengan alam keliling. Begitu besar jumlah hasil yang berharga bilion dan trilion dolar. Memang banyak dan besar sekali hasil yang dianugerahi Allah kepada makhluk-Nya, terutama manusia. TUNTUAN KEDUA :

PENDIDIKAN DAN PERUBATAN merupakan bidang yang sangat penting bagi manusia. Tanpa kemudahan kedua ini maka manusia tidak akan hidup aman dan adil. Ini yang sedang berlaku di banyak negara dalam alam ini. Jadi, AKUJANJI yang tertinggi dan terpenting ialah memberi kepada rakyat pendidikan dan perubatan PERCUMA. Prioriti “kita” ialah kehidupan tersebut. Bincang tentang sukan, tentang seni tari untuk perpaduan dan hal yang canggih-canggih untuk memperlihatkan kita “boleh”, dalam berbagai hal lain, adalah termasuk dalam perkara nombor dua, tiga dan empat.

TUNTUAN KETIGA : Sebagai yang termaklum bahawa setiap pemerintahan terdapat tiga badan kuasa (trias politica) iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman. Negara yang baik dan adil biasanya setiap badan tersebut berpisah. Masing-masing mempunyai peraturan dan kuasa yang berdiri sendiri. Ertinya, tidak ada “suara dan tangan” atau tekanan dari luar yang turut campur. Hakim yang berwibawa adalah hakim yang bukan sahaja ia diterima oleh badan pemerintah, tetapi juga “DIAKUI” oleh rakyat. Legitimasi (kesahan) ini sangat perlu. Bukan kehakiman sahaja tetapi semua badan pemerintahan. Justeru itu dikehendaki semuanya telus. Ketiadaan rungutan yang banyak menandakan bahawa perjalanan kerajaan diterima oleh rakyat.

TUNTUTAN KEEMPAT :

1. Masalah sistem PILIHAN RAYA yang berkaitan dengan undang-undang dan peraturan. Sejauh mana undang-undang berkaitan, iaitu A hingga ke Z, dapat diterima oleh rakyat. Ertinya, ia tidak dibantahi oleh rakyat. Ertinya, Suruhanjaya Pilihan Raya adalah bersifat telus dan berwibawa. Ertinya, pilihan raya itu bersih atau jujur.

2. Rakyat dididik bahawa mereka punya hak dan tahu apa yang dimaksudkan dengan “hak rakyat”, seperti juga manusia yang jadi pemimpin politik itu sendiri. Pemimpin politik adalah hamba rakyat. Mereka bukan tuan. Mereka yang banyak bertanggungjawab dalam masyarakat ; bukan rakyat yang bertanggungjawab dengan berbagai kesalahan dan tuduhan. Sebab pemimpin merupakan hamba. Mereka makan “gaji” yang terbatas. Mereka ambil upah terbatas, menurut apa yang ditetapkan oleh undang-undang. Dalam hubungan ini maka “tuan” yang sebenarnya adalah pengundi dan rakyat. Bukan sebaliknya. Apa yang terlihat oleh rakyat bahawa apabila calon menang, mereka jadi YB dan gelar itu jadi simbol kehidupan dan tidak lama kemudian tidak kurang yang ‘mewah’.

3. Masalah janji yang terisi dalam kontrak sosial-politik (manifesto). Apakah janji tersebut merupakan satu kontrak sosial yang benar-benar diakui secara undang-undang (legal) atau tidak ? Jadi, bagaimana kedudukan undang-undang pilihan raya dapat menghukum tentang perihal kontrak atau janji yang bohong ? Apakah rakyat diajak berbahas tentang manifesto ? Sepatutnya bagi mengawasi isi kontrak sosial-politik maka setiap parti, hendaklah dalam setiap enam bulan mengadakan perjumpaan dengan rakyat sekali atau sebelum berlangsung sidang mesyuarat negeri dan parlimen. .

[Satu contoh, misal kata : Parti yang menang menyebut dalam pilihan raya, bahawa Pulau Pinang akan dikembalikan kepada kerajaan Kedah. Tetapi. sesudah ia menang, Pulau Pinang tidak disatukan dengan Kedah tanpa merujuk kepada rakyat ?.]

4. Masalah calon yang bakal jadi pemimpin.. Masalah diri calon iaitu tentang kebolehan dan kejujuran.

a. Harta calon dan keluarga terdekat hendaklah dihebahkan kepada rakyat semasa menjadi calon. Kemudian penambahan atau kekurangan harta kepada rakyat pada setiap enam bulan atau akhir tahun.

b. Jadi pemimpin bukan peniaga untuk tambah harta.. Sebab, politik bukan merupakan lesen untuk kehidupan diri sendiri..

c. Pemimpin sentiasa benar-benar berdialog atau bersoal jawab dengan rakyat, pada setiap enam bulan, di balai raya atau dewan bandaran.

5. Setiap bakal calon hendaklah mengikuti kursus undang-undang dan kemasyarakatan melalui berbagai cara.

6. Pemimpin hendaklah bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu dan memahami sejarah lama dan baru negara.

.

[Nota 1: Apa lagi yang diharapkan dalam kehidupan bermasyarakat yang mempunyai tanah yang subur dengan berbagai galian ; air yang banyak dengan isinya ; api yang baik dengan tenaga ; dan angin yang bebas dengan komunikasi ; jika rakyat tidak mendapat pendidikan dan perubatan percuma ?

Justeru itu jangan pula timbul persoalan itu dan ini tentang kewangan. Bahas dahulu masalah bersama rakyat. Jadi rakyat tidak akan berkata bahawa pemimpin berselindung di sebalik syarikat dan saham ?.]

[Nota 2 : Sudah lama kita merdeka ; sudah bayak Allah berikan hasil ; sudah banyak rakyat berkorban ; sudah berlaku banjir air mata dan darah dalam sejarah perjuangan ; sudah ramai yang tidak berpeluang mendapat pendidikan ; dan sudah ramai yang tidak mampu berubat. Wahai orang politik jangan dibuat-buat dan dicari-cari alasan negatif. Tumpukan pandangan pada dasar mengembalikan hak rakyat. Justeru untuk itu maka para ekonomi dan cendekiawan hendaklah diberi kesempatan yang luas menolong melaksanakan hal ini.]

Di atas adalah EMPAT TUNTUAN pokok yang mendasari kehidupan manusia. Menurut pendapat kami, bahawa selagi bidang tersebut, tidak diutamakan serta difokuskan, dalam pelaksanaan pembangunan negara, maka kami tidak percaya bahawa apa yang sedang dibuat dan akan dibuat boleh berjaya untuk “rakyat”.

SIAPA ORANG DAN PARTI YANG MAHU KE HADAPAN MEMPERJUANGKAN PERKARA BESAR TERSEBUT DI ATAS ?

Aq~ Mac 15-31, 2003






______________________
Terbitan : 21 Mac 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com