Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

BERDOLAK-DALIK DALAM SOAL SAR

Oleh S. Husin Ali

Pendidikan merupakan suatu sistem yang menjadi alat penting bagi menegakkan pembangunan insan, kemajuan masyarakat dan perpaduan negara. Oleh kerana itu ia perlu dibentuk dan dipupuk dengan halus serta tersusun supaya dapat mendatangkan faedah terbaik bagi rakyat untuk jangka panjang.

Sekiranya sebuah negara hendak mendirikan atau mengubah sistem pendidikan dengan baik, maka para pemimpin perlu mendapatkan pandangan dari semua lapisan masyarakat, termasuk orang politik, pentadbir, pakar pendidikan, guru, ibu-bapa bahkan pelajar dan lain-lain. Falsafah dan matlamat jangka panjang pendidikan itu mesti jelas dan diterima oleh semua golongan rakyat.

Nyata bahawa arah dan masa depan pendidikan negara tidak boleh ditentukan oleh kehendak seorang saja, walau bagaimana geliga otak, berapa banyak pengalaman ataupun betapa besar kuasa beliau. Terang juga bahawa pendidikan tidak harus diperalatkan untuk mencapai matlamat jangka pendek keuntungan politik atau peribadi yang terhad saja.

Akhir-akhir ini isu pendidikan menjadi kontroversi yang besar. Beberapa perubahan atau pindaan telah dikemukakan ke atas sistem pendidikan yang wujud. Akan tetapi, perubahan itu dikemukakan secara tampal sulam dan juga paksaan, tanpa didasarkan kepada kajian menyeluruh ataupun visi yang jelas. Punca idea perubahan tersebut ialah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mula-mula Mahathir mengemukakan supaya Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris. Tujuan utama beliau ialah untuk meningkatkan mutu bahasa Inggeris di kalangan murid-murid sekolah supaya mereka boleh menerima cabaran globalisasi dalam zaman komputer ini. Tidak siapa menafikan kebaikan serta keperluan memperbaiki mutu bahasa Inggeris. Akan tetapi ramai mempertikaikan cara yang Mahathir pilih. Mereka berpendapat cara terbaik ialah dengan mengajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran dari sekolah rendah dan menengah sehingga, jika perlu, sampai ke universiti.

Tetapi apa yang dilakukan oleh Mahathir? Beliau mengugut dan menggertak hendak menggunakan ISA ke atas siapa saja yang menentang kehendaknya. Sepatutnya pemerintah mengambil peluang dari peristiwa ini untuk berbincang dengan semua pihak dan memulakan proses meletak batu asas bagi sistem pendidikan yang lebih baik serta kukuh dan boleh diterima luas. Mengapa ini tidak dilakukan? Sebabnya, Mahathir bukan memikirkan tentang membuat perubahan atau reformasi pendidikan untuk jangka panjang. Beliau mempunyai tujuan politik jangka pendek, iaitu untuk menambah sokongan dari kalangan majoriti pengundi bukan Melayu.

Selepas reda soal bahasa pengantar Matematik dan Sains ini, Mahathir menimbulkan isu baru pula. Ini melibatkan Sekolah Agama Rakyat (SAR). Dalam negara ini terdapat lebih 450 buah sekolah SAR dengan hampir 200,000 penuntut. SAR mendapat bantuan lebih kurang RM90 per-kapita; RM60 dari Pusat dan bakinya dari Kerajaan Negeri serta Majlis Agama Islam. Mahathir mengisytiharkan kerajaan akan menarik balik bantuan kepada SAR. Sungguhpun beliau menafikan tujuannya ialah untuk menutup SAR, tetapi sebenarnya beliau mengharapkan dengan menarik balik bantuan itu, kebanyakan SAR akan terpaksa ditutup.

Apakah tujuan Mahathir? Nampaknya tidak lain tidak bukan hendak menjaga kepentingan politik parti serta dirinya sendiri. Beliau melihat SAR sebagai tapak kekuatan bagi parti pembangkang, terutama PAS. Kita tahu selain dari SAR ini terdapat sekolah pondok, yang lebih banyak di kampung-kampung dan kuat menyokong parti pembangkang. Memang sudah lama, dari zaman Tengku Abdul Rahman lagi, UMNO telah cuba menutup sekolah pondok, tetapi tidak begitu berjaya. Sekarang Mahathir pula cuba hendak membunuh SAR.

Apabila mula-mula beliau mengisytiharkan niat buruknya terhadap SAR, Mahathir menuduh ada pelajar yang diajar oleh guru-guru tertentu untuk memburukkan beliau sendiri dan juga kerajaan. Jikalau inilah alasannya, sepatutnya Mahathir atau pemerintah boleh mendesak pihak yang berkuasa di sekolah berkenaan supaya mengambil tindakan ke atas guru-guru yang terlibat. Bahkan jikalau ada alasan yang cukup, pemerintah boleh mengambil tindakan langsung dengan menggunakan undang-undang yang begitu banyak yang telah diluluskan, seperti undang-undang hasutan. Mengapa oleh kerana pijat seekor dua, seluruh kelambu hendak dibakar?

Manakala alasan cetek ini tidak diterima sebahagian besar rakyat, Mahathir menukar alasannya pula. Kebetulan sebulan dua yang lalu, akhbar milik UMNO-BN membesarkan cerita mengenai kes-kes keruntuhan moral, terutama di kalangan orang Islam. Mahathir segera mengambil peluang daripada suasana ini. Beliau menuduh bahawa keruntuhan moral berlalu akibat dari pengajaran agama Islam yang menyeleweng dan tidak mengikut agama Islam yang betul, terutama di SAR. Apabila dicabar oleh banyak pihak, termasuk Profesor Harun Din, apa dia agama Islam yang betul mengikut Mahathir, dan bagaimana SAR telah menyeleweng, Perdana Menteri bungkem saja, gagal memberi apa-apa jawapan.

Sekarang ini Dr Mahathir sudah mempunyai satu alasan yang lain. Waktu melawat Johor pada 14hb Februari baru-baru ini, beliau memuji sistem sekolah agama di Johor dan mengumumkan tujuannya untuk memperkenalkan sistem itu ke seluruh negara. Nampaknya selepas 22 tahu menjadi Perdana Menteri, Mahathir baru sedar daripada tidur dan melihat kebaikan sistem sekolah agama Johor itu. Di Johor, sekolah agama dibuka sebelah petang dan sekolah-sekolah biasa di sebelah pagi. Sistem ini telah bermula pada zaman penjajahan lagi, dan diteruskan tanpa banyak perubahan sehingga hari ini. Walaupun tidak diwajibkan, boleh dikatakan hampir semua penuntut sekolah biasa sebelah pagi pergi ke sekolah agama sebelah petang.

Saya sendiri adalah salah seorang daripada hasil sekolah agama itu. Pendidikan di sekolah agama tersebut mengambil masa dua jam tiap-tiap hari, lima hari dalam seminggu, dan tamat dalam tempoh enam tahun. Antara mata pelajaran di sekolah agama ini ialah: Membaca Quran, Tauhid, Ibadat, Muamalat, Munakahat, Tajwid, Tasawuf dan bahasa Arab. Selepas itu, berdasarkan prestasi, sebilangan penuntut digalakkan melanjutkan pelajaran pada tahun ketujuh di Kelas Khas, yang diadakan seminggu sekali pada hari Sabtu. Mereka yang baik kelulusannya dari kelas khas biasanya ditawarkan menjadi guru pelatih. Saya telah mengikuti sekolah agama ini sehingga kelas khas, dan sebelah pagi saya belajar di sekolah Inggeris. Dari segi mata pelajaran, sekolah agama itu menjurus semata-mata kepada agama. Jikalau seorang penuntut pergi hanya ke sekolah agama sebelah petang saja, maka asas pendidikannya ialah agama semata-mata. Yang memberikan keseimbangan pendidikan kepada penuntut-penuntut di Johor ialah mereka biasanya pergi ke sekolah pagi (Melayu atau Inggeris) dan ke sekolah petang (Agama). Di sekolah pagi, mereka mempelajari mata pelajaran biasa seperti Matematik, Sains, Ilmu Alam, Sejarah, Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan lain-lain. Mengikut pengalaman saya memang ada kebaikan sistem ini.

Saya dapati di setengah-setengah negeri di mana tidak ada sistem sekolah agama dulu, dan sebelum mata pelajaran agama dimasukkan dalam kurikulum sekarang, ramai penuntut tidak mengetahui sama sekali tentang fardu ain pun dan tidak mengenali ayat Quran. Tetapi sebaliknya, ramai pula penuntut di Johor yang merasa penat selepas sekolah pagi, dan tidak begitu memandang berat kepada pelajaran di sekolah petang. Akibatnya, amalan meniru sangat meluas sekali sewaktu peperiksaan. Sekurang-kurangnya ini berlaku masa zaman saya jadi penuntut dulu, dan tidaklah saya ketahui sama ada amalan buruk ini sudah diatasi kini.

Saya tidak mengetahui jikalau Mahathir atau Menteri Pendidikan sudah mengkaji sedalam-dalamnya sistem sekolah agama di Johor, dan apa implikasinya ke atas sistem pendidikan dan kurikulum yang ada sekarang sekiranya diterapkan. Saya bimbang, sistem ini dipuji dan dikemukakan oleh Mahathir sebagai contoh semata-mata kerana hendak mencapai matlamat akhir beliau yang sebenar, iaitu hendak menutup SAR. Sebabnya? SAR tetap dianggap oleh Mahathir sebagai ancaman kepada politik UMNO dan ketokohan beliau sendiri.

Saya bersetuju bahawa banyak yang perlu dipinda atau diubah dalam sistem pendidikan kerana keadaannya begitu kacau-bilau sekarang. Itu sebabnya PRM sering menegaskan reformasi pendidikan sangat dikehendaki. Akan tetapi, reformasi itu perlu dilakukan secara menyeluruh, setelah dibincangkan dan difikirkan dengan mendalam, dan mendapat pandangan dari segenap lapisan masyarakat. Reformasi itu hendaklah hasil dari muafakat. Kita tidak mahu perubahan secara tampal sulam dalam aspek-aspek tertentu saja dalam pendidikan, yang didorongkan oleh kepentingan politik parti ataupun didasarkan kepada kehendak seorang pemimpin saja.

.....................
Artikel ini sudah terbit dlam SUARA PRM terbaru






______________________
Terbitan : 5 Mac 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com