SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Ibadat Haji: Lambang perpaduan ummahSidang Jumaat sekalian! Sekarang tibalah musim haji. Umat Islam daripada seluruh pelusuk dunia berduyun-duyun datang ke Makkah al-Mukarramah, untuk menyahut seruan Allah supaya mengunjungi rumahnya, sebagaimana seruan yang dilaungkan oleh Nabi Ibrahim a.s. seperti yang difirmankan oleh Allah di dalam al-Quran dari Surah al-Hajj ayat 27 yang bermaksud: "Dan serulah (wahai Ibrahim) kepada manusia (supaya datang ke Makkah) mengerjakan Haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus yang datang daripada pelusuk yang jauh." Jamaah Haji yang datang untuk menyahut seruan Allah, kerana menunaikan fardhu Haji yang menjadi salah satu rukun Islam yang kelima. Mereka datang daripada berbagai negara, daripada bangsa keturunan dan bahasa percakapan, yang menjadi lambang perpaduan seluruh umat Islam. Semasa berihram, mereka memakai pakaian yang sama, sama ada mereka kaya atau miskin, sama ada mereka pemimpin atau rakyat jelata, dan sama ada mereka berkulit putih atau berkulit hitam. Mereka sama sahaja ketika berhadapan dengan Allah, cuma yang membezakan di antara mereka hanyalah taqwa di dalam hati mereka kerana Firman Allah S.W.T. dari Surah al-Hujurat ayat 31 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Muslimin sekalian! Amat menyedihkan berlaku pada hari ini, apabila jamaah haji pulang ke negeri masing-masing, maka slogan perpaduan dan persaudaraan umat Islam kian dilupakan. Apabila kembali ke negeri masing-masing, semangat kekeluargaan dan kebangsaan, dan semangat kenegerian dan kenegaraan mengambil tempat persaudaraan Islam yang melangkau batas sempadan bangsa dan tanah air. Apabila ada di kalangan umat Islam yang ditindas, dizalimi dan dibunuh, serta harta benda dan tanah air mereka dirampas oleh musuh-musuh Islam seperti yang berlaku di Palestin, Chechnya dan Afgha-nistan, umat Islam di negera-negara lain tidak merasa apa-apa dan tidak menghulurkan apa-apa bantuan yang terdaya oleh mereka. Kadangkala, bangsa umat Islam yang dizalimi dan dibunuh itulah bangsa yang mereka tawaf, sa’i, wukuf dan melontar bersama semasa mengerjakan fardhu haji dan berkhemah di tepi khemahnya di padang Arafah. Kita hairan, apabila ada di antara orang-orang Islam yang sanggup pergi berjihad melawan musuh Islam yang membunuh umat Islam, seperti di Afghanistan dan Chechnya, tiba-tiba mereka ini dianggap pengganas dan membahayakan keselamatan negara. Jadilah mereka yang pernah berjihad melawan Russia Komunis ini sebagai penghuni penjara dan pusat tahanan bersama dengan pencuri dan perompak. Mereka tidak sedar bahawa Allah S.W.T. telah menyelamatkan mereka dengan agamanya, dan mengurniakan perpaduan di antara mereka sebagai satu rahmat daripadanya sebagaimana Firman Allah S.W.T. dari Surah Ali Imran ayat 102 yang bermaksud: "Berpeganglah kamu dengan tali Allah (Islam) dan jangan kamu berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu, dahulunya kamu bermusuh-musuhan maka Allah menjinakkan di antara hati-hati kamu, maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara-mara.Dan kami dahulunya telah berada di tepi jurang neraka (kerana kufur dan syirik) maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. "Demikian Allah menjelaskan kepada kamu tanda-tanda kekuasaannya supaya kamu mendapat petunjuk." Lebih memalukan lagi, ada pemimpin-pemimpin negara umat Islam yang sama-sama mengerjakan haji, berpakaian ihram serba putih sama seperti rakyat biasa, bersesak-sesak untuk tauwaf, sa’i dan melontar bersama-sama dengan rakyat, tetapi lupa kepada rakyat apabila pulang ke tanah air. Apabila berada di tanah air, kebajikan rakyat diabaikan, hak rakyat tidak diberikan, bahkan sebaliknya harta rakyat dikebas dan kebebasan rakyat sebagai orang Islam untuk beramal dengan Islam disekat dan dinafikan. Ada pula para pemimpin yang baru sahaja turun daripada kapal terbang dan menjejakkan kakinya ke bumi tanah air selepas mengerjakan fardhu haji, tetapi bercakap perkataan-perkataan yang menghapuskan pahala ibadat haji seperti kata mereka: hukum Islam tidak sesuai ada zaman sekarang, ekonomi Islam membawa kemunduran, ilmu-ilmu agama tidak membawa kemajuan dan sebagainya. Mereka tidak yakin kepada ajaran Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w. yang dibangkitkan di Makkah, tempat mereka mengerjakan haji. Muslimin sekalian! Sekiranya umat Islam bersatu, berkasih sayang sesama mereka dan tolong-menolong di dalam perkara baik dan mencegah perkara mungkar, maka tidaklah seteruk ini perpecahan, kelemahan, kezaliman dan pembunuhan yang berlaku ke atas umat Islam. Apakah lagi yang tidak cukup kepada umat Islam? Mereka sudah ada Allah, Tuhan yang menjadikan mereka dan mentadbir hidup dan mati mereka. Mereka sudah ada al-Quran yang boleh memberi petunjuk dan panduan di dalam hidup mereka. Dan mereka sudah ada Rasul iaitu Nabi Muhammad s.a.w. yang telah mengajar kepada mereka bagaimana cara untuk beramal dengan al-Quran. Cuma yang tinggal lagi ialah mereka tidak mahu kembali kepada Allah, tidak mahu kem-bali kepada al-Quran dan tidak mahu kembali menghayati aja-ran Rasulullah s.a.w. Sekiranya umat Islam kembali ke pangkal jalan, iaitu kembali kepada ajaran Islam dengan ber-sungguh-sungguh dan sempurna, maka syaitan manusia dan syaitan jin tidak akan berjaya menyesat dan melemahkan mereka, dan musuh-musuh Islam akan gagal untuk menghancurkan umat Islam. Firman Allah S.W.T. dari Surah al-Maidah Ayat 3 yang bermaksud: "Pada hari ini orang-orang kafir sudah berputus asa daripada agama kamu, maka jangan kamu takut kepada mereka, dan takutlah kepadaku (kepada Allah). Pada hari ini telah aku sempurnakan bagi agama kamu, dan telah aku cukupkan untuk kamu nikmatku, dan telah aku redha Islam ini menjadi agama kamu. Mengapa orang-orang kafir musuh Islam masih lagi menguasai dan menjajah negeri dan akal fikiran umat Islam? Adakah al-Quran itu palsu? Adakah Allah S.W.T. berbohong? Tidak sama sekali! al-Quran itu benar dan janji Allah pasti berlaku. Cuma kita umat Islam sendiri yang lalai sehingga kita terbujur kaku di hadapan musuh-musuh Islam. Kerana apa? Kerana kita takut kepada Amerika lebih daripada takut kepada Allah. Kerana pemimpin-pemimpin negara umat Islam percaya kepada janji Amerika lebih daripada percaya kepada janji Allah. Kerana umat Islam mengikut telunjuk musuh-musuh Islam lebih daripada mengikut ajaran Allah S.W.T. Dan kerana umat Islam mendokong ideologi, fahaman, ekonomi, undang-undang dan perjuangan penjajah dan mu-suh-musuh Islam, lebih dari-pada mendokongi sistem-sistem yang ada di dalam Islam. Ramai bilangan umat Islam pada hari ini tidak bermakna mereka kuat kerana mereka berpecah belah. Mereka seperti buih banjir. Ketika mereka berada di hulu sungai mereka bersatu, tetapi apabila sampai di muara, mereka berpecah dan hancur berkecai dilanggar ombak. Begitulah yang berlaku kepada umat Islam. Mereka asalnya umat yang satu tetapi berpecah belah. Tuhan mereka adalah satu, tetapi sebahagian mereka patuh kepada agama Allah dan sebahagaian yang lain menyeleweng daripada agama Allah. Kitab mereka adalah satu iaitu al-Quran, tetapi sebahagian mereka mengikut ajaran al-Quran dan sebahagian yang lain meninggalkan al-Quran. Rasul mereka ialah satu iaitu Nabi Muhammad s.a.w. tetapi satu kumpulan mengikut ajaran Rasul dan satu kumpulan yang lain menentang ajaran Rasul. Saudara-saudara sekalian! Bersempena bulan haji ini marilah kita kukuhkan persaudaraan umat Islam melalui ajaran Islam. Tidak ada satu benteng yang kukuh bagi umat Islam di dalam menghadapi serangan musuh-musuh Islam, melainkan benteng perpaduan yang dibina di atas asas Islam. Dan benteng yang kukuh tersebut tidak akan terbina sekiranya umat Islam enggan kembali kepada ajaran Islam. Firman Allah dari surah al-Imran ayat 102 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan kamu mati kecuali kamu di dalam keadaan Islam."
Diterbitkan oleh : |