Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Retorik kosong Dusuki [Menjawab dakwaan – Akidah umat Islam tidak berkubur tanpa SAR]

Oleh: Hj Mohnas

MEMBACA artikel Dusuki Ahmad, saya tertanya-tanya, apa yang mahu dipertahan dan diperjuangkan Setiausaha Politik PM itu?

Menyamakan kepincangan dan ketempangan seperti dakwaannya terhadap SAR dengan mempertahankan kebatilan adalah qias yang menyimpang. Apa yang berlaku di SAR, berdasarkan tanggapan Dusuki adalah berbentuk kelemahan yang boleh diatasi dan dibaiki, bukan penyelewangan yang wajib dicantas dan dibunuh.

Dusuki sendiri menganggap Dr. Mahathir tidak berniat menghapuskan SAR, sebaliknya hanya tidak menyambung bantuan – sedangkan keseluruhan artikel Dusuki menggambarkan pandangan peribadi, betapa SAR mesti dihapuskan. Kalau UMNO tidak berniat meranapkan institusi pendidikan agama rakyat ini, apa jadahnya Dusuki lebih sudu daripada kuah?

Saya tidak dapat membaca apa-apa pun lewat artikel tersebut, melainkan kebencian dan kemarahan yang tidak terbendung, disasarkan kepada institusi pendidikan Islam itu. Kemuncaknya dibuktikan apabila Dusuki menganggap adalah menjadi kesalahan dan dosa apabila ibu bapa membiarkan anak-anak mereka terus menuntut di SAR. Meski pun Dusuki cuba berlapik dengan menjuruskan ibu bapa itu sendiri harus merasa bersalah dan berdosa, tetapi tentulah Dusuki sendiri terlebih dahulu mesti berasa bersalah dan berdosa andainya SAR terus hidup.

Selama ini kita mendengar kokok dan tempik pemimpin UMNO yang menuduh pemimpin PAS terlalu mudah menuduh orang lain tidak Islam dan melakukan maksiat, tetapi kalimah yang ditulis Dusuki sudah terang lagikan bersuluh. Kalau sebelum ini PAS dituduh Khawarij, maka apa beza pula dengan tuduhan Dusuki ini?

Menuduh pihak lain mempertahankan kebatilan dan melakukan jenayah akidah yang paling parah adalah tuduhan paling berat. Tidak silap saya, Rasulullah pernah bersabda bahawa apabila seseorang itu melaknat orang lain, maka laknat akan turun dari langit dan mencari yang tertuduh itu. Seandainya laknat tersebut mendapati yang dituduh tidak layak dilaknat, maka laknat akan bertebaran di bumi, mencari-cari yang wajar dilaknat. Apabila tidak ditemui, maka laknat akan kembali kepada orang yang melaknat itu sendiri.

Maka, laknat apa yang paling dahsyat selain daripada menuduh seseorang mempertahankan kebatilan dan melakukan jenayah akidah?

Saya tidak mahu mengandaikan ke mana laknat itu akan pulang dan kembali, tetapi saya mahu mengingatkan pemimpin UMNO, agar jangan lepaskan lidah terlebih awal daripada akal dan hati.

Dusuki juga mempertikaikan maksud dan tujuan solat hajat yang dianjurkan PAS. Saya teringat pesanan Saidina Umar ra, “Kami berhukum dengan perkara yang zahir, maka Allah sahaja yang mengetahui apa yang tersirat.” Bagaimana pula Dusuki dapat mencungkil hati pedal pemimpin PAS, lalu mengandaikan solat hajat yang dilaksanakan itu batil, sia-sia dan palsu?

Katakan, memang benar sangkaan Dusuki itu [minta dijauhkan Allah swt], bagaimana pula dengan solat hajat rakyat awam dan muslimun yang lain? Apakah Dusuki menganggap mereka yang mencapai puluhan ribu, malah menjangkau ratusan ribu itu juga batil, sia-sia dan palsu?

Bagaimana pula kalau tuduhan Dusuki ini tersasar, dan ternyata hati budi pemimpin PAS dan pembangkang, serta rakyat jelata adalah hak, bertepatan dengan syariat dan ikhlas? Apakah tidak nanti, ia akan menjadi kebimbangan yang dilontarkan Rasulullah saw kepada golongan zalim, “Takutlah dengan doa golongan yang dizalimi kerana di antara doanya dan Allah tidak ada sebarang hijab.”

Senario mutakhir ini sudah terlalu terang untuk ditafsirkan rakyat sendiri. Hatta SN A. Samad Said lewat puisinya, Suara Dari Dinding Madrasah jelas memperlihatkan mauqif dan kedudukannya terhadap isu ini. UMNO memilih jalan paling berbahaya untuk mendapat dan memulihkan sokongan rakyat – malah ia digerhanakan pula oleh sikap dan pendirian sebahagian lepasan SAR yang nyata sudah bersifat kacang lupakan kulit.

Tidak ada sesiapa pun mempertikaikan tanggungjawab yang dilaksanakan kerajaan mendirikan institusi pendidikan agama di seluruh negara, tetapi isu pokok yang menggegarkan umat Islam hari ini ialah usaha dan tindakan UMNO berdepan dengan kemahuan rakyat mengekalkan institusi pendidikan rakyat ini. Dusuki tidak boleh mengalihkan pandangan rakyat terhadap apa yang telah dilakukan kerajaan sebelum ini, sedangkan isu utama yang sudah bersifat bangkai gajah tidak mungkin ditutup dengan nyiur.

Begitu juga tidak dinafikan ramai lepasan SMKA ini bukan sahaja berjaya dalam bidang agama, bahkan dalam profesional yang lain. Hal ini tidak hanya berlaku di SMKA atau sekolah kebangsaan yang lain, juga di kalangan lepasan institusi pendidikan agama yang lain. Ukuran kejayaan tidak hanya boleh dengan keupayaan memiliki rumah dan kereta besar, tetapi mi’yar mestilah bertepatan dengan kehendak Allah swt supaya manusia menjadi khalifah di muka bumi berdasarkan aturan Allah swt.

Petunjuk SPM dan PMR baru-baru ini juga memperlihatkan Sekolah Agama Negeri juga tidak ketinggalan dalam membina kejayaan, malahan adakalanya lebih terkedepan berbanding sekolah kebangsaan. Andaikan saja, sekolah agama rakyat menerima kemudahan dan bantuan sekurang-kurangnya setaraf dengan Sekolah Agama Negeri ini – tidak mustahil, sekolah kebangsaan akan ketinggalan pula!

Dusuki hanya mengulangi retorik-retorik kosong yang tidak lebih bersifat tin kosong yang degarnya serata tanah air, tetapi rupa-rupanya isinya hanya hampa. Dalam keadaan rakyat Malaysia sudah tidak lagi mahu disogok dan disumbat, sebaliknya mahu mencari dan mencungkil kebenaran, Dusuki memilih kaedah lama memukat sokongan.

Saya kira Dusuki tidak perlu khuatir dan bimbang bahawa sembahyang hajat dan munajat PAS dalam perkara ini akan menjadi sebab kepada turunnya bala dan malapetaka ke atas pemimpin-pemimpin PAS sebagaimana pengalaman sebelum ini, kerana ia sembahyang hajat pada perkara-perkara batil dan bercanggah dengan maksud surah as-Shoff. Logiknya, kalau ia akan menjadi sebab kekalahan dan ketewasan PAS dan pembangkang, bukankah ia akan memberikan keuntungan politik kepada UMNO?

Yang perlu dikhuatirkan Dusuki, bagaimana solat hajat dan munajat itu bertepatan dengan syariat, lalu menjadi sebab kejatuhan Dusuki dan mereka yang terbabit.

Atau begini saja, Dusuki pun perlu mengumpulkan mereka yang ‘ikhlas dan beramal soleh’, lalu menunaikan solat hajat memohon supaya Allah memakbulkan rancangan ‘menggantikan’ sistem pendidikan sekolah agama rakyat dengan sistem yang lebih baik.

Barangkali, kita boleh melihat, petanda awal keabsahan niat Dusuki dan rakan-rakan lewat kehadiran manusia dalam solat hajat dan munajat itu!






______________________
Terbitan : 19 Mac 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com