(Khas buat insan teristimewa dalam hidup ini... dan
jua isteri-isteri pejuang... serta bakal isteri
seorang pejuang)
Isteriku,
Pabila kusentuh telapak tanganmu, kuusap-usap, ianya
semakin kasar dan keras.
Pabila kurenung wajahmu,
terpancar sinar bahagia dan ketenangan walaupun kutahu
redup matamu menyimpan satu rintihan yang memberat.
Pabila kutersentak dari pembaringan dikala fajar kazib
menyinsing, aku terpana dek munajatmu yang syahdu.
Isteriku,
Tatkala teman-temanmu sedang bersantai di samping
insan-insan tersayang di dunia ciptaan mereka, engkau
bahagia mengorbankan seluruh detik-detikmu hanyasanya
untuk Islam.
Tatkala lengan-lengan mereka dibaluti
pelbagai hiasan yang indah, leher-leher mereka
memberat dilingkari dengan kilauan barang kemas,
pakaian-pakaian mereka anggun persis puteri kayangan,
wajah mereka dipalit pelbagai warna dan jenama, kau
umpama ladang ummah.
Kau menginfa'kan seluruh jiwa dan
raga demi kebangkitan Islam.
Kau tak pernah
bersungut-sungut, mengeluh, meminta-minta mahupun
mengadu domba.
Tatkala mereka berlumba-lumba mengejar
pangkat dan nama, kau gah menjulang nama dengan
pengaduanmu di sisi yang Esa.
Isteriku,
Bukan aku tidak mampu membelikan barangan dan
hiasan-hiasan tersebut tetapi isteriku... Aku masih
ingat tatkala aku menyuntingmu untuk dijadikan suri
dan seri kamar hatiku.
Kau melafazkan, "Saya sudi
menjadi sayap kiri perjuangan saudara tetapi dengan
syarat...", kau tersenyum sambil menghela nafas
dalam-dalam. Aku termangu sendirian. Syarat apakah
itu? Banglokah? Hantaran seribu serba satukah? Kereta
mewahkah? Aksesori Habib Jewels kah? Barangan kulit
Bonia kah? Perabot mahal dari Itali kah? Atau
honeymoon di Kota Paris kah? Katakan... Aku mampu
memberikan. Lamanya kau mengumpul kekuatan untuk
berkata... Akhirnya...
Arghhh... Permintaanmu itu... Pasti ditertawakan oleh
kerabat dan teman-teman kita. Aku gumam. Kelu. Dengan
penuh keyakinan kau berkata,
"Saudara ,
Mampukah saudara menjadikan saya sebagai isteri yang
kedua saudara?
Mampukah saudara menjadikan Islam sebagai isteri
pertama saudara yang lebih perlukan perhatian?
Mampukah saudara meletakkan kepentingan Islam melebihi
segala-galanya termasuklah urusan-urusan dunia?
Mampukah saudara menjual diri saudara semata-mata
kerana Islam?
Mampukah saudara berkorban meninggalkan kelazatan
dunia?
Mampukah saudara menjadikan Islam laksana bara api.
Saudara perlu menggenggamnya agar bara itu terus
menyala.
Mampukah saudara menjadi lilin yang rela membakar diri
untuk Islam bukannya seperti lampu kalimantang yang
bisa di'on'kan bila perlu dan di'off'kan bila tidak.
Mampukah saudara mendengar hinaan yang bakal
dilontarkan kepada saudara kerana perjuangan saudara.
Dan... mampukah saudara menjadikan saya isteri seorang
pejuang yang tidak dimanjai dengan fatamorgana dunia?
Aduh! Banyaknya syarat-syarat itu isteriku. Namun aku
menerima syarat-syarat tersebut kerana aku tahu,
jiwamu kosong dari syurga dunia. Kerana aku tahu kau
mampu mengubah dunia ini dengan iman dan akhlakmu.
Bukannya kau yang diubah oleh dunia.
Isteriku,
Akhirnya jadilah engkau penolong setiaku sebagai
nakhoda mengemudi bahtera kehidupan kita. Susah senang
kita tempuh bersama.
Aku terharu dengan segala
kebaikanmu. Kau jaga akhlakmu. Kau pelihara maruahmu
selaku muslimah. Kau tak pernah mengeluh apabila
sering ditinggalkan dek tugasku menjulang Islam ke
persada agung.
Kau jua sanggup menyekang mata
menungguku sambil memberikan aku suatu senyuman
terindah di ambang pintu tatkala aku pulang lewat
malam. Malah kau seringkali meniupkan semangat untuk
aku terus thabat di pentas perjuangan ini. Kau tabur
bunga-bunga jihad walaupun kita masih jauh dengan
haruman kemenangan.
Isteriku,
Tangkasnya engkau selaku suri. Biarpun kau jua sibuk
bersama mengembleng tenaga selaku sayap kiri
perjuanganku, kau jaga teratak kita dengan indahnya.
Kau siraminya dengan wangian cinta dan kasih sayang.
Kau tak pernah menjadikan kesibukanmu itu untuk kau
lari dari amanahmu meskipun jadualmu padat dengan
agenda-agenda bersama masyarakat dan kaum sejenismu.
Cekalnya engkau mendidik anak-anak. Kau kenalkan
mereka dengan Allah, Rasul SAW, Ahlul Bait serta para
pejuang Islam. Kau titipkan semangat mereka sebagai
generasi pelapis jundullah. Kau asuh mereka membaca Al
Quran. Malah kau temani mereka mengulangkaji pelajaran
dikala menjelangnya peperiksaan.
Isteriku,
Barangkali inilah kebenarannya ungkapan keramat Al
Khomeini. Tangan yang menghayun buaian bisa
menggoncang dunia. Andai Saidatina Fatimah binti
Rasulullah SAW masih ada, pasti beliau tersenyum
bangga kerana masih ada srikandi Islam sepertimu.
Nukilan rasa:-- Puteri PAS Seumur Hidup.
______________________
Terbitan : 21 Mac 2003
Ke atas
Home