Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Jabatan Hal Ehwal Khas ( JHEK ) ke Mesir

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh..

Saya adalah salah seorang peserta program Seminar Kepimpinan Pelajar anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas Kementerian Penerangan yang pada 3 Mac di Kaherah Mesir.

Saya ingin memberikan sedikit gambaran mengenai program ini. Kita semua maklum bahawa tujuan tersirat mereka adalah untuk 'brainwash' dan mengUMNOkan pelajar-pelajar Al-Azhar di Mesir. Bagi menarik perhatian pelajar menyertai program ini, peserta program seminar akan dibawa melawat ke Matrouh, sebuah wilayah pelancongan di utara Mesir, 6 jam perjalanan dari Kaherah.

( Program rehlah ke Matrouh biasanya memakna belanja tidak kurang 150 pound Mesir atau lebih setiap seorang [ USD1 = LE5.6 ] )

Seminar ini diadakan di Kuliah Perubatan Universiti Al-Azhar Kaherah. Pada awal pagi, peserta diwajibkan mendaftar bagi membolehkan mereka menyertai perjalanan ke Matrouh. Hampir 500 pelajar menyertai seminar ini. Ia dirasmikan oleh Duta Malaysia ke Mesir ( Dato Abu Bakar Daud ). Selepas perasmian, dewan yang hanya boleh memuatkan kira-kira 300 orang asalnya sesak mulai surut selepas berhenti rehat. Kebanyakan pelajar yang menyertai program ini sebenarnya hanya ingin mengambil kesempatan program melancong secara percuma. Ia tak ubah seperti mana Wanita UMNO mengadakan lawatan ke Langkawi. Cuma bezanya, pelajar-pelajar tak mudah menerima bulat-bulat apa yang disampaikan oleh JHEK.

Pembentang pertama ialah Dato Zainal Abidin Kadir ( Pengarah JHEK ) dengan tajuk 'Malaysia Negara Islam'. Dalam pembentangannya, Dato Zainal kononnya memberikan 10 rahsia ( yang sebenarnya tak sampai pun 10 rahsia diberikan ) kenapa PM mengistiharkan Malaysia sebagai negara Islam tambahan lagi acara itu dilakukan ketika merasmikan persidangan Parti Gerakan iaitu sebuah parti Cina. Dato Zainal nampaknya begitu berhati-hati dari membahaskan tajuk dan mengungkapkan kata-kata yang sangat halus. Ucapannya tak ubah seperti apa yang telah disampaikannya ketika program ke Sinai tahun lalu. Tak ada isi, kata kawan-kawan.

( Tahun lalu, ketika program ke Sinai, pihak JHEK dikatakan menyediakan peruntukan 1 juta tetapi hanya 50 ribu pound Mesir sahaja dihabiskan )

Dr Saodah Abd Rahman ( UIA ), dengan tajuk 'Isu Semasa' pula tak ubah seperti berleter. Sebenarnya tiada isu semasa yang dibangkitkan beliau. Menuduh usrah sebagai program yang tak berguna, mengagung-agungkan para pensyarah orientalisnya ketika menuntut di UK dulu, menuduh lepasan azhar sejak 90an sebagai bengis, muka garang, kurang membaca dan sebagainya. Beliau juga mengalihkan dalil wajib bunuh kepada orang yang murtad sebagaimana hadis Nabi saw.

Beliau juga meluahkan rasa meluatnya dengan UIA yang dikuasai oleh pelajar pro pembangkang. Beliau menuduh ada pensyarah di sana yang mengajar ajaran sesat, memperolehi pendapatan dengan jalan yang salah dan seumpamanya. Sejauh mana kebenaran dakwaan beliau tidaklah dapat dipastikan. Bebelannya sangat menjemukan dan sebagai ahli akademik tidak wajar beliau membuat tuduhan terutama kepada lepasan azhar hanya semata-mata kerana beliau pernah mengkaji sikap siswa Malaysia pada awal 90an dulu selama sebulan.

Selepas makan tengahari, sebahagian peserta lagi mengambil kesempatan untuk pulang. Penyampai petang itu ialah Datuk Zam, Tim Menteri Penerangan. Entahlah apa yang diucapkannya di sana kerana saya bersama ramai rakan-rakan pulang ke rumah.

Program rehlah ke Matrouh dibahagikan kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama bergerak pada 4-6 Mac dan kumpulan kedua pada 6-8 Mac. Saya menyertai kumpulan kedua.

Di Matrouh, selain program melancong, ada lagi sesi 'tazkirah' yang disampaikan oleh Datuk Zam, Datuk Zainal Abidin Kadir, Dato Mustafa Taib ( Penel pemikir JHEK ) dan Dr Saodah Abd Rahman.

Datuk Zam pula sebenarnya bagai membuka pekung di dadanya sendiri apabila mendedahkan matlamat RTM sebagai alat penerangan kerajaan kepada rakyat. Kata-katanya itu sudah tentu menunjukkan kebodohannya menjadikan RTM sebagai alat propaganda UMNO bukan kerajaan Malaysia.

Paling menarik perhatian ialah 'tazkirah' penuh emosi oleh Dato Mustafa Taib yang terang-terang memperlekeh dan memburuk-burukkan PAS dan mengagung-agungkan UMNO.

Beliau menggunakan imbauan sejarah merdeka dan mendakwa PAS langsung tidak berjasa ketika Malaya ingin menuntut kemerdekaan. PAS tidak menyokong kemerdekaan, katanya. Beliau juga menuduh isteri Tok Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Abd Hadi bersalin dengan disambut oleh singh. Tuduhan berbentuk peribadi ini tidak menunjukkan kedudukan beliau sebagai ahli panel JHEK. Zaman sekarang pula katanya adalah zaman 'dengar dan taat'. Tidak boleh mengingkari pemimpin. Beliau mengutarakan dalil Al-Quran bahawa orang beriman wajib patuh kepada pemimpin.

Perkara ini tidak perlulah kita bahaskan. Orang kampung pun boleh jawab. Saya fikir beliau tidak menyedari bahawa di hadapan beliau ketika itu ialah siswa / siswi Al-Azhar. Ada penuntut kuliah usuluddin, tahfiz, syariah & undang-undang. Hujah beliau sangat dangkal dan terlalu mudah untuk dipatahkan.

Apa yang saya ingin sampaikan lewat artikel ini ialah bahawa tidak semua bahkan sebahagian besar peserta dan exco kelab UMNO Mesir sendiri yang menjadi ad-hoc program tidak menyokong UMNO bahkan menyokong PAS. Artikel ini mengharapkan sahabat-sahabat di Malaysia dan sahabat-sahabat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir ( PMRAM ) di Mesir tidak terlalu memandang curiga dan penuh syak kepada program-program Kedutaan, JHEK dan Kelab UMNO.

Sebenarnya, saya sendiri adalah ahli PMRAM dan tidak pernah mengisi borang Kelab UMNO. Dan mereka yang menyertai Kelab UMNO sendiri pun harapan saya kepada PMRAM tidak terlalu memandang curiga. Tidak dinafikan, ada yang memang pro UMNO sangat. Tidak mengapalah. Sebahagian mereka pula ada yang cuma suka-suka, belajar berorganisasi, mengambil kesempatan dari peruntukan yang banyak dihamburkan kepada Kelab UMNO dan lebih penting hanya ingin mengabui mata pemimpin UMNO Malaysia. Saya fikir sebagai siswa, bebas mendengar apa-apa hujah dari kedua-dua pihak dan kita tidak buta sejarah, ilmu, isu dan seumpamanya. Program seminar yang diadakan adalah anjuran kerajaan Malaysia dan kosnya adalah duit rakyat – iaitu duit kita…

Saya fikir mahasiswa Al-Azhar tidak mudah diperlekehkan. Saya berharap PMRAM semakin dewasa dan lebih bijak dalam menyerap tekanan-demi tekanan dari pihak-pihak tertentu. Saya yakin exco-exco PMRAM seandainya berurusan dengan Kedutaan Malaysia atau MSD tentu tahu membezakan mana satu urusan kerajaan dan sebaliknya. PMRAM sewajarnya lebih matang, tidak melulu dan bersabar. Memang benar, ada pelajar tidak menyokong PMRAM tapi tidak bermakna mereka menyokong UMNO. Ketidaksokongan mereka kepada PMRAM sebenarnya bukanlah 100 % tetapi lebih tergantung kepada beberapa isu, perkara dan seumpamanya. Percayalah, sebahagian mereka apabila kembali ke Malaysia tetap bersama PAS. Sekian. Wassalam

P/s – Kepada sahabat-sahabat di Mesir yang belum mengisi borang keselamatan Kedutaan Malaysia dicadangkan agar mengisi segera borang tersebut sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya keadaan semakin meruncing. Sumber yang dipercayai dan sahih dari Kedutaan Malaysia Mesir menyebut keadaan sekarang di Mesir adalah stabil tetapi dikhuatiri sintimen bangsa Arab dan agama Islam semakin memuncak di seluruh Mesir boleh mengakibatkan situasi yang lebih gawat. Kedutaan Malaysia khabarnya sudah menyediakan beberapa plan tertentu sekiranya keadaan memerlukan. Sama-samalah kita berdoa saudara-saudara kita di Iraq akan selamat dan Islam diberikan kemenangan. Teruskan boikot barangan Amerika dan Yahudi. Takbir!!! 3x

Siswa Malaysia
Kaherah Mesir.






______________________
Terbitan : 28 Mac 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com