Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Pinjaman kenderaan, bekas babi dan berguru

Soal Jawab oleh : Mufti Kerajaan Negeri Terengganu

Adakah harus kita menyeberangi kawasan berpaya yang menjadi laluan babi? Saya pernah mencerut rumput untuk ternakan dikawasan yang pernah dilalui babi?. Adakah rumput di kawasan itu dikira najis? Terdapat kesan lumpur daripada babi melekat di pokok-pokok, bagaimaana kalau lumpur tersebut terkena pakaian atau badan kita?
-Azman Fahdil Kemaman.

Kawasan-kawasan yang selalunya menjadi tempat hidupan binatang babi seperti belukar, hutan, paya dan sebagainya adalah harus bagi orang-orang Islam memasuki kawasan tersebut untuk sesuatu tujuan seperti mencerut rumput atau sememangnya bekerja di kawasan tersebut, maka kawasan tersebut termasuklah rumput-rumputnya tidak dikira najis.

Adapun kesan-kesan lumpur daripada babi yang melekat pada pokok-pokok atau belukar atau daun-daun maka elakkanlah daripadanya, kalau terkena pada pakaian atau badan tanpa disedari maka ia adalah dimaafkan supaya tidak menjadi kesusahan kepada umat Islam.

Apakah hukum menyetubuhi isteri yang sudah habis tempoh haid atau nifas tetapi belum mandi wajib?
- Khalil Ibrahim Kuala Terengganu.

Perbuatan tersebut adalah haram di sisi Mazhab Imam Syafie, pelaku tersebut di kira berdosa dan perlu segera bertaubat.

Minta penjelasan mengenai hukum bersetubuh atau berzina dengan binatang?
- Mohd Hafiz Imran Setiu.

Perbuatan tersebut adalah haram dikutuk oleh syarak, dia telah melakukan dosa besar dan dikenakan hukuman takzir atau dibunuh pada pendapat setengah ulama’.

Benarkah pendapat yang menyatakan makmum perempuan mesti tahu pergerakan Imam melalui penglihatan, sekarang keseluruhan masjid atau surau memasang langsir atau dinding pemisah di antara lelaki dan perempuan. Oleh itu langsir atau dinding itu hendaklah dibuka sedikit semasa solat berjemaah, adakah benar pendapat tersebut?
- Sa’adiah Harun Dungun.

Makmum lelaki atau perempuan hendaklah mengetahui dan yakin pergerakan Imam di dalam solat jamaah sama ada melalui penglihatan atau pendengaran. Langsir atau dinding yang memisahkan antara makmum lelaki dan perempuan di kebanyakan masjid atau surau itu tidaklah menjadi penghalang daripada mengetahui pergerakan Imam di dalam sembahyang berjamaah kerana takbir Imam dapat didengar oleh makmum sama ada lelaki atau perempuan.

Saya bekerja sebagai pegawai perempuan, ingin membuat pinjaman kerajaan untuk rumah dan kenderaan. Saya takut kemudahan tersebut menyalahi agama. Minta penjelasan dari tuan?
- Ummu Hani’ Omar Kuala Terengganu.

Sebenarnya Kerajaan Terengganu sekarang ini memberi pinjaman kenderaan kepada pegawainya tanpa sebarang faedah. Oleh yang demikian kemudahan ini tidak menimbulkan sebarang keraguan mengenai harusnya. Adapun pinjaman yang ada faedah adalah haram.

Ada ungkapan yang mengatakan kalau berguru dengan buku adalah berguru dengan Syaitan. Sejauh mana ungkapan ini boleh diterima pakai? Tidakkah ia boleh membantut usaha-usaha untuk mendapat ilmu agama secara lebih luas? Bahkan ada yang mendapat hidayat dan memaluk Islam hasil daripada bacaan buku-buku agama?
- Insan Musykil Besut.

Membaca adalah digalakkan oleh Islam, wahyu pertama diturunkan adalah menggesa supaya membaca.

Adapun ungkapan kalau berguru dengan buku adalah berguru dengan syaitan boleh digunapakai kepada orang-orang yang hanya belajar agama dengan membaca buku sahaja sedangkan ianya tidak mempunyai asas-asas pendidikan agama kerana ditakuti boleh membawa kepada salah faham, lebih-lebih lagi ilmu wahyu Al-Quran dan As-Sunah dan juga soal-soal aqidah.

Di dalam masalah ini perlulah dirujuk kepada guru-guru mursyid.Ilmu-ilmu Islam mempunyai disiplin-disiplin dan kaedah-kaedah tertentu yang perlu dipatuhi supaya tidak menjadi kacau bilau. Untuk menyakinkan maklumat-maklumat itu betul maka perlu dirujuk kepada orang-orang yang mengetahui di dalam bidang-bidang tertentu termasuk bidang agama.

Tradisi berguru di dalam pendidikan Islam adalah perlu dan diterima pakai.

Bagaimana cara niat sembelihan qurban untuk diri sendiri dan untuk orang lain?
- Haji Ismail Ali, Kemaman.

Niat adalah syarat sah bagi sebarang ibadat termasuk qurban. Niat boleh juga mendahului sembelihan qurban tetapi sebaik-baiknya diniatkan ketika menyembelih.

Kalau diwakilkan kepada orang lain menyempurnakan qurbannya maka diniatkan ketika memberi wakil tersebut ataupun mewakilkan kepada orang tertentu untuk menyembelih binatang qurbannya maka bolehlah dia berniat ketika sembelihan itu dimulakan atau sebelumnya.

Bayi yang dibuang dan dijumpai mati dan tidak diketahui ibu bapanya mestikah diberi nama sebelum diuruskan jenazahnya?
- Ahmad Hamdan, Setiu

Bayi tersebut tidak dituntut diberi namanya, yang dituntut ialah menyempurnakan pengurusan jenazahnya ( memandikan, menkafankan, menyembahyangkan dan mengkebumikannya).

Periuk yang digunakan untuk memasak khinzir, bolehkah diguna pakai oleh orang Islam tanpa menyamaknya?
- Mariam Haji Abdul Rahim, Kuala Terengganu.

Tidak boleh, periuk itu hendaklah dibasuh tujuh kali. Satu daripadanya dengan air yang bercampur dengan tanah kerana khinzir itu termasuk dalam najis mughallazah

Adakah dibolehkan orang-orang bukan Islam memasuki masjid? Bila seorang cina memeluk Islam adakah dia perlu membuang adat tradisi cina?
- Syarifah Radhiah Syed Ahmad,

Ya, orang-orang bukan Islam dilarang memasuki masjid kecuali kerana ingin mengetahui hal-hal yang berkaitan dengan Islam. Bila orang cina menganut Islam, dia tidak dilarang mengamalkan adat tradisi kaum cina kecuali mana-mana yang bercanggah dengan Islam.






______________________
Terbitan : 14 Mac 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com