Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Teks Ucapan Junjung Kasih Keatas Titah Ucapan DYMM Yang di Pertuan Agong

Oleh Ahli Parlimen Kemaman
YB Abd Rahman Bin Yusof
mpkemaman@hotmail.com
Pada 13hb. Mac 2003 Pukul 2: 35 - 3.05 Petang

Tun Yang di Pertua,

Saya akan menumpu perbahasan menjunjung kasih keatas titah ucapan Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong kepada permasaalahan, keadaan dan kedudukan ekonomi negara. Saya percaya permasaalahan ini menjadi tumpuan seluruh rakyat kerana implikasi dan kesannya keatas kegiatan perekonomian mereka. Ramai sudah merasai keperitan dan kesempitan memenuhi keperluan kewangan harian dan masa depan mereka. Mereka menaruh harapan yang besar agar perkembangan dunia dan suasana muram ekonomi Negara dapat dilegakan melalui pelaksanaan polisi-polisi yang boleh mengitar semula ekonomi negara.

Dalam laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 28hb. Januari 2003 terpapar tajuk berita:

“JUMLAH MUFLIS MAKIN MENINGKAT”. Dilaporkan jumlah individu atau syarikat yang diisytihar muflis menunjukkan peningkatan membimbangkan dengan penambahan antara 8,000 hingga 12,000 kes baru setiap tahun. Jumlah tersebut merupakan peningkatan hampir 10% daripada jumlah kes terkumpul setakat ini yang secara keseluruhannya berjumlah 104,770 kes muflis yang telah dikemukakan kepada Jabatan Pemegang Harta sehingga akhir tahun lalu. Jumlah ini meningkat secara berterusan dan semakin ketara sejak tahun 1997 apabila Negara memasuki tempoh kemelesetan ekonomi. Demikian dinyatakan oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri pada Seminar Kebangsaan Mengenai Kebankrapan.

Dalam tajuk utama akhbar Business Times bertarikh 10 Januari 2003 dilaporkan.

“Money that was once there in the capital market has vanished. PN4 is now taking its toll on consumer economy” dengan izin. Wang yang pernah berada dalam pasaran modal sudah hilang. PN4 sudah memberi kesan buruk keatas ekonomi pengguna”. Daripada apa yang saya baca dan amati hampir semua petanda menunjukkan ekonomi kita sedang mengalami deflasi disebabkan kesilapan dalam pengurusan ekonomi. Deflasi berlaku apabila ketiadaan permintaan disebabkan ketiadaan kuasa membeli. Ketiadaan kuasa membeli disebabkan ketiadaan wang. Dan ketiadaan wang disebabkan ketiadaan pelaburan dalam ekonomi. Apabila tekanan deflasi makin ketara pelaburan sektor swasta baik asing maupun domestik akan menjunam dan ini akan membawa bencana kepada ekonomi. Ini dapat dilihat daripada keperluan kerajaan menubuh Danaharta, Danamodal, Valuecap, pakej rangsangan pasaran modal, dan sebagainya menunjukkan tiada lagi minat pelabur swasta baik asing maupun domestik dalam ekonomi dan pasaran modal dan memerlukan penerusan sokongan sector awam untuk terus bernyawa.

Dalam akhbar The Star 12 Mac 2003 dilaporkan:

“Government to announce issuance of new bonds” dengan izin. Kerajaan akan mengumumkan penerbitan bon-bon baru. Dilaporkan kerajaan akan menjual RM18.0 billion bon tahun ini untuk membiayai belanjawan deficit, langkah-langkah “pump-priming” atau pengepaman projek rangsangan dan membayar hutang. Menurut Menteri Kewangan kedua bon tersebut perlu diterbitkan untuk membiayai operasi kerajaan. Dalam akhbar Berita Harian pada 11hb. Mac 2003 dilaporkan tujuannya untuk membiayai pakej pulih pasaran saham, hadapi perang.

Pelbagai pakej rangsangan telah diperkenalkan sejak krisis kewangan Asia 1997 melibatkan berpuloh billion ringgit. Setakat ini keberkesanan pakej-pakej tersebut amat diragui. Apakah prestasi pakej-pakej rangsangan yang telah dilaksanakan dan kesannya keatas ekonomi negara? Apakah ia gagal menepati tujuan dan sasaran sehingga pakej-pakej baru terpaksa diperkenalkan? Bagaimana kerajaan akan membiayai pakej rangsangan yang baru diumumkan dan berapa jumlahnya. Apa yang diharap tercapai dari pakej ini dan bagaimana ia akan disalurkan. Harap mendapat penjelasan.

Dalam akhbar Business Times 11hb. Mac 2003 dilporkan:

“KLSE hits lowest level this year, slips 1.7%” dengan izin. BSKL jatuh ke paras terendah tahun ini, turun 1.7%. BSKL ditutup pada 624.78 mata. Dilaporkan pelabur lebih suka memegang tunai dalam keadaan tidak menentu kemungkinan perang Iraq. Ini berlaku selepas titah ucapan Baginda Yang di Pertuan Agong dalam Parlimen dan semasa kerajaan mengumumkan pakej rangsangan pasaran modal baru oleh Pemangku Perdana Menteri menunjukkan tahap keyakinan pelabur keatas ekonomi dan pasaran saham negara. Pasaran dibursa saham lain dirantau ini tidak mengalami kejatuhan begitu teruk pada hari tersebut.

Ini adalah diantara laporan-laporan terbaru akhbar kerajaan sendiri yang membuktikan ekonomi sedang tenat bertentangan dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh YB Ketua Backbencher dan kerajaan yang menyatakan ekonomi sedang pulih.

Tun Yang di Pertua,

Dalam laporan Newsweek keluaran khas 2003 dilaporkan:

Kerajaan menegaskan bahawa pelaburan di Multimedia Super Coriddor atau MSC telah menghasilkan kejayaan berpandukan pembangunan yang berlaku di Silicon Valley California. Idea mengklon Silicon Valley California ini dianggap sebagai cetusan minda Perdana Menteri yang amat pintar dan gemilang dalam pembaharuan hala tuju negara. Menurut majalah tersebut selepas pengklonan MSC hasilnya “although very much a valley, it has only a little bit of silicon” dengan izin. Walaupun ia betul-betul sebuah Lembah tetapi mempunyai hanya sedikit sahaja silicon. Mungkin kesilapan berlaku dalam proses pengklonan ini. Seterusnya majalah tersebut mencadangkan MSC “is a field of dreams” only those, unlike the movie of the same name none of the world–class players game to the field for the ultimate game” dengan izin. MSC merupakan medan impian kepada mereka berbeza dengan filem yang mempunyai tajuk yang sama tidak ada pemain bertaraf dunia bersedia ke medan untuk membuah hasil yang terbaik.

Kerajaan dalam retorik biasa menegaskan bahawa orang asing iri hati dengan kejayaan kita sebab itu kita akan dikritik dalam cara pengklonan kita. Jadi setelah berbelanja lebih daripada RM20 billion wang rakyat di MSC kita mempunyai sebuah lembah dengan hanya sedikit sahaja silicon dan banyak impian. Namun kerajaan memetik penunjuk mereka sendiri berkeras mempertahan bahawa MSC memperolehi kejayaan hebat.

Perlu diingatkan bahawa bukan apa yang kita kata penting tetapi apa yang pemain itu sendiri kata, fikir dan bertindak yang menentukan kejayaan atau sebaliknya Hakikatnya pemain bertaraf dunia tidak ada di MSC dan itu pengukur kejayaan sebenar tidak lain daripada itu. Mereka kebanyakannya berada di India dan tempat-tempat teknologi tinggi perisian dihasilkan dan tidak semestinya dalam sebuah lembah.

Saya terbaca dalam laporan sebuah akhbar antarabangsa menyatakan Kerajaan Malaysia melalui dua buah agensi salah satunya Bank Negara terlibat dalam cubaan menyelamat ekonomi Zimbabwe terutamanya dalam bekalan bahan petroleum. Dilaporkan ia melibatkan berbillion ringgit walaupun ekonomi Zimbabwe hampir lumpuh. Kemungkinan besar negara tidak akan dapat balik wang tersebut kerana sekiranya kerajaan baru mengambilalih mereka tidak bertanggongjawab keatas hutang ini. Dilaporkan juga beberapa transaksi melibatkan Bank Negara dan agensi kerajaan lain menyalur bantuan kepada kerajaan Zimbabwe dalam usaha mempertahan rejim sedia ada bertentangan dengan kehendak rakyat mereka. Sejak bila dasar luar Negara diolah untuk menyelamat kerajaan yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan negara ini. Saya ingin mendapat penjelasan pembaziran dan penyalahgunaan wang rakyat yang dilakukan ini

Tun Yang di Pertua,

Kerajaan Malaysia memberi bantuan sebanyak RM1.0 billion untuk pembinaan semula Lebanon. Kerajaan sanggup membantu rakyat Lebanon tetapi dalam masa yang sama sanggup pula merompak wang royalty kepunyaan rakyat Terengganu yang 95% lebih terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam. Dimanakah lojiknya keperihatinan kerajaan yang kononnya membela masyarakat dunia yang tertindas?

Rakyat Negeri Terengganu bukan sahaja dirompak wang royalty tetapi juga dirompak dalam pembahagian wang ehsan. Inilah yang dikatakan “Double Robbery” atau “multiple robbery” dengan izin mengambil kira rompakan wang Petronas untuk bail-out syarikat-syarikat yang gagal. Penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dilakukan dalam pembahagian wang ehsan oleh pimpinan UMNO Negeri Terenganu dimana:

1. Jumlah yang dibayar tidak sama dengan jumlah wang tercatit dalam voucher bayaran

2. Jumlah yang dibayar kepada penerima amat rendah dari jumlah yang dituntut dari kerajaan pusat.

3. Banyak yang melanggar syarat-syarat yang ditetapkan

4. Terdapat banyak voucher bayaran palsu

5. Terdapat juga tanda tangan dalam voucher bayaran yang ditiru oleh pihak tertentu

Kawasan yang dikenalpasti berlaku penyelewengan dalam pembahagian wang ehsan termasuklah:

Kawasan 1) MARANG, 2) SETIU, 3) HULU TERNGGANU, 4) KEMAMAN, DAN 5) BESUT

Diantara nama-nama yang diseneraikan terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan ini termasuklah:

1. Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Terengganu merangkap Ketua UMNO Bahagian Besut dan calon Menteri Besar Negeri Terengganu sekiranya UMNO dan BN menang dalam piliharaya nanti

2. Presiden Persatuan Kontraktor Malaysia merangkap Ketua UMNO Bahagian KualaTerengganu

3. Ketua UMNO Bahagian Setiu dan bekas Timbalan Menteri

4. Timbalan Ketua UMNO Bahagian Besut seorang Ulamak UMNO yang juga bekas Menteri.

Difahamkan lapuran lengkap telah di hantar kepada Perdana Menteri oleh pihak berkuasa untuk diambil tindakan selanjutnya. Saya ingin bertanya setakat ini apa tindakan telah diambil terhadap mereka yang menyalahguna kuasa, rasuah dan menyeleweng dalam pembahagian wang ehsan ini.

Semasa Terengganu diperintah Barisan Nasional dahulu orang Melayu tidak mendapat pembelaan dan dibiarkan begitu sahaja dan banyak menghadapi kesusahan, kepahitan dan keperitan hidup. Kesenangan dan kemewahan pada ketika itu tertumpu kepada golongan pemimpin UMNO sahaja. Diatas keangkohan pemimpin-pemimpin UMNO inilah telah mendesak rakyat Negeri Terengganu menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional pada pilihanraya lalu. Kebencian orang-orang Terengganu memuncak terhadap UMNO kerana pemimpin UMNO dikaitkan dengan kegiatan rasuah dan penyalah gunaan kuasa.

Kalaulah wang yang diamanahkan untuk diagih kepada rakyat pun turut diselewengkan oleh pemimpin tertinggi UMNO Negeri Terengganu macam mana mereka boleh diharapkan memerintah Negeri Terengganu yang hari ini dipimpin oleh wakil-wakil rakyat yang tidak mempunyai skandal, rasuah atau penyelewengan. Tekanan terhadap YAB Tuan Guru Menteri Besar Terengganu oleh kerajaan pusat khususnya pemimpin UMNO tidak memberi kesan buruk kepada beliau sebaliknya memberi kesan yang positif. Kelantangan dan keberanian beliau melaksanakan sesuatu dasar telah mendapat kepujian dari banyak pihak. Tindakan dan sikap beliau lebih baik dari menteri-menteri besar yang lain. Strategi UMNO dan BN untuk mengambilalih Negeri Terengganu hanyalah melalui eksploitasi penggunaan wang memandangkan wakil-wakil rakyat dari Negeri Terengganu tidak mempunyai wang tetapi adalah sukar untuk menukar pemikiran orang Terengganu supaya kembali kepada UMNO. Rakyat Negeri Terengganu tidak lupa dan masih teringat-ingat keadaan yang berlaku pada zaman UMNO atau BN memerintah Negeri Terengganu selama 40 tahun dahulu.

Tun Yang di Pertua,

Saya hairan apabila kerajaan mengesyorkan dalam belanjawan tahun 2003 kerajaan bergantung kepada sector swasta sebagai injin pertumbuhan. Sejak pembentangan belanjawan dibuat tiada sedikit pun kemajuan dalam pelaburan swasta, malah yang kedengaran kerajaan terpaksa membantu sector swasta melalui bail-out, pengepaman projek rangsangan, pakej rangsangan pasaran modal dan pelbagai pakej rangsangan lagi. Saya ingin bertanya dimanakah peranan sektor swasta yang sepatutnya menjana pertumbuhan Ekonomi? Bagaimana kerajaan hendak bergantung kepada sector swasta sebagai penjana pertumbuhan sedangkan mereka sendiri mengharap kerajaan untuk terus bernyawa? Sepetimana saya nyatakan dan akan terus nyatakan semuanya ini adalah sandiwara menjanjikan negara sesuatu tanpa niat dan kebolehan untuk menunaikannya. Jawapan dapat dibaca apabila Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan mengharap penggunaan perseorangan sebagai penjana pertumbuhan ekonomi.

Apa yang dibayangkan kerajaan ialah menggalak rakyat berbelanja walaupun tidak mampu. Bagaimana melaksanakannya? Pastikan sistem perbankkan menyediakan kemudahan kewangan berorientasi pengguna dengan mudah dan kurang penelitian supaya yang tidak berkelayakan pun boleh berbelanja. Keupayaan membayar tidak penting. Belanja dahulu dan bayar kemudian. Kerajaan menganjurkan pelbagai pameran dan pesta, pameran perdagangan, komputer, perabut, makanan dan pelbagai lagi dan mendesak rakyat melawat dan berbelanja. Belanja! Belanja !Belanja! Itu sudah menjadi Moto kerajaan Barisan Nasional sekarang. Berita kejayaan pameran-pameran ini dan lawatan oleh beribu orang diperbesarkan oleh media perdana seolah-olah strategi ekonomi kerajaan berjaya berdasarkan jumlah pengunjung bukannya perbelanjaan.

Yang tidak berkemampuan berbelanja pun tertarik sekali dalam propaganda kerajaan supaya berbelanja. Yang tidak berkelayakan mendapat pinjaman dari system perbankkan menggunakan system perbankkan bawah tanah atau haram seperti Chettiar dan Al Long. Kegiatan Al Long dan Chettiar diiklankan secara berleluasa dalam media-media perdana kepunyaan kerajaan sendiri! Percambahan lintah darat ini sebenarnya berasal dari galakkan dan polisi kerajaan sendiri. Lintah darat mewajarkan kegiatan mereka bagi melengkapi dan membantu menjayakan polisi kerajaan. Siapa bertanggongjawab keatas tragedy seperti membunuh diri, melacur anak dan isteri, membunuh pengutip hutang, merompak dan sebagainya untuk menebus hutang? Jangan salahkan peminjam atau pemiutang kerana mereka hanya melaksanakan fungsi ekonomi yang dicanangkan kerajaan. Ia merupakan organisasi yang lahir hasil polisi kerajaan. Menyerang lintah darat hanyalah helah untuk melepas tanggongjawab. Trgedi-tragedi ini berpunca hasil galakkan dan rangsangan kerajaan menjana pertumbuhan ekonomi melalui penggunaan perseorangan dengan apa cara sekali pun daripada menggalak mereka menyimpan dan berjimat cermat untuk masa hadapan.

Tun Yang di Pertua,

Ada tanggapan terdapat dua kelas korporat dalam negara, satu yang akan diselamatkan dan yang satu lagi dibiarkan bertarung sendirian dan mungkin menghadapi maut. Pelbagai jenaka dan sindiran diperkatakan tentang “ Daddy Kasi” membayangkan kebolehan seseorang bukan keperluan untuk berjaya dalam dunia perniagaan. Ini menggambarkan sector swasta sebagai korup, berorientasi kroni dan bergantung kepada “technical know who” dengan izin daripada pengetahuan dan kebolehan. Persepsi ini adalah kenyataan sebenar dalam dunia korporat Negara hari ini.

Gambaran ini tidak terbatas kepada orang Melayu sahaja. Malah ada pepatah mengatakan kapitalis bukan Melayu tidak boleh bersaing diarena antarabangsa tanpa konsesi dari kerajaan seperti lesen judi, konsesi tol, IPP [Independent Power Production] atau ganjaran tanah yang luas. Yang bukan dari kalangan kroni pula bergantung dengan cara lain untuk terus hidup dengan merasuah kakitangan kerajaan bagi melindungi kegiatan mereka seperti judi haram, pornografi, Al Long, Chettiar, penyeludupan, pelacuran dan sebagainya yang berleluasa hari ini. Mereka bergantung kepada perlindungan yang diberikan oleh kakitangan kerajaan yang korup terutamanya kakitangan agensi pelaksana undang-undang. Sebenarnya kakitangan kerajaan yang korup inilah yang menjadi pengurus kepada ekonomi bawah tanah. Setengah kegiatan ini lebih besar daripada yang dilesenkan kerajaan seperti perjudian haram.

Keengganan kerajaan bertindak dan mendakwa kakitangan kerajaan, ahli politik dan kroni kapitalis yang korup, tetapi sebaliknya mendakwa mereka yang membongkar amalan rasuah seperti Saudara Ezam Mohd Noor menguatkan lagi persepsi bahawa kejayaan dalam perniagaan bergantung kepada amalan rasuah. Kepada kakitangan kerajaan yang rasuah ia merupakan lesen dari kerajaan Barisan Nasional untuk terus melindung kegiatan haram dan mengurus ekonomi bawah tanah. Kepada kroni kapitalis yang rasuah ia merupakan lesen untuk terus menyamun harta kerajaan mengetahui mereka tidak akan didakwa. Kepada ahli politik yang korup ia merupakan lesen untuk menjana lebih banyak projek kerajaan dan dianugerah kepada kroni mereka untuk mendapat imbuhan. Sebenarnya kerajaan Barisan Nasional memberi lessen kepada kakitangan mereka untuk menjarah atau merompak ekonomi dan kekayaan negara. Rasuah menjadi passport kejayaan kewangan dan menjadi sebahagian daripada fungsi dan amalan penting dalam sector awam maupun swasta baik sebagai pemberi atau penerima.

Tun Yang di Pertua,

Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan dua yang baru menyatakan nilai semasa saham diBSKL tidak mencerminkan nilai sebenar setengah syarikat dan sepatutnya lebih tinggi lagi sebagai alasan kerajaan bertindak keatas BSKL. Ingin saya peringatkan fungsi Bursa Saham ialah memberi kepastian harga yang menggambarkan keadaan semasa ekonomi negara. Sebenarnya tiada lagi keyakinan dan minat pelabur baik asing maupun tempatan keatas ekonomi dan Bursa Saham Kuala Lumpur. Pemergian Merrill Lynch dari Kuala Lumpur dan keperluan merangsang pasaran modal memberi isyarat ini. Itulah sebabnya mengapa harga disebut sedemikian rupa dalam Bursa Saham sekarang ini.

Hampir RM500 billion modal di BSKL terluput atau hilang termasuk syarikat2 yang tersenerai sebagai PN4 kerana keengganan kerajaan mengurus ekonomi secara konservatif dan konvensional. Akibat daripada pelaksanaan kawalan modal, kawalan pertukaran wang asing dan isu CLOB meninggalkan BSKL dan sector swasta terkapai-kapai berikhtiar tanpa kemasukan pelaburan asing untuk memenuhi keperluan kewangan mereka yang amat diperlukan bagi pembesaran operasi mereka. Oleh sebab itu sekarang ini terdapat lebih 300 buah syarikat mengalami urus niaga paling minima dan sepatutnya tidak layak lagi diseneraikan di BSKL kalau tidak kerana kekaburan peraturan dan peruntukkan dalam BSKL. Ini berlaku keatas Bursa Saham yang pada satu ketika dahulu dibanggakan mempunyai jumlah perdagangan dan pertukaran modal mengatasi Bursa Saham New York dan yang paling aktif di Asia.

Dalam suasana Pelaburan langsung asing atau FDI merosot dengan teruknya pelaburan swasta domestik juga turut merosot. Diantara tahun 2001 dan 2002 kerajaan melaporkan daripada 900 buah syarikat yang disenaraikan di BSKL terdapat lebih daripada 10% atau lebih kurang 96 buah syarikat yang tidak lagi berfungsi dan ditakrif sebagai syarikat-syarikat PN4 atau syarikat yang hidup segan mati tak mahu. Syarikat-syarikat PN4 ini sahaja telah melupuskan modal hampir RM14 billion ringgit dari pasaran modal. Ini tidak termasuk hampir keseluruhan syarikat milik UMNO dan kroni UMNO yang dianggarkan berjumlah ratusan syarikat yang tidak diseneraikan memerlukan suntikan modal tidak kurang dari RM60 billion melalui Danamodal, Danaharta, Petronas dan agensi kerajaan yang lain. Tidak dikira lagi pinjaman, hutang, pakej rangsangan dan kemudahan kewangan lainnya yang terpaksa ditanggong kerajaan apabila mengambilalih syarikat-syarikat ini. Kesemua urusan niaga ini dilakukan melalui perbelanjaan “Off-Budget” dan tidak perlu dibentangkan dalam Parlimen untuk dibahas dan diluluskan. Sebenarnya ini menyalahi dan bertentangan dari perspektif Perlembagaan.

Tun Yang di Pertua,

Tidak berjaya membina senario ekonomi baru kerajaan mencipta sandiwara ekonomi. Mengetahui sandiwara ini tidak boleh bertahan lama mereka mencipta sandiwara sampingan. Sandiwara sedemikian termasuklah kenyataan-kenyataan celaru Timbalan Menteri Penerangan, ketegangan perhubungan dengan Singapura, sandiwara Presiden MCA letak jawatan atau tidak dan kemudian menolak perletakan jawatan, gerhana di Kelantan, Terengganu Kita dan sebagainya. Semua ini dilakunkan untuk mengalih perhatian rakyat dari membicara kedudukan sebenar ekonomi negara. Tidak hairan pelbagai sandiwara lagi akan direkacipta untuk menunjukkan betapa prihatinnya kerajaan Barisan Nasional kepada rakyat menjelang pilihanraya nanti.

Cara paling berkesan menutup kebenaran mengenai penyelewengan, penyalah gunaan kuasa, kesilapan pelaburan, rasuah dan sebagainya ialah dengan menafikan maklumat sebenar dari diketahui umum. Ia dapat disembunyikan selagi rakyat dinafikan dengan kebenaran, selagi system politik dari masa ke semasa dapat merekacipta sandiwara dan mengalih perhatian rakyat kepada isu-isu yang tidak relevan.

Tun Yang di Pertua,

Sebelum saya akhiri saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Tun Yang di Pertua dan Parlimen Malaysia kerana memberi penghormatan kepada saya mewakili parlimen Malaysia dalam lawatan persahabatan Parlimen Malaysia ke Parlimen Turki, Mesir dan Pakistan baru-baru ini. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada ketua delegasi rombongan tersebut Ahli Parlimen Tambun kerana berjaya melaksanakan tugas beliau dengan baik. Saya ingat beliau akan berada didepan saya pada sesi parlimen ini tetapi masih berada disebelah sana. Harap dapat bersabar menunggu giliran. Saya harap lawatan-lawatan sebegini eloklah wakil pembangkang turut serta kerana mereka adalah sebahagian dari warga parlimen Malaysia.

Sekian terima kasih.






______________________
Terbitan : 14 Mac 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com