SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun TANGKAPAN ISA - MENGAPA PERSATUAN BEKAS PERAJURIT MEMBISU?Akta ISA yang diamalkan di negara ini nampaknya tidak lagi dipedulikan oleh mana-mana persatuan. SUHAKAM yang diharapkan dapat menjalankan tugasnya untuk memastikan akta zalim ini dihapuskan kelihatan semakin secocok dengan akta tersebut. SUHAKAM hanya mampu memberi cadangan untuk memperbaiki akta tersebut bukan untuk menghapuskannya. Ibarat, harimau luka yang telah banyak membaham mangsa yang tidak berdosa tidak dibunuh, malahan telah diberi rawatan pula. Itulah fungsi SUHAKAM, dan kita amat kecewa sekali. Baru-baru ini yang tidak kita sangka samasekali, seorang bekas pegawai kanan tentera yang pernah memerintah satu batalion Askar Melayu yang begitu banyak jasanya kepada negara ini malahan pernah ditugaskan di luar negara telah ditahan di bawah Akta ISA. Alasannya adalah beliau pernah berbaik dengan kumpulan Mujahidin. Apakah silapnya berbaik dengan Kumpulan Jihad Islam ini yang berjuang untuk membela umat Islam di tanahir mereka sendiri? Sewajarnya pegawai kanan tentera ini diberi pujian kerana menunjukkan simpati beliau terhadap perjuangan Mujahidin. Tetapi, apakah yang beliau dapat? Beliau telah dinasihatkan berhenti, malahan tidak cukup dengan itu beliau telahpun ditahan di bawah ISA. Kita samasekali tidak pernah menyangka bahawa kerajaan sanggup mengambil tindakan sedemikian rupa ke atas pegawai kanan tentera tersebut. Sepanjang perkhidmatan beliau, beliau telah menunjukkan ketaatsetiaan beliau terhadap negara ini dan tidak pernah menggunakan kuasa beliau sebagai Pegawai Memerintah sebuah batalion tentera untuk mengkucar-kacirkan negara. Begitulah taat beliau kepada negara seperti didalam sumpah beliau sebelum memasuki tentera. Tiada rekod buruk yang beliau telah lakukan, seperti segelintir pegawai-pegawai tentera sekarang yang telah menyelewengkan wang kerajaan berjuta-juta ringgit. Beliau cuma menunjukkan taatsetia beliau kepada kerajaan dan kasih sayang beliau kepada perjuangan Mujahidin. Kini, beliau dilakukan sedemikian rupa, keluarga beliau diberi pembalasan sedemikian rupa sebagai `pembalasan' ke atas jasa-jasa beliau selama berkhidmat di dalam tentera. Kalau inilah yang boleh berlaku ke atas seorang pegawai kanan tentera, kita tidak boleh bayangkan apa yang boleh berlaku pula ke atas anggota-anggota peringkat bawahan nanti. Persatuan Bekas Perajurit yang kononnya berjuang untuk membela bekas-bekas perajurit tidak berbuat apa-apa. Sekurang-kurangnya mereka perlu membuat bantahan keras kerana seorang bekas pegawai kanan tentera, orang Melayu berugama Islam telah ditangkap, ditahan tanpa bicara. Di manakah tempat keluarga pegawai tentera ini untuk mengadu? Peristiwa yang berlaku ini satu hari akan boleh membuka mata anggota-anggota tentera kita betapa perlunya Akta ISA ini dihapuskan. Benarlah kata Dato' Seri Anwar Ibrahim, kalau beliau sebagai Bekas Timbalan Perdana Menteri boleh dilakukan sedemikian rupa, apalah yang ada pada rakyat bawahan. Inikan pula seorang bekas Pegawai Tentera. Yang menghairankan kita, kumpulan Al-Maunah yang telah melakukan tindakan merampas senjata di Kem Grik yang merupakan satu tindakan amat bahaya kepada negara ini berupaya dihadapkan ke Mahkamah. Tetapi, pegawai kanan tentera ini yang tidak pernah melakukan tindakan ganas dan subversif terhadap negara telah dianiayai. Ketua Polis Negara dengan megah mengatakan pihak Polis ada bukti. Jika ada, mengapa tidak dibicarakan dan mengapa perlu guna Akta ISA? Kita masih ingat, golongan Reformasi juga pernah dikatakan punyai senjatapi, roket, molotov cocktail dan sebagainya, tetapi kini telah berapa tahun berlalu manakah senjata-senjata tersebut? Inilah kezaliman yang wajib ke atas semua umat Islam tentang. Kalaulah Persatuan Bekas Perajurit sendiripun tidak boleh membela pegawai tentera teraniayai ini, usah diharap lagi pada persatuan-persatuan lain. Harapkan SUHAKAM? Kita lihat sendiri apa komen SUHAKAM berkaitan Akta ISA. Harapkan para-para Mufti? Berapa banyak mereka yang ditahan di bawah Akta ISA telah dibebaskan akibat nasihat para-para Mufti ini? Cuma, kita boleh berharap rakyat yang boleh membela iaitu rakyat yang masih punyai kepercayaan bahawa makhluk bernama manusia ini perlu diberi keadilan dan manusia itu lebih tinggi nilainya dari seekor binatang. Justeru itu, usahlah pemimpin UMNO, Pemuda UMNO atau rakyat di negara ini bertegang urat menentang kezaliman Amerika terhadap Iraq, selagi masih ada nyawa manusia terkurung tanpa pembelaan di kandang ISA. Kepada keluarga bekas Pegawai Kanan Tentera tersebut, kami semua doakan agar keluarga kamu bersabar dengan kezaliman yang berlaku. Berserahlah pada tuhan Rabbul-Jalil kerana tuhan tidak buta dan tuhan tidak pekak. Percayalah, satu hari nanti kezaliman akan mendapat balasannya, insyaallah. ZULHAZMI NS
Diterbitkan oleh : |