Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Tentera Penceroboh Mesti Berundur

KENYATAAN BERSAMA PRM DAN KEADILAN

TENTERA PENCEROBOH MESTI BERUNDUR

Tentera AS dan Britain telah berjaya dengan cepat menakluki Iraq, tetapi Presiden Bush masih belum mahu mengisytiharkan kemenangan. Terdapat dua faktor besar yang membantu kejayaan pencerobohan ini.

Pertama, serangan terutama dari udara yang bertalu-talu ke atas Bagdad, dengan menggunakan bom dan lain-lain senjata pemusnah, sangat berkesan. Serangan ini lebih banyak mengakibatkan kematian, kecederaan, penderitaan dan kemusnahan daripada yang sedia digambarkan oleh media Barat. Untuk mengurangkan kesan tragedi ini, media tersebut membesarkan cerita-cerita tentang kezaliman Presiden Saddam.

Kedua, nyata sekali rejim Saddam tidak mendapat sokongan kuat yang padu daripada rakyat terbanyak, termasuk tentera Iraq. Ini ialah kerana sebahagian besar rakyat menganggap Saddam sebagai seorang diktator, walaupun kebanyakan mereka tidak berani dan tidak dibenarkan menyuarakan tentangan secara terbuka sewaktu beliau berkuasa. Oleh itu, tidak memeranjatkan bahawa rakyat tidak bangkit melawan dan ramai pemimpin tentera dikatakan telah belot setelah diumpan dengan berbagai-bagai sogokan.

Kami merasa sedih kerana pencerobohan AS-Britain ini telah mengakibakan penderitaan ke atas ramai rakyat tidak berdosa - terutama sekali kanak-kanak, wanita dan orang tua. Kami juga merasa marah kerana tentera penceroboh kelihatan seolah-olah membenarkan saja perompakan dan pencurian berlarutan. Muzium Iraq yang terkenal itu dirompak dan dimusnah seolah-olah untuk melenyapkan sejarah lampau peradaban Iraq yang gemilang. Sebaliknya, Kementerian Minyak dikawal rapi. Terdapat anggapan bahawa pihak tentera penceroboh menggalakkan tindakan liar ini untuk mengalih kemarahan rakyat terhadap mereka.

Memang diketahui umum bahawa tujuan utama AS menakluki Iraq ialah untuk menguasai kekayaan minyak negara itu. Selain itu, dari jangka panjangnya selepas Iraq, AS hendak melemahkan negara-negara Arab-Islam dan sekaligus memperkuat kedudukan rejim Israel yang zalim terhadap rakyat Palestin. Sekarang, rancangan AS untuk melanjutkan penaklukan mereka ke atas Iraq sangat jelas. Tentera penakluk akan ditempatkan lebih lama di sana sehingga semua rancangan ekonomi, politik dan keselamatan AS tercapai. Empat buah pengkalan tentera akan dikuasai untuk memastikan dominasi AS.

AS-Britain menyerang Iraq dengan alasan konon Iraq memiliki senjata pemusnah. Sehingga ini tidak terdapat bukti mengenai senjata ini. Sekarang Bush mahu melanjutkan penguasaannya terhadap Iraq. Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia mendesak supaya (a) tentera penakluk AS-Britain berundur dengan seberapa segera dari bumi Iraq, (b) penguasaan ke atas politik dan pentadbiran rakyat Iraq hendaklah diberhentikan, dan (c) rakyat Iraq hendaklah diberikan kuasa untuk menentukan nasib mereka sendiri dan masa depan negara.

Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden KEADILAN
Dr Syed Husin Ali, Presiden PRM

24hb April 2003






______________________
Terbitan : 25 April 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com