SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Hiburan tumbangkan PAS di Kelantan?Oleh: Hj Mohnas
APABILA UMNO dan BN tumbang di Kelantan awal 90-an dan PAS makin kukuh, antara lain formula yang dicanangkan parti pemerintah ialah betapa bukan saja PAS memiliki ulama dan agamawan. Mereka cuba meletakkan tokoh agama, termasuk yang datang dari Pusat Islam sebagai sifir memukat sokongan rakyat. Malah, Dato’ Zainal Abidin, bekas Pengetua Kolej Islam Klang [KIK] dan Pengarah Pusat Islam diperlihatkan calon MB yang pada firasat UMNO dapat menyaingi ketokohan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Dato’ Zainal sampai ke Dewan Undangan Negeri Kelantan selepas 1995, walaupun bukan sebagai Menteri Besar. Kalau kejayaan formula itu dilihat berdasarkan bilangan wakil UMNO sebagai pembangkang – saya kira menempatkan tokoh agama adalah pilihan terbaik kembali memerintah Kelantan. Annuar Musa sendiri, sama ada secara terancang atau spontan, ditonjol datang daripada keluarga ulama. Kemuncaknya, Pilihan Raya Umum 1999, formula tersebut cuba digunakan lagi, kali ini ditambah dengan bekas pemimpin PAS. Malangnya, suasana politik tanah air tidak seperti sebelumnya, dengan mood pengundi Melayu yang bukan sahaja menganggap UMNO bukan pilihan terbaik memartabatkan Islam, bahkan bukan juga dapat membela orang Melayu. Kelantan, dengan majoriti Melayu yang tinggi dan Islam yang mengakar dalam budaya dan tradisi – bukan sahaja menolak formula UMNO itu, bahkan hampir-hampir sahaja menolak parti itu terus. Boleh jadi formula itu gagal, tetapi ia bukan gagal kerana tokoh agama, tetapi kerana UMNO itu sendiri. Kelantan tetap dengan nilai Islam yang sekian lama mengakar, bernafas dan menguasai kehidupan rakyat. Justeru, saya tertanya-tanya, apakah Ibrahim Ali melupakan hal ini? Awal insiden perarakan patung burung Petalawati, saya curiga – apakah Ibrahim Ali menganggap hati dan pemikiran rakyat Kelantan tidak lagi boleh ditawan dengan ‘pancingan agama’, sebaliknya harus dengan hiburan dan unsur di luar Islam? Sekarang ini, dengan menjemput sekumpulan artis semasa perarakan kereta berhias sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Kelantan – apakah Ibrahim Ali merasakan rakyat Melayu Islam Kelantan akan berubah 180 darjah kepada UMNO? PAS tidak menang di Kelantan kerana janji pembangunan dan kemajuan, sebagaimana UMNO pada 1978 tidak mungkin merampas negeri itu semata-mata dengan isu kemunduran. Rakyat Kelantan sudah bertindak menukar kerajaan dan telah menyaksikan pembangunan tetap berjalan walau apa jua parti yang memerintah. Tinggalnya, sejauh mana pembangunan itu meluas dan seimbang atau tidak merugikan nasib dan masa depan mereka. Penilaian kejayaan sesebuah kerajaan dalam pandangan rakyat Kelantan tidak hanya sekitar pembangunan, tetapi perseimbangan antara tuntutan dunia dan akhirat, atau, setiap proses kemajuan tidak meninggalkan agama dan bangsa. Tidak ada mana-mana parti yang mahu menang dalam mana-mana pilihan raya, beranggapan hiburan boleh menjadi unsur besar menumpaskan parti lawan. Barangkali, hiburan boleh dijadikan alat kerajaan memerintah, supaya rakyat terlupa kesengsaraan dan kemiskinan mereka, sebagaimana Bollywood dengan dunia miskin di India; tetapi tidak sebagai senjata mengalahkan parti lawan yang sudah berkuasa. Patung Petalawati dan sekarang Ahmad Jais, Danny X-Factor, Roy Kapilla, Hetty Koes Endang dan Dian Pieshasha, mustahil boleh mengubah persepsi rakyat Kelantan terhadap keupayaan PAS mentadbir negeri secara Islam dan tidak meninggalkan aspek pembangunan fizikal. Rakyat Kelantan tidak bodoh untuk menganggap artis yang terkinja-kinja di atas pentas sebagai kayu ukur kemajuan. Soalnya, apakah Ibrahim Ali sejahil itu, menjadikan hiburan sebagai senjata menawan hati rakyat Kelantan? Saya tidak fikir demikian, kerana sebagai rakyat Kelantan, Ibrahim Ali tentu faham dan sedar kepentingan Islam dalam budaya dan kehidupan di Negeri Tadahan Wahyu ini. Mungkinkah, hiburan sedemikian adalah bertujuan mengikat hati pihak Istana kepada UMNO? Saya fikir, Sultan Kelantan sendiri tidak akan merestui sebarang usaha mencemarkan kesucian Islam dan meremehkan nilai-nilai hidup beragama, termasuklah hiburan melalaikan seperti yang mahu dilaksanakan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan [MTRK]. Sultan Kelantan yang saban minggu didoakan kesejahteraan baginda, tentu tidak mahu anasir songsang yang mahu ‘diperdagangkan’ semata-mata mahu menawan undi rakyat, dengan melanggar nilai-nilai hidup Islam. Tindakan MTRK bukan lagi soal seputar enakmen dan undang-undang, bahkan sudah berkait-rapat dengan Islam dan kehidupan rakyat Kelantan. Enakmen dan undang-undang datang kemudian, setelah rakyat Kelantan menentukan corak hidup mana mereka mahu lalui. UMNO Kelantan di bawah Mustapha Mohamed boleh mengambil tindakan drastik dalam hal ini – sekurang-kurangnya menunjukkan sensitiviti UMNO masih ada untuk memelihara Islam, sekurang-kurangnya di Kelantan – iaitu dengan menghalang konsert itu. Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw mengingatkan tiga kaedah pencegahan kemungkaran, iaitu, dengan tangan, lisan dan hati. Dr. Abdul Hadi Zari’, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang al-Azhar menyebut, tindakan dengan tangan adalah menggunakan kuasa dan selalunya yang dapat dilakukan kerajaan berkuasa. Dalam konteks insiden ini, tentunya kerajaan Negeri sendiri, manakala dengan lisan adalah selain daripada kerajaan. UMNO Kelantan adalah pembangkang di negeri itu dan tindakan paling wajar ialah dengan lisan, iaitu, menyatakan penentangannya terhadap konsert yang dianjurkan MRTK itu. Kalau tidak dengan lisan, apakah UMNO Kelantan hanya mahu mencegah dengan hati? Alahai, bukankah ia menggambarkan iman yang paling lemah? Masakan mereka yang lemah imannya mahu menguasai kerajaan?
Diterbitkan oleh : |