Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Teks Perbahasan Belanjawan Tambahan Kali ke-4 Tahun 2002

Teks Perbahasan Belanjawan Tambahan Kali ke-4 Tahun 2002.
Oleh MP Kemaman- YB Abd Rahman Yusof

Pada 1hb. April 2003 Pukul 12:10 ptg. – 12:20 ptg.

Tuan Yang di Pertua,

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan Negeri Terengganu kerana berjaya menarik Pelaburan Langsung Asing atau FDI yang tertinggi diantara negeri-negeri diMalaysia pada tahun 2002. Daripada lebih RM11.0 billion Pelaburan Langsung Asing atau FDI yang diluluskan pada tahun 2002 lebih kurang RM4.7 billion atau 42 % pergi ke Negeri Terengganu. Kejayaan ini dengan sendirinya menempelak dakwaan kononnya pelabur asing tidak berminat ke Negeri Terengganu kerana kerajaan Barisan Alternatif kepimpinan PAS melaksana pemerintahan Islam dan membongkar pembohongan media perdana kononnya Negeri Terengganu tidak membangun dibawah pemerintahan Barisan Alternatif. Ini disahkan sendiri oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada saya dilobi Parlimen baru-baru ini. Diharap kerajaan pusat tidak menjadi penghalang kemahuan pelabur asing untuk melabur di Negeri Terengganu.

Begitu juga dengan pengurusan syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri banyak memperolehi keuntungan berbanding dengan negeri lain yang banyak mengalami kerugian. Malah Amanah Saham Darul Iman yang diurus kerajaan Negeri Terengganu merupakan satu-satunya amanah saham Negeri yang memperolehi keuntungan dan dapat membayar dividen kepada pemegang sahamnya sedangkan Amanah-amanah saham Negeri lain mengalami kerugian dan kebangkrapan. Apa akan kerajaan lakukan keatas Amanah-amanah saham Negeri yang tidak bermaya dan mengalami kerugian ini.

Tuan Yang di Pertua,

Dari aspek sosio-ekonomi tanda ekonomi bermasaalah yang paling meruncing dan tidak mudah ditangani ialah peningkatan kegiatan ekonomi bawah tanah atau kongsi gelap dan penyusupan pengaruh mereka dalam pemerintahan negara. Kegiatan ini termasuklah operasi arked video, pinjaman haram atau Along, perjudian haram, pelacuran, penyeludupan, menciplak hakcipta intelektual dan sebagainya

Semua urusan perniagaan ini dibuat secara tunai dan sukar dikesan oleh kerajaan. Wang yang dihasilkan dari ekonomi bawah tanah ini kemudiannya disalurkan pula kedalam ekonomi rasmi melalui pelbagai cara. Diantaranya termasuklah pelaburan dalam perniagaan rasmi, pelaburan dalam pasaran saham dan rasuah kepada pihak berkuasa baik politik maupun kakitangan kerajaan sebagai “wang perlidungan” bagi melindungi kegiatan mereka dari tindakan undang-undang. Malah “wang perlindungan” juga dibayar melalui pembiayaian calon-calon tertentu untuk mewakili mereka dalam parti tertentu dan dalam pilihanraya untuk mewakili mereka dalam parlimen. Melalui “wang perlindungan” inilah mereka dapat meletakkan wakil mereka bagi mempengaruhi penggubalan dasar dan polisi kerajaan dan melindungi mereka dari tindakan pihak berkuasa.

Tanda paling jelas penyusupan pengaruh kongsi gelap dalam pemerintahan Negara ialah dakwaan yang dibuat oleh kepimpinan Barisan Nasional sendiri. Sekurang-kurangnya seorang Menteri dan seorang penasihat kanan parti pdidakwa terlibat. Mereka berjaya menyusup dalam sebuah parti pemerintah dan mempengaruhi pemilihan kepimpinan mereka melalui politik wang atau apa yang dinamakan “The Blackgold”. “Black” bermakna politik kongsi gelap dan “Gold” bermakna politik wang. Dakwaan ini dibuat oleh bukan calang orang tetapi Timbalan Menteri sendiri yang juga Ketua Pemuda parti tersebut. Saya bagi pihak Parti Keadilan Nasional mengucapkan tahniah diatas keberanian beliau membongkar dan melaporkannya kepada Pemangku Perdana Menteri yang sepatutnya mengambil tindakan tegas keatas perkara tersebut. Tetapi seperti biasa yang melapor menghadapi tindakan tata tertib dan disiplin partinya sendiri dan yang didakwa bebas dari sebarang tindakan. Sila nyatakan Menteri dan pemimpin mana yang didakwa terlibat dalam kegiatan kongsi gelap ini dan apa tindakan yang diambil supaya kerajaan dan rakyat berwaspada akan kegiatan mereka.

Saiz ekonomi mereka amat besar kerana transaksi perniagaan ini dibuat secara tunai. Dianggarkan sekurang-kurangnya 40% daripada transaksi perniagaan tunai terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan ekonomi bawah tanah. Wang dari sumber haram ini kemudiannya dilaburkan dalam perniagaan rasmi untuk menghalalkan sumber mereka dan mengelak dari dipersoal oleh pihak berkuasa. Dikatakan sebahagian besar kegiatan pembinaan, pembangunan dan perkilangan masyarakat Cina bergantung kepada sumber ekonomi bawah tanah atau kongsi gelap. Ada yang berjaya sehingga dapat menyeneraikan syarikat mereka di Bursa Saham Kuala Lumpur yang merupakan mercu tanda kejayaan mereka.

Dengan wang yang begitu banyak mereka mampu mempengaruhi proses rasmi kerajaan. Mereka mampu membeli gelaran “Dato’” dan mendapat penganugerahan bintang dan darjah kebesaran dari kerajaan diikuti dengan iklan secara besar-besaran dalam media perdana kepunyaan kerajaan sendiri yang meletakkan mereka sebagai warga terhormat. Mereka menjadi tokoh korporat dan menjadi rakan kongsi niaga dengan keluarga kepimpinan Negara. Dengan ini mereka cukup berpengaruh dalam masyarakat, politik dan perniagaan dan menggunakan kedudukan dan pengaruh mereka untuk terus melindungi kegiatan ekonomi bawah tanah dan mempengaruhi perjalanan ekonomi rasmi dan kerajaan.

Apabila kerajaan ingin mengembang ekonomi biasanya ia akan bergantung kepada sector pembinaan dan pembangunan hartanah. Sektor ini dikuasai oleh pengusaha ekonomi bawah tanah. Secara tidak langsung kerajaan menyumbang wang kedalam ekonomi bawah tanah yang dikuasai pertubuhan kongsi gelap. Setiap kali menjelang pilihanraya kerajaan akan merangsang pasaran saham dengan harapan akan ada lebihan wang untuk digunakan semasa pilihanraya. Wang yang dipungut melalui manipulasi pasaran saham ini dikelolakan oleh orang-orang tertentu yang sudah mengetahui kaunter mana harga saham akan naik. Kita boleh agak dari mana sumber wang ini datang dan selalunya syarikat-syarikat tertentu akan terlibat. Mereka mempunyai hubungan istimewa dengan kerajaan dan kepimpinan Negara. Hasil ini akan dilaburkan untuk membiayai parti-parti politik pemerintah baik dalam pemilihan parti maupun pilihanraya.

Sekarang kita faham kenapa organisasi kongsi gelap terus beroperasi dan makin berkembang kerana kerajaan sendiri terlibat dan membiarkan mereka bergabung dengan ekonomi rasmi pada tahap tertentu. Saya harap kerajaan sedar akan bahaya yang menghadapi masa depan ekonomi Negara dan melakukan sesuatu sebelum terlambat.

Tuan Yang Di-Pertua,

Aspek kedua ialah kesilapan, penggunaan kekerasan dan paksaan dalam pengurusan dan pelaksanaan polisi ekonomi dan pembangunan Negara. Kesilapan menyerbu akhbar harian internet “Malaysiakini” yang dijamin kebebasannya dibawah piagam Multimedia Super Corridor, mendakwa aktivis hak asasi kemanusiaan yang dijamin hak mereka dalam Perlembagaan, mendakwa dan memenjara mereka yang membongkar rasuah dan penyalahgunaan kuasa, menyerbu pakar IT asing yang bekerja dengan agensi kerajaan sendiri, mengguna ISA yang kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah dan pelbagai lagi. Semua ini menggunakan kuasa polis untuk bertindak. Polis sebenarnya tidak dilatih dan tidak layak mengawasi pelaksanaan polisi ekonomi dan pembangunan Negara. Kerajaan menyalahgunakan kuasa yang ada pada Polis untuk kepentingan mereka.

Kesilapan besar juga berlaku dalam pengurusan pasaran modal, penyelewengan ekonomi, pengagihan belanjawan yang mengutamakan kroni kapitalis daripada rakyat jelata, pelaksanaan Bahasa Inggeris, penarikan bantuan Sekolah Agama Rakyat dan pelbagai lagi. Kesilapan-kesilapan ini menggugat kuasa pemerintah sehingga perlu bergantung kepada polis, kekerasan dan paksaan dalam pentadbiran masyarakat.

Tuan Yang di Pertua,

Aspek ketiga ialah peningkatan keganasan, jenayah kolar-putih dan kepincangan rumahtangga.

Daripada laporan media perdana sendiri kita melihat peningkatan kegiatan rompakan dinegeri-negeri Selangor, Johor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur. Rompakan berlaku keatas Bank, Syarikat Kewangan, Kedai Emas dan sebagainya. Macam-macam kumpulan terlibat ada Geng kalimutu, Geng Mamak, Geng M16, Geng Styrer, Geng Rajah seperti drama television dan wayang gambar.

Begitu juga dengan peningkatan jenayah kolar-putih. Pelbagai skandal dilaporkan berlaku dalam kerajaan dan agensi kerajaan. Skandal Perwaja, Tabung Haji, Pengeluaran Bon palsu PUNB, PPRT, Wang Ehsan, MAS, Renong, Celcom, Time.Dot.Com, MISC, Putrajaya, perbekalan Komputer dan buku bahasa Inggeris yang melibatkan ratusan billion ringgit. Setakat ini tiada siapa yang didakwa dan diambil tindakan melainkan beberapa pegawai bawahan yang teraniaya.

Bagaimana skandal-skandal ini boleh berlaku dan kenapa mereka sanggup menipu kerajaan dan agensinya? Ini kerana kerajaan sendiri tidak boleh diharap kerana mereka tidak amanah dan tidak telus. Apatah lagi kakitangan kerajaan dan kroni kapitalis sendiri tahu bahawa menteri-menteri dan kepimpinan tertinggi Negara pun terlibat sekali.

Kepincangan rumahtangga juga meningkat kerana tekanan kesempitan hidup yang memaksa wanita-wanita menjerih tenaga untuk menampung keperluan hidup keluarga dan ada yang terpaksa terlibat dalam kegiatan yang tidak diingini seperti pelacuran dan sebagainya. Ramai pelajar wanita Institusi Pengajian Tinggi terpaksa melacur untuk menampung keperluan kos pengajian kerana keluarga tidak mampu menanggong kos yang begitu tinggi. Masaalah ini perlu ditangani dengan serius. Jangan fikir pasal menyelamat kroni sahaja yang melibatkan begitu banyak wang rakyat tanpa menghiraukan nasib rakyat jelata yang menghadapi keperitan dan kesempitan hidup.

Tuan Yang di Pertua,

Masaalah sosio-ekonomi ini timbul kerana Belanjawan tidak digunakan sebagai alat untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula ekonomi bagi menjamin keadilan dalam pengagihan kekayaan dan pembangunan negara.

Belanjawan mengutamakan “bail-out” kroni kapitalis sepertimana yang terdapat dalam belanjawan tambahan kali ini yang memperuntukkan lebih RM 14.0 billion daripada RM 16.0 billion atau 87.6% daripada belanjaan pengurusan dan 67% daripada keseluruhan belanjawan tambahan sebanyak RM21 billion untuk projek “bail-out”. Belanjawan tambahan kali ini merupakan belanjawan tambahan “bail-out” kroni kapitalis yang mesti ditentang oleh seluruh ahli parlimen yang prihatin kepada rakyat. Kepimpinan Negara hari ini sudah ketagih menggunakan wang rakyat untuk menyelamat empayar kewangan kroni mereka.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada rakyat Iraq yang telah menunjukkan keberanian luar biasa dalam penentangan mereka terhadap pencerobohan Amerika Syarikat dan Sekutunya yang selama ini sombong, angkuh, takbur dan riak dengan kekuatan peralatan persentajaan canggih mereka kepada dunia. Ini membuktikan bahawa kekuatan persenjataan dan material sahaja tidak berupaya mematahkan semangat Jihad umat Islam dalam mempertahankan Agama, Tanahair dan maruah bangsa mereka dengan mudah. Semoga kemenangan berpihak kepada rakyat Iraq.

Sekian. Terima Kasih.






______________________
Terbitan : 5 April 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com