SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Solat hajat untuk LutfiOleh: Penarik Beca Telah banyak ditulis, diulas dan dispekulasikan tentang penyakit yang dideritai oleh penulis dan penerbit media bebas, Ahmad Lutfi Othman. Ada yang boleh dibaca dan banyak juga yang patut ditendang ke dalam tong sampah. Penyokong-penyokong Umno dan Barisan Nasional yang sedikit rasional memilih untuk menyatakan Lutfi menderitai kencing manis dan sakit buah pinggang. Boleh jadi mereka benar. Tetapi, setakat yang saya tahu, kalau sekadar kencing manis dan sakit buah pinggang, mungkin sudah lama Lutfi sembuh kerana pelbagai penawar yang terbukti keberkesanannya hampir setiap hari dicadangkan kepada Lutfi oleh hampir semua orang yang menziarahi dan menghubunginya. Sebagai contoh, setelah menjumpai penawarnya, seorang kawan saya yang minum teh tarik tiap-tiap hari dengan saya, bukan sahaja turun kandungan gula di dalam darahnya dari 22 kepada 8.3, malah beliau yang tidak pernah berpantang semakin rakus dengan teh tarik dan 'fresh orange' yang mesti "kasi manis!" Seorang lagi kawan yang sama-sama merengkok di dalam lokap dengan saya selepas demonstrasi anti-Israel dahulu, bukan sahaja tidak terlantar malah boleh berdemonstrasi dengan lantang walaupun ketika di dalam lokap beliau terpaksa menggunakan alat khas dengan bantuan seorang lagi kawan yang dilokap untuk merawat buah pinggangnya. Sehingga ke hari ini pun, walaupun sudah berkahwin dengan isteri yang cantik dan beranak-pinak, beliau masih lagi menderitai sakit buah pinggang. Tetapi beliau tidaklah terlantar dan masih berkerja, boleh memandu dan kadang-kadang membawa anak isteri makan angin walaupun sering keluar masuk hospital dan terpaksa menerima rawatan mesin pencuci buah pinggang tiga kali seminggu. Lutfi yang saya kenali tidak pernah pula mengadu sakit buah pinggang. Beliau juga bukan tidak pernah menemui doktor pakar dan menjalani pelbagai cara untuk mengesan penyakitnya. Tetapi tidak pernah beliau ceritakan ada doktor yang mendiagnosis penyakitnya secara pasti. Lantaran itulah wujud pelbagai spekulasi bahawa beliau disihir. Wujud juga tuduhan kononnya orang yang Lutfi kemukakan aduan rasuah ke atasnya bertangungjawab menghantar sihir membaham Lutfi. Kalau bukan orang itu sendiri, kata yang menuduh, macai-macainya yang mengirim sihir. Tidak perlulah kita terjerumus untuk sama-sama menuduh tanpa bukti. Menuduh tanpa bukti akhirnya memalukan diri sendiri. Apa yang kita boleh buat? Saya sendiri tidak tahu jawapannya sehinggalah kawan-kawan yang mengikuti kuliah di Markaz Tarbiyyah PAS, Taman Melewar, mengambil keputusan untuk melakukan solat hajat beramai-ramai untuk Lutfi. Saya yakin, Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang akan memaqbulkan doa dan permintaan kita kepada-Nya agar disembuhkan hamba-Nya yang begitu gigih menentang kemungkaran. Sejak dari tulisan-tulisannya selepas dipecat dari UTM, selepas itu di zaman beliau begitu prolifik menulis dan menerbitkan buku-buku yang mengkritik Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehinggalah ke zaman beliau menerbitkan akhbar-akhbar yang membuat pendedahan demi pendedahan, pelbagai rintangan, ugutan dan gertakan telah ditempuhi oleh Lutfi. Semuanya tidak mematahkan semangat beliau untuk terus menentang kemungkaran. Mungkin kini Tuhan sedang menguji kesabarannya. Tetapi kita yang tidak sanggup melakukan apa yang sanggup dilakukannya, tolonglah berdoa dan bersolat hajat agar Lutfi dilepaskan dari penderitaan dan kesakitan yang 'mengikat' tangannya untuk terus menulis dan menentang kemungkaran. Saya juga menyeru kepada para ulama agar luangkanlah sedikit masa bagi melakukan solat hajat untuk Lutfi. Bayangkanlah jika kita yang sedang merempuh penderitaan sedemikian rupa, tentu kita mengharapkan kawan-kawan berdoa dan bersolat hajat agar Allah meringankan penderitaan atau melepaskan terus diri kita yang serba daif dari cengkaman kesakitan. Bayangkanlah Lutfi yang dahulunya sedikit gemuk kini kurus kering dan bengkok tangannya!
Diterbitkan oleh : |