SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Perasmian Yayasan Tuanku Ismail Nasiruddin Shah (YASIN)KUALA TERENGGANU: Yayasan Tuanku Ismail Nasiruddin Shah (YASIN) sempurna dilancarkan oleh Tengku Ampuan Intan Zaharah sekaligus merasmikan Musolla YASIN. YASIN dilancarkan setelah genap 100 tahun Hari Keputeraan al-Marhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah. Nama Tuanku Ismail Nasiruddin Shah digunapakai bagi mengenangkan pemerintahan Almarhum Tuanku yang sering turun ke desa-desa menjenguk dan mendampingi rakyatnya. Tuanku juga dikenali sebagai Yang di-Pertuan Agong yang prihatin kepada masalah negara apabila dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong ke empat. Jurucakap Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Raja Kamarul Baharin Raja Ahmad berkata, cadangan penubuhan YASIN itu telah dicadangkan pada awal tahun 2002 dengan restu dan perkenan Ninda Tengku Ampuan Intan Zaharah. "Tujuan penubuhan YASIN adalah untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik di luar bandar yang serba kekurangan bagi mencapai sepenuh potensi terutamanya di dalam pelajaran," ujarnya. Katanya, Terengganu merupakan salah sebuah negeri melayu tidak bersekutu dan kurang mendapat perhatian pihak penjajah, dari itu banyak desa-desa di negeri ini yang berada di bawah tahap kemiskinan. "Walaupun gas dan minyak ditemui pada tahun 1980-an, namun masih banyak lagi desa-desa di negeri ini yang berada di tahap kemiskinan. "Kekurangan infrastruktur asas, pendidikan dan perubatan menjelaskan lagi mengapa kawasan pendalaman menjadi sasaran projek ini," katanya. Katanya, bantuan YASIN tidak hanya dalam bentuk kewangan sahaja, malah bantuan juga dalam bentuk khidmat nasihat, kaunseling, perubatan dan kesihatan. Perubatan diperlukan bagi memastikan golongan pelajar membesar dengan makanan yang berzat bagi mencapai kecergasan rohani, jasmani dan intelektual. "Bantuan dan khidmat nasihat dari pakar-pakar profesional akan menjadi sebahagian dari sumbangan YASIN," ujar lagi. Pemilihan calon-calon berkelayakan berasaskan kepada kelayakan akademi, kedudukan pendapatan keluarga serta kriteria-kriteria lain yang akan dinilai oleh panel-panel pakar pendidikan dan profesional. Menurut beliau, projek anak dan sekolah angkat akan menjadi projek utama bagi menentukan hala tuju keberkesanan terhadap usaha murni itu. Berucap sama di majlis tersebut ialah Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Ibrahim @ Mat Nor Abdul Rahman yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Turut hadir ialah Tengku Ampuan Bariah, Toh Puan Hajjah Zainab Awang Ngah Isteri Menteri Besar, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Haji Abu Bakar Chik, Pengerusi Jawatankuasa Hisbah Dan Tugas-Tugas Khas, Tun Dato’ Haji Mohd Salleh Abas dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dr Haji Sulaiman Abdullah.
Diterbitkan oleh : |