SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Tentera Indonasia gempur AchehBANDA ACHEH 19 Mei - Pesawat-pesawat perang tentera Indonesia melancarkan serangan roket ke atas kubu-kubu Gerakan Acheh Merdeka (GAM) di Acheh hari ini sebagai tanda bermulanya operasi ketenteraan besar-besaran untuk menghancurkan gerila pemisah tersebut. Serangan dilancarkan hanya beberapa jam selepas kegagalan rundingan damai di Tokyo dan perisytiharan darurat tentera di wilayah itu. Tentera Indonesia menyatakan, 458 askar payung terjun digugurkan dan 15 kapal perang dihantar ke Acheh untuk membantu 30,000 askar yang sudah pun berada di wilayah itu untuk `menyerang dan melumpuhkan' gerila pemisah. Operasi itu adalah yang terbesar pernah dilancarkan oleh tentera Indonesia sejak ia memasuki Timor Timur (kini Timor Leste) pada 1975. Rundingan di Tokyo berakhir dengan kegagalan apabila perunding GAM menolak tuntutan Jakarta supaya mereka meletak senjata, membatalkan perjuangan kemerdekaan dan menerima autonomi wilayah. Pejuang pemisah berikrar untuk menangkis sebarang serangan tentera dan meneruskan perjuangan menuntut kemerdekaan. Presiden Megawati Sukarnoputri menandatangani dekri lewat semalam untuk melancarkan perang di wilayah yang kaya dengan gas dan minyak itu dan mengenakan perintah darurat tentera. Dekri itu memberi kuasa meluas kepada tentera Indonesia melakukan penangkapan, mengenakan perintah berkurung dan menyekat perjalanan keluar masuk ke wilayah itu. Tentera menangkap lima pegawai kanan GAM sejurus selepas dekri itu dikeluarkan. Sehingga petang ini, belum ada laporan kematian daripada pihak pemisah manakala seorang askar marin Indonesia terbunuh ketika mendarat dengan payung terjun dalam keadaan cuaca buruk. Dalam serangan hari ini, pesawat perang Indonesia melancarkan tembakan roket ke sebuah kubu kuat gerila kira-kira 20 kilometer ke timur ibu kota wilayah, Banda Acheh, kata Mejar Jeneral Erwin Sujono. ``Operasi sudah bermula,'' kata Erwin di Banda Acheh. Sebanyak 15 kapal perang telah bergerak ke perairan dekat bandar Lhokseumawe, utara Acheh yang menjadi tumpuan ramai gerila pemisah. ``Kami sudah bersedia untuk menyerang hendap, membedil dan melumpuhkan pemberontak,'' kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Firdaus Kormano. Lebih 30,000 askar kerajaan kini berada di Acheh untuk memerangi kira-kira 5,000 gerila GAM yang serba kekurangan dari segi senjata. Serangan hari ini menandakan berulangnya konfrontasi ketenteraan selepas termeterainya perjanjian damai 9 Disember lalu antara Jakarta dengan GAM. Lebih 12,000 orang terbunuh dalam konflik tersebut sejak 1976. - Agensi
Diterbitkan oleh : |