Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Umno benar-benar tandus isu - Nik Aziz

KOTA BHARU, 15 Mei (Hrkh) - Tokoh veteran Umno, Tan Sri Hussein Ahmad dianggap ketandusan isu untuk membantu Umno Kelantan berdepan dengan PAS dan Barisan Alternatif (BA) pada pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemimpin Umno di negeri ini benar-benar ketandusan idea sehingga mengulang tayang isu yang serupa.

"Sebelum ini sudah acap kali mereka meminta saya meletak jawatan dan hari ini tokoh veteran pula cuba bercakap perkara yang sama. Ini seolah-olah menggambarkan Umno tidak ada modal lain lagi untuk berhujah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan tokoh veteran Umno, Hussein Ahmad meminta Tuan Guru Nik Abdul Aziz meletak jawatan kerana tidak berupaya lagi membawa perubahan kepada rakyat.

Menurutnya, Menteri Besar tidak mampu memimpin rakyat yang sudah banyak ditipu dengan janji palsu dan beranggapan pemimpin PAS itu lebih dihormati rakyat sekiranya memilih menjadi ulama daripada memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, pemimpin Umno terbabit seperti 'orang demam' apabila cuba memisahkan agama dan pentadbiran negara.

"Kerja politik bukan setakat hidup di dunia sahaja kerana ia akan mendapat pembalasan di akhirat kelak. Oleh itu, kita perlu mentadbir negara berteraskan Islam," katanya.

Ditanyai mengenai dakwaan Menteri Besar, Dato' Seri Adnan Yaakub kononnya PAS menjaja isu judi untuk kepentingan politik beliau berkata, perjuangan PAS bertujuan menegakkan kebenaran.

Katanya, penentangan terhadap kewujudan pusat judi baru di Bukit Tinggi adalah sebahagian perjuangan PAS untuk menegak amal makruf nahi mungkar.

"Tetapi apa yang menghairankan, negara ini pernah diisytiharkan oleh pemimpin utama negara sebagai 'Negara Islam' sedangkan tempat perjudian dibiarkan beroperasi.

"Ini menggambarkan mereka cuba memalsukan Islam dengan agenda tersendiri. Benda palsu bukan sahaja ada pada kad pengenalan, malah Islam juga cuba dipalsukan. Ini menggambarkan Islam cuba diolok-olok parti itu," ujarnya.

Beliau berkata, setiap negeri mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada premis judi boleh beroperasi atau tidak, biar pun lesen judi dikeluarkan kerajaan Pusat.

Menteri Besar Pahang semalam dilaporkan memberitahu kelulusan 250 lesen slot perjudian di Bukit Tinggi Resort di Bentong oleh kerajaan Pusat bertujuan menyelaras kegiatan perjuadian, khusus untuk pelancong asing dan rakyat bukan Islam.

Sebelum ini, Harakah mendedahkan Pahang kini dianggap sebagai Darul Kasino memandangkan satu lagi pusat perjudian diwujudkan di Bukit Tinggi, Bentong.

Menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Islam ala Umno boleh melakukan apa sahaja bagi kepentingan mereka, asalkan mendapat keuntungan material.

"Sekiranya PAS tidak kuat seperti sekarang, sudah tentu Umno boleh melakukan banyak lagi perkara-perkara yang bertentangan dengan agama.

"Oleh itu, PAS perlu diperkuatkan lagi untuk menjadi benteng bagi mempertahankan kedaulatan Islam di negara ini," tambahnya.(MJ)






______________________
Terbitan : 17 Mei 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com