Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

DUNIA DAN MANUSIA

Ismaily Bungsu

DUNIA ini dipenuhi oleh bermacam bentuk budaya perolahan manusia. Ada yang suka bermuka, mengampu, membodek sang ketua atau sang menteri tak terkecuali PM atau yang lebih tinggi. Tujuannya mahu kaut projek berjuta kalaupun tidak berbilion nilainya.

Ada yang suka mengata memfitnah sambil membawa cerita dari pejabat ke pejabat, lorong ke lorong secara murahan alias gila-gila sambil minta taukeh belanja di kedai kopi Cina atau restoran di kotaraya.

Yang suka bercakap secara sinis sambil tajam jelingan matanya, punya bibir seperti Jauyah kelihatannya memang ada. Bibirannya bukan main hebat. Mulutnya ada Setan dan Dajjal bertinggiran mencari mangsa untuk dikurapakkan tapi solatnya tak pernah tinggal/wahilulikuli humazatil lumazah. Neraka jahanam tempatnya. Itulah yang ngam buat yang memfitnah.

Tak kurang yang temberangnya bermacam-macam. Baru bergelar kontraktor kelas F yang layak korek lobang timbus lobang sudah pandu King Ninja atau Prado dan setelah sebulan dua kemudian tak ada projek segera ditarik oleh Bank kerana tak langsai hutang CCMnya. Akhirnya naik bas mini ke kotaraya. Baru padan muka.

Iya, orang sebegitu bicara berjuta-juta sambil sebar khabar konon mahu lawan YB tanding pilihanraya atau ketua bahagian sambil sikap menipunya tidak siapa bisa menewaskan, yang kemudian dunia ini semacam milik mereka semata seolah tiada siapa lagi hidup di dalamnya. Nah, dinasihati yang berkenaan tidak usah mengada-ngada atau menunjuk lagak bergaya macam orang kaya.

Saya perhatikan ada yang kala bercakap macam ahli falsafah laksana mengalahkan Tagore, Socrates atau Hamka yang memang bijaksana, tetapi ilmunya tak sehebat mana kerana bisa kita perhati lewat omongan melatah, kerana begitu kedapatan tak kuat membaca atau hanya sama tarafnya minda pemimpin kuno zaman batu.

Disamping itu ada yang mengaku bijak sangat kala menjadi ketua, padahal kualiti kerjanya bisa dipertikaikan sambil makan suap alias menerima rasuah dialah raja daripada segala raja hingga wang berjuta dalam bank. Iya, mereka itulah yang harusnya ditangkap oleh BPR. Iya, BPR yang harus melipatgandakan usaha kerja tanpa peduli si ikan jerung atau si bilis yang makan sisa di jalanan. Saya setuju kenyataan KM agar siasatan tak pilih bulu, baik dia rakyat biasa atau seorang menteri. Tahniah!

Yang nyata tak kurang ada yang bijak berbicara tentang politik, seolah dialah maha tahu segala hingga berbuihlah mulutnya, meski tak tahu makna dan definasi politik. Sering pula mencadang bermacam projek jalanraya, surau, parit dan segala macam. Kala diluluskan maka dia sendiri yang mengngap sendirian secara diam-diam yang akhirnya ada title OKB alias “Orang Kaya Baru”

Sesudah menerima title OKB, maka makan anginlah dia di Jakarta, Paris, Singapura, London, Hong Kong, Bangkok sambil bergunting rambut dan kikis-kikis kuku di sana seperti pemimpin zaman dulu yang disampingnya ada wanita jelita macam bidadari dari syurga meski poketnya bakal menangis akibat senyumnya bidadari.

Iya, begitulah orang kita atau “kita orang” kata Abu Bakar Ela yang wajah mereka selalu duduk di kedai kopi dan minumnya hanya secangkir tanpa roti tapi sembangnya berjam-jam yang menyebabkan taukeh tea tarik atau Cina terpaksa bermanis muka, meski tak suka kerana hanya secawan kopi jadi mangsa sambil nonton gusti yang ganas dan jahat pula budaya barat yang memuakkan selera saya adanya.

Nah, orang semacam yang saya perkatakan memang tidak boleh diharap sangat kerana selalu saja hasilkan kerja yang tak berketentuan. Kerja yang senang menjadi lintang pukang. Yang susah pula semakin hancur dan jadi korban. Makanya saya katakan dunia ini macam-mcam bentuk perolahannya, tetapi hairan bin ajaib manusia semacam itulah juga yang mendapat anugerah bintang cemerlang dan melintang yang disematkan setiap tahun di dada berjasa kononnya.

Sebenarnya manusia yang saya gambarkanlah perosak bangsa dan agama tanpa siapa mengetahuinya, tetapi jasa budayawan/penyair sasterawan Pak Shuhaibun Yussuf, Dg Salmah Salam atau K Bali dan Harun Hj. Salleh dilupakan hingga kedua-duanya kembali menemui Tuhan. Title Datuk hanya anganan meski mereka tidaklah mahu sangat title yang menjadi rebutan. Syukurlah yang saya saran di MBSS agar Ismail Abbas segera diberi pingat Datuk menjadi kenyataan. Terima kasih buat Datuk Sapawi yang bijak bistari. Diam tapi bekerja hingga ketemu yang dihajati.

Hairan bahawa orang yang menjadi perosak bangsa tetap dipuji setengah mati dan sombongnya menjadi serta terselamat pula, tetapi pasti ada balasan menanti. Hai! berhentilah bersandiwara membawa celaka seperti pemimpin Iraq kononnya alias katanya Amerika dan sebahagian orang Islam di mana-mana, tetapi saya tetap benci setengah mati kerana perang membunuh anak-anak dan warga tua serta perempuan lemah lagi bunting tak berdaya. Setan!

Memang kala jadi menteri, maka ramailah yang mengaku kononnya ada kaitan saudara alias sepupu meski sukunya tak sama. Iya, mereka lalu memujinya dan pujian itu melekat di langit. Kapan nanti tidak berkuasa maka akan segera menghindar memaling muka kala ketemu di jalanraya atau di pub atau di mana-mana saja tak terkecuali jackpot yang membikin melayu papa kedana serta merempat. Bagi saya tak apalah, tetapi yang menyakitkan hati hamba ialah mulutnya mula menghantar fitnah dan memburuk-burukkan menteri berkenaan. Lumrah manusia. Begitulah keadaannya resam dunia.

Biasanya yang mengampu, membodek atau suka memuji setengah mati akan segera menghampiri sambil suaranya penuh adab tunduk macam Jepun menyembah sang menteri yang baik hati. Memangpun ada yang baik hati dan tak kurang pula sombongnya setengah mati dan kala itu akan kita ketahuilah yang pujiannya melekat beku diam di langit seperti yang saya bilang sebentar tadi.

Yang tidak benarpun akan dibenarkan, disamping akan mengyeskan apa saja cadangan atau mahunya menteri yang saya maksudkan meski cadangan itu sebenarnya tidak relevan atau bakal membawa kesan bencana puaka. Begitulah sifatnya manusia. Iya, memangpun dunia ini dipenuhi oleh bermacam manusia yang bermacam juga bentuk budaya perangainya yang rata-rata semacam setan yang berkeliaran kala senjakala tiba di sisi kita.

Memang saya kepingin bicara soal Dunia dan Manusianya. Hari ini pula tiba waktunya. Iya, manusia yang selalu saja lupa asal usul dirinya segala. Kenapa? Sebabnya tentu saja saya amat tertarik kenyataan Imam Maliki yang sempat saya baca semalam. Maliki kata cinta keduniaan itulah katanya yang menjadi pokok daripada segala kesalahan dan kesusahan serta kemusnahan yang nanti mengheret ke neraka Jahanam. Memangpun benar sebab barang siapa saja cintanya lebih kepada dunia, maka tidaklah dapat dinafikan ia mungkin bakal membawa bencana yang bisa saja merosakkan.

Lalu bagaimana pula kenyataan Cario Goldoni? Bicara Cario memangnya memikat hati siapapun. Cario kata bahawa dunia ini bagaikan sebuah buku yang bagus, tetapi tidak ada gunanya bagi mereka yang tidak mahu membacanya. Memangpun ramai sangat kalangan kita tidak suka membaca. Nah, makanya Allah menurunkan ayat yang pertama di gua Hira iaitu ayat IQRA yang menyuruh kita membaca dan menghitung segala. Maksudnya supaya menjadi manusia yang bermaklumat dan ini juga disaran oleh YAB Perdana Menteri kita yang bijak tetapi dikata penghianat maha Firaun. Macam-macam kalau sudah tidak senang. Biasalah!

Kemudian cuba kita rujuk pula kenyataan Taragali yang menjelaskan bahawa dunia ini tidak lebih daripada sebuah jambatan bunga emas yang penuh berisi kalajengking, lipan atau ular berbisa dimana kenyataan berkenaan diperkuatkan pula oleh Charles G. Cotton yang mengharapkan kita jangan sekali-kali menganggap dunia ini sebagai sebuah rumah penginapan kerana ia bukan tempat hidup yang selesa, tetapi ia hanyalah sebuah rumah sakit atau bahkan sebuah tempat untuk mati. Titik.

Kenyataan-kenyataan yang disebutkan di atas memang ada benarnya sebab Schiller sendiri pernah berbicara bahawa dunia seringkali saja menyembunyikan hal-hal yang berkilauan bagai emas intan permata hingga dengan demikian ia akan menjerumuskan kita ke lembah yang hina dina jika nantinya dipuja-puja, tetapi bagi saya dunia ini diisikan oleh tiga perkara, iaitu berbuat, tidak berbuat dan berpura-pura.

Seingat saya Buckingham pernah mentafsir yang dunia ini katanya laksana sebuah mimpi di mana orang yang berada di dalamnya selalu saja tersesat jalan yang akhirnya hidup mereka tergantung di angkasa raya seperti kunang-kunang, meskipun berbagai-bagai jalan telah digunakannya oleh mereka dan kerana itu Shakespeare lewat karyanya pernah berbicara bahawa katanya alangkah penuhnya dunia ini dengan pekerjaan sehari-hari yang dilingkungi oleh belukar berduri dan kerana itulah juga Abu Darda menyatakan bahawa sesiapa saja yang tidak pernah puas terhadap dunia, maka tidak ada dunia baginya dan orang semacam itu bisa saja dikata tamak haloba, rakus dan tidak layak tinggal di dalamnya.

Ramai kalangan kita mahu menguasai dunia secara rakus atau tamak tanpa mempeduli apa kesannya. Lihat saja si George Soros misalnya atau seperti George Bush yang celaka dan merampok emas hitam di bumi Iraq. Di tempat kita pula ada orang asing berpakat mencuri balak milik kita bersama. Hutan dibongkar, rimba raya dicantas, sedang bebukit diruntuhkan dan semak hutan dara dihabisi, makanya kerana itulah Mahatma Gandhi berpesan bahawa jangan cuba menggenggam dunia sebelum diri kita digenggam oleh bermacam kesulitan, tetapi katanya letakkanlah dunia itu dalam telapak tangan kita sehingga kita dapat mengoncangkan sesuka hati kita.

Dalam beberapa hal benarlah kata Goethe bahawa jaringan dunia ini terjalin daripada keharusan dan kemungkinan dan sesungguhnya akal manusialah yang dapat menempatkan dirinya di antara kedua-duanya dan ia mengetahui bagaimana mengaturnya.

Kalau tidak silap Shakespeare pernah menjelaskan bahawa dunia ini lebih kurang sama seperti pentas dan manusia seperti kita inilah adalah para pelakunya yang bodoh dan bijaksana dan kelihatannya kenyataan Mackrenzie tak kurang hebatnya kerana dia memberitahu bahawa dunia ini bagi ahli falsafah adalah sebuah rumah orang-orang gila yang besar dan hebat, sementara Imam Ghazali ikut berbicara bahawa dunia ini adalah penjara yang luas menyeksakan tanpa adanya akal yang bertindak berdasar agama dan manakala John Holmes pernah berkata yang dunia ini tidak jahat dan tidak pula bersahabatan tetapi ia hanya masa bodoh untuk santai.

Bagi saya dunia ini hanyalah tempat kita bermusuhan kerana di dalamnya penuh dengan kepalsuan dan kepura-puraan kerana seperti yang kita lihat bahawa manusia dalam dunia ini senantiasa saja mementingkan diri sendiri sambil seringkali saja mencatas kehidupan selesa orang lain di sekitar akibat selalu saja lupa asal usul yang datangnya dari desa nun jauh terpencil di pedalaman.

Nah, lalu untuk apa kita mahu berkelakuan sombong, takbur, temberang, angkuh dan segala macam sesama kita kala matinya tak membawa apa-apa kecuali yang tinggal demi membantu kita ialah tiga hal. Maksud saya amal, anak yang soleh dan ilmu pengetahuan yang telah disebarkan?

Walau bagaimanapun saya tertarik sangat akan kenyataan Schiller bahawa katanya yang terpenting di dunia ini bukanlah di mana kita diam tetapi ke mana kita akan pergi dan terakhir barangkali perlu kita soroti nasihat Kong Fu Tsu bahawa katanya pelajarilah jasad raya, jangan kecewa kalau dunia tidak mengenal kita, tetapi kecewalah apa bila kita tidak mengenal duniaYang terakhir cuba saja renungi pula sabda nabi junjungan kita yang menjelaskan bahawa hidup kita di dunia ini ibarat orang yang merantau yang sedang menyebarang jalan. Memangpun, kerana tersilap merantau atau tersalah menyeberang jalan, maka kita bakal menabrak atau nantinya ditabrak dan kesannya bakal mati ampai-ampai.






______________________
Terbitan : 19 Mei 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com