Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Pertembungan antara iman dan kufur

Pertembungan yang paling tua dalam sejarah hidup manusia adalah pertembungan antara iman dan kufur. Pertembungan ini akan berterusan sehinggalah ke hari kiamat. Walaupun setelah khilafah Islamiyyah itu tertegak, pertembungan ini akan sentiasa wujud. Kerana pertembungan inilah, jihad di jalan Allah sentiasa relevan sampai bila-bila. Barangsiapa yang menganggap jihad itu telah tiada tempat di dunia serba moden ini, maka sesungguhnya dia mempunyai fahaman yang salah.

Pertembungan iman - kufur ini bermula dari zaman nabi Adam a.s. Ini telah diceritakan oleh Allah swt dalam surah al-Maidah, dari ayat 27-32.

"Bacalah (Ya Muhammad) kepada mereka akan cerita yang sebenarnya tentang dua orang anak Adam (yang bernama Qabil dan Habil) iaitu ketika keduanya mempersembahkan korban (kepada Allah), maka yang seorang dari keduanya (Habil) diterima korbannya, sedang yang (Qabil) tidak diterima korbannya - sebab itulah Qabil marah kepada Habil - seraya berkata:"Nescaya kubunuh engkau!" (Habil) menjawab: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa (memeliharakan dirinya dari kejahatan)."

"Kalaulah tanganmu engkau lepaskan (memukul) untuk membunuh aku, tiadalah pula aku lepaskan tanganku untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Tuhan seru sekalian alam."

"Aku ingin supaya engkau memikul dosa kerana membunuh aku dan dosa engkau sendiri, engkau akan menjadi penduduk neraka, dan itulah balasan orang-orang yang zalim (aniaya)."

"Tetapi kemahuan nafsu Qabil menyuruh bunuh saudaranya maka terus dibunuhnya. Maka jadilah dia daripada orang-orang yang rugi."

"Kemudia Allah kirimkan seekor burung gagak menggali tanah memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana dia menimbus mayat rakannya. (Melihat itu, Qabil) berkata: "Aduhai malangnya nasibku! Adakah aku ini lemah, tidak dapat berbuat seperti burung gagak itu, supaya kutimbus pula mayat adikku?" Maka jadilah Qabil dari golongan orang-orang yang menyesal."

"Oleh kerana itu, telah Kami (Allah) tetapkan kepada anak-anak Israel, iaitu barangsiapa membunuh seorang manusia dengan tiada kesalahan (tersebab membunuh) atau berbuat bencana di muka bumi, maka seolah-olahnya dia telah membunuh manusia seluruhnya. Barangsiapa memelilhara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olahnya dia telah memelihara kehidupan manusia seluruhnya. Dan sesungguhnya telah datang rasul-rasul Kami kepada mereka membawa keterangan-keterangan, tetapi mereka sesudah itu kebanyakan mereka sememangnya melampau di muka bumi."

Kerana itulah, zalim itu dita'trifkan juga sebagai tidak meletakkan sesuatu yang haq di tempatnya. Tidak bersolat, tidak berpuasa, tidak membayar zakat, membuka aurat di khalayak, meminum arak dan sebagainya juga adalah kezaliman. Malah, menolak hukum Allah untuk dilaksanakan dalam sistem perundangan juga merupakan kezaliman yang besar. Dalam ayat-ayat yang lain juga, Allah telah memperingatkan, golongan yang menolak hukum Allah merupakan sama ada golongan yang zalim, fasik dan kafir.

Assyahid Abdullah Azam ada menyatakan, "Mengatakan solat Subuh itu 3 rakaat adalah sama dengan mengatakan hukuman bagi pencuri adalah penjara." Mengatakan solat Subuh itu 3 rakaat bererti menolak kefardhuan yang ditetapkan. Tidak melaksanakan hukum-hukum Allah dengan sengaja juga bererti menolak kefardhuan.

Bermula kekufuran Qabil bila mana dia menolak hukuman Allah pada waktu itu yang tidak membenarkan perkahwinan sesama adik-beradik kembar. Maka, dengan penolakan salah satu hukum dari hukum-hukum yang ada, dia berterusan membuat kerosakan di muka bumi. Malah, Allah juga menggambarkan Qabil ini tidak menyesal membunuh adiknya, Habil. Dia hanya menyesali kebodohannnya bersusah payah memikul mayat ke sana ke mari, sedangkan perbuatan membunuh itu dia tidak menyesalinya. (Tafsir Ahmad Sonhadji, m/s 1002.)

Orang-orang yang zalim ini, Allah akan tunjukkan balasan jahat sejak di dunia lagi. Allah telah menghina Qabil dengan menghantar gagak untuk mengajarnya menanam mayat adiknya. Allah telah menghina Namrud dengan seekor nyamuk. Allah telah menghina Firaun dengan air. Allah telah menghina Abrahah dengan burung-burung. Seperti mana yang kita lihat, orang yang zalim akan secara automatik menyerlahkan kebodohan dan kehinaan mereka sendiri. Kamal Attarturk dihinakan dengan kematiannya yang amat sukar.

Allah swt juga didalam al-Quran tidak menyebutkan nama Qabil mahupun Habil. Ini menunjukkan bahawasanya watak orang beriman (Habil) dan watak orang yang kufur (Qabil) itu sentiasa berterusan sehinggalah kiamat. Adik-beradik sanggup berbunuhan semata-mata berebutkan harta warisan. Ibu dan anak lelaki sanggup berzina sesama sendiri. Ini semua merupakan pengulangan-pengulangan sejarah yang mana telah Allah ceritakan dengan penurunan Al-Quran.

Kita sebagai manusia, hanya ada dua pilihan. Iman atau kufur. Sekiranya kita tidak mahu jalan orang-orang beriman bermakna kita memilih jalan kekufuran. Tidak ada jalan pilihan lain selain iman atau kufur kerana Allah hanya menciptakan syurga atau neraka bagi kita. Sikap berkecuali bukanlah sikap yang terbaik dalam sesuatu isu.

Ada manusia yang tidak mahu terlibat dalam kekalutan isu politik misalnya. Kerana dianggapnya ia akan membawa kepada perpecahan yang besar. "Melayu mesti bersatu, PAS dan UMNO marilah duduk semeja!" Tetapi adakah itu menjamin ketuanan Islam akan ditegakkan? Ada diantara kita lebih gemar mempertahankan ketuanan Melayu dari ketuanan Islam itu sendiri. Kita lebih suka mengejar redha manusia dari redha Allah swt. Nabi Muhammad saw juga difitnah sebagai pemecah belah masyarakat semasa menyebarkan risalah Islam kerana dikatakan menggugat ketuanan Arab.

Sepertimana ditulis oleh Robert Frost, "I shall be telling this with a sigh, Somewhere ages and ages hence; Two roads diverged in a wood, and I-, I took the one less traveled by, And that has made all the difference."

Hari ini seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar perdana, Menteri yang kununnya tahu semua undang-undang menyarankan agar sistem perundangan Islam diseragamkan. Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mewujudkan Undang-Undang Keluarga Islam yang seragam di semua negeri.

Satu usaha yang baik ke arah memartabatkan undang-undang Islam. Tapi sebenarnya ia masih belum cukup sekalipun ianya terlaksana. Kerana dasar perundangan Malaysia adalah sekular. Sekadar menyelaraskan undang-undang keluarga, tetapi perundangan Islam yang lain berkaitan jenayah, riba, zina, judi dan sebagainya masih diketepikan. Islam itu bukan umpama pengiraan matematik, 5-1= 4. Tetapi Islam itu dikira sebagai, 5-1=0.

Bila saya terlibat dalam mana-mana borak-borak,diskusi, seminar menngenai perundangan Islam, ia pasti akan berbalik kepada satu kesimpulan. Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda menjadi, "Mana-mana undang-undang yang diluluskan selepas merdeka, yang bertentangan dengan Al-Quran & Al-Sunnah, maka ia menjadi batal."

Namun, sehingga hari ini, tidak ada usul pindaan terhadap artikel tersebut dilakukan. Pindaan Artikel 4 itu merupakan langkah pertama dan langkah terbaik untuk memastikan Islam yang memerintah dan bukan Islam yang diperintah. Kita ada 2 jalan dalam hal ini, sama ada mengekalkan status quo yang ada atau memilih pihak yang serius melaksanakan Islam. "And that has made all the difference."

Wallahu'alam.






______________________
Terbitan : 15 Mei 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com