SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Memupuk Perpaduan Masyarakat Melalui Tarbiyah dan Kefahaman IslamWahai hamba-hamba Allah saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri supaya bertaqwa kepada Allah dengan mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya, sesungguhnya telah berjayalah orang yang bertaqwa. Dan bersedialah dengan bekalan yang cukup kerana sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah bertaqwa kepada Allah. Sidang Jumaat sekalian, Perpaduan merupakan salah satu ajaran Islam yang penting dan juga sebagai asas bagi kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Firman Allah dari surah Al-Imran ayat 103 yang bermaksud: "Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan maka Allah menjinakkan hati-hati kamu, lalu kamu menjadi bersaudara kerana nikmat Allah." Allah memerintah semua orang-orang mukmin supaya bersatu padu berdasarkan agama Islam dan janganlah berpecah walaupun sedikit. Perpaduan yang dibentuk oleh Rasulullah s.a.w. dan ditunjukkan oleh sahabat baginda merupakan contoh yang terbaik untuk diikuti. Mereka hidup seperti satu jasad. Inilah perpaduan yang dikehendaki oleh Allah S.W.T. Firman Allah dari surah Al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang mukmin semuanya bersaudara." Sidang Jumaat sekalian, Kita hendaklah sedar bahawa perpaduan yang sebenar ialah perpaduan sebagaimana yang dibina oleh Rasulullah s.a.w. Perpaduan ini terhasil melalui dua perkara penting: Pertama: Tarbiyah dan kefahaman terhadap ajaran Islam yang sebenar. Para sahabat r.a. telah ditarbiyah oleh baginda Rasulullah s.a.w. secara bersepadu dalam bentuk akidah, akhlak, ilmu dan amal, cintakan akhirat, berani, tegas dan patuh kepada perintah Allah. Sayidina Umar r.a. ketika jahiliyah merupakan seorang manusia yang ganas, bengis dan tidak berakhlak, apabila beliau memeluk Islam dan dididik melalui tarbiyah Nabi Muhammad s.a.w. maka ia menjadi seorang wira yang paling berwibawa. Menjadi bapa perpaduan di kalangan kaum Arab di waktu itu, walaupun sebelum Islam beliau telah dicaci dan dihina di atas sifat-sifat jahiliyahnya. Hasil daripada tarbiyah Nabi Muhammad s.a.w. inilah bersatunya dua kabilah besar di Madinah (Aus dan Khazraj), yang dahulunya puluhan tahun berperang di antara satu sama lain. Dua kabilah ini bersatu bukan kerana takut atau tunduk kepada senjata dan tekanan, tetapi mereka faham terhadap ajaran Islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Mereka dapat melupakan permusuhan yang begitu panjang sebelum ini. Itulah perpaduan yang sebenar dan telah terbukti kepada manusia. Semuanya ini melalui proses tarbiyah madrasah Rasulullah s.a.w. Dalam proses tarbiyah, orang-orang Islam akan diuji oleh Allah di sepanjang masa. Bentuk ujian telah pun dinyatakan oleh Allah. Dalam firmannya dari surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud: "Dan sesungguhnya kami telah mencuba kamu dengan sedikit ketakutan, lapar, kekurangan harta benda, jiwa dan buah-buahan. "Sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." Perkara yang pasti dihadapi oleh mereka yang beriman ialah takut, lapar, kekurangan harta benda, dan terhadap diri. Inilah bentuk ujian sebagai tarbiyah daripada Allah, diwaktu yang sama mereka diperintah supaya memupuk perpaduan yang sejati di kalangan umat. Perkara kedua: yang mesti dilalui ialah kefahaman Islam yang sebenar kerana tanpa tasawwur Islam yang sebenar umat Islam tidak akan mampu untuk bersatu padu. Umat Islam hendaklah memahami Islam dengan jelas seperti mana yang difahami dan diajar oleh Nabi s.a.w. Islam agama yang syumul dan sempurna merangkumi semua perkara yang berhubung dengan diri, masyarakat, negara serta hubungan antara bangsa.
Saudara kaum muslimin sekalian, Perpaduan tidak akan tercapai dengan harta benda, kerana sifat manusia tidak pernah cukup dengan kebendaan. Oleh kerana itulah Nabi s.a.w. tidak membawa sebarang benda untuk menyatukan manusia, tetapi dengan berbekalkan mukjizat dan wahyu dariapda Allah, Nabi s.a.w. dapat menyatukan umat diwaktu itu dengan begitu kuat dan mantap. Rasulullah s.a.w. mentarbiyah dan memberi faham kepada manusia dengan agama dan ajaran daripada Allah. Firman Allah dari surah Al-Anfal ayat 63 yang bermaksud: "Jikalau kamu membelanjakan semua harta kekayaan yang ada di atas muka bumi ini, nescaya kamu tidak mampu menyatukan hati-hati mereka. Tetapi Allah yang menyatukan hati-hati mereka, sesungguhnya dia maha perkasa lagi bijaksana." Sepatutnya umat Islam sudah cukup dengan apa yang dinyatakan oleh Allah, tetapi amat malang umat Islam pada hari ini tertipu dengan arus dunia yang begitu kuat. Kenyataan dan janji Allah kurang mendatangkan apa-apa kesan berbanding janji dunia yang dibuat oleh manusia, kerana hati mereka tidak menerima tarbiyah yang sebenar dan tidak memahami Islam secara syumul. Apabila umat Islam tidak memahami Islam dalam erti kata yang sebenar, maka mereka telah melakukan satu kesilapan besar dengan meletakkan kepercayaan dan menyerahkan amanah kepada musuh Islam di dalam menyelesaikan masalah umat dan bumi Islam. Apabila mereka percaya dan menganggap sama sahaja, bahkan mempercayai musuh-musuh Islam lebih daripada orang Islam sendiri, sudah tentu musuh-musuh Islam akan mengambil peluang daripada suasana ini dengan memecah belahkan umat Islam sehingga umat Islam tidak lagi mempercayai sesama sendiri seterusnya bermusuhan di antara satu sama lain. Oleh itu marilah kita merenung firman Allah dari surah al-Imran ayat 28 yang bermaksud: "Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian, maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apa pun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (golongan yang kafir itu). Dan Allah memerintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali." Allah S.W.T. dengan jelas melarang orang-orang beriman meletakkan kepercayaan terhadap musuh Islam, tetapi ada di kalangan pemimpin-pemimpin umat Islam dan sebahagian umat Islam di dunia sendiri kurang memahami ajaran Allah itu. Ada di antara mereka melihat perkara ini hanyalah satu perkara yang kecil sahaja sedangkan inilah punca yang menentukan sama ada bersatunya umat Islam atau berkecainya perpaduan mereka. Oleh itu kita hendaklah sedar dan insaf di atas kelalaian kita selama ini.
Diterbitkan oleh : |