Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Pelaburan ASDI dan solat sunat berjamaah

Soal Jawab bersama dengan Mufti Negeri Terengganu

Ada orang berkata Abu Talib ( bapa saudara Rasulullah ) beriman dengan Rasulullah di akhir hayatnya. Adakah betul pendapat tersebut?– Hasyim Taib, Kuala Lumpur.

Sejauh yang saya ketahui bahawa Abu Talib tidak beriman kepada Rasulullah. Ketika dia sakit hampir-hampir mati, Rasulullah s.a.w. masih lagi berdakwah dan memintanya supaya mengucap dengan kalimah tauhid.

Abu Talib tetap dengan pendiriannya kekal di dalam agama nenek moyangnya sekalipun dia merupakan orang yang paling kuat mempertahankan dan membantu Rasulullah daripada kejahatan Quraisy Makkah.

Berdasarkan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim jelaslah bahawa Abu Talib tidak beriman sampai ke akhir hayatnya. Sila rujuk kitab-kitab tafsir seperti Ibnu Kathir dalam mentafsirkan ayat 56, surah Al-Qasas.

 

Apa pendapat tuan mengenai melabur di dalam Amanah Saham Darul Iman (ASDI). Adakah boleh dikira pelaburan halal atau sebaliknya?– Pelabur musykil, Kuala Terengganu.

Maklumat yang ada pada saya bahawa ASDI mempunyai beberapa orang panel syariah yang sentiasa memantau pelaburannya supaya tidak bercanggah dengan kehendak Islam.

Berdasarkan kepada itulah saya mengatakan bahawa melabur dalam ASDI tidak bercanggah dengan kehendak Islam kerana semua pelaburannya berlaku di dalam perniagaan-perniagaan yang dibenarkan di dalam Islam.

 

Satu daripada anggota sujud ialah dahi, sah atau tidak sembahyang seseorang yang sujud di dalam keadaan dahinya berlapik?– Mohd. Zainudin Abdullah, Kemaman.

Berdasarkan kitab-kitab fekah dalam Mazhab Imam Syafie bahawa tidak sah sembahyang seorang yang sujud di dalam keadaan dahinya berlapik iaitu kulit dahinya tidak mengenai tempat sujud.

Demikian juga tidak boleh sujud di atas sesuatu yang ditanggungnya bergerak serta pergerakannya di dalam sembahyang ketika berdiri, duduk dan seumpamanya, seperti sujud di atas hujung serban atau tangan bajunya.

Semuanya batal sembahyang kalau tahu haramnya.

 

Ingin mendapat penjelasan tuan mengenai seorang perempuan yang hafaz Al-Quran, bolehkah ia membaca al-Quran di dalam keadaan haid dan bolehkah seseorang hafiz menyentuh al-Quran tanpa wudhu’?– Khadijah Jusoh, Hulu Besut.

Mengikut pendapat yang sahih di dalam Mazhab Syafie adalah haram membaca al-Quran di dalam masa haid sama ada dia seorang pelajar al-Quran atau tidak. Demikian juga menyentuh al-Quran tanpa wudhu’, diharamkan sama ada dia seorang hafiz atau tidak.

 

Adakah masih wujud ahli bait ( keturunan Nabi s.a.w. ), seandainya masih wujud apakah keistimewaan mereka dan apakah nasihat Nabi s.a.w. kepada mereka? Bagaimanakah kita hendak mengenali mereka itu?– Ingin tahu, Kuala Ibai.

Ya, mereka masih wujud semenjak zaman Nabi s.a.w. sehinggalah ke akhir zaman, berketurunan Nabi dari Siti Fatimah melalui Hassan dan Hussin, anak kepada Ali bin Abi Talib. Mereka tidak dibenarkan makan dari hasil zakat.

Tentulah ada keistimewaan golongan ini, tetapi yang paling mustahak ke atas mereka merealisasikan ajaran Islam dengan sebaiknya sebagaimana yang diajar oleh Nabi s.a.w. kerana itu mereka didoakan di dalam solat ketika menyebut ‘Allahhumma solliala Muhammad Wa’ala Ali Muhammad’.

‘Ali Muhammad’ itu ialah keluarga Nabi s.a.w. Pengenalan keluarga ini secara jelas tidaklah dapat dilihat melalui bentuk wajah atau rupa tetapi ada di antara petunjuknya iaitu mereka mempunyai susur galur keturunan yang sahih dari mereka hingga kepada Nabi s.a.w. Mereka dikenali dengan Syed atau Syarifah yang memang dinamakan berdasarkan keturunan yang sahih.

 

Saya keliru dengan masalah sembahyang sunat yang kebiasaannya dikerjakan secara bersendirian seperti sembahyang sunat hajat, sembahyang tahjud dan lain-lain. Bolehkan sembahyang tersebut dibuat secara berjamaah?– Zaid Omar, Setiu.

Seperti yang diketahui, umum sembahyang-sembahyang sunat tidak disyariatkan berjamaah, kecuali sembahyang gerhana, sembahyang minta hujan, sembahyang sunat tarawih dan witir berikutnya. Semua sembahyang tersebut dikerjakan secara berjamaah lebih afdhal.

Adapun sembahyang sunat yang lain tidak disunatkan berjamaah tetapi kalau dikerjakannya secara berjamaah adalah harus dan tidak dikatakan makruh. Sila lihat kitab al-Majmu’, juzuk 3, halaman 548.

 

Baru-baru ini saya mengerjakan puasa sunat Syawal. Setelah berbuka puasa saya teringat bahawa saya terpasang niat mengerjakan puasa sunat Idulfitri. Adakah sah puasa yang saya lakukan itu?– Mohd. Syukri Abdul Muin, Kuala Terengganu.

Seperti yang sedia maklum puasa diharamkan pada hari-hari tertentu termasuk Idulfitri, yang bertanya pun maklum tentang hal ini. Tidak terdapat puasa sunat Idulfitri, bila berpuasa pada bulan Syawal dengan sendirinya saudara tidak berpuasa pada hari raya Idulfitri.

Oleh sebab itu puasa itu sah sebab dikerjakan pada hari yang dibenarkan berpuasa tambahan pula saudara memang berhajat untuk berpuasa enam. Yang berlaku hanya kesilapan pada zahirnya sahaja. Tujuan sebenarnya sudah tercapai iaitu berpuasa enam hari di dalam bulan Syawal.

 

Bagaimanakah cara pengiraan hari bermusafir itu, adakah lima hari termasuk hari berlepas dan bertolak itu untuk keseluruhan perjalanan?– Haji Othman Tahir, Kemaman.

Orang yang bermusafir dibenarkan qasar sembahyang selama ia berada di dalam musafir, bila sampai ke tempat yang dituju maka pada hari itu masih lagi dikira bermusafir dan begitu juga tiga hari berikutnya (tidak dikira hari sampai dan hari berlepas meninggalkan tempat itu).

Satu perkara yang perlu diketahui mengqasarkan sembahyang atau jama’ dibenarkan di dalam musafir yang diharuskan oleh Islam.

 

Bila saya sampai ke masjid para jamaah sedang di dalam tahiyyat akhir beberapa orang sedang berwudhu’. Saya menunggu mereka untuk berjamaah dengannya. Setelah Imam memberi salam maka ada makmum yang masbuq bangun menyempurnakan sembahyangnya, datang seorang berjamaah berimamkannya. Adakah saya harus menyertai mereka ataupun membentuk jamaah yang lain? Adakah pahala jamaah dikira sebaik sahaja kita mengikut Imam?– Burhanudin Ibrahim, Besut.

Saudara bebas memilih sama ada ingin menyertai jamaah berimamkan dengan jamaah yang sudah ada atau menunggu untuk membentuk jamaah baru setelah selesai jamaah yang terdahulu. Pahala berjamaah dikira sebaik sahaja bermulanya sembahyang berjamaah.

Makmum yang bersama imam dari awal sembahyang hingga ke akhirnya tentulah lebih besar pahalanya berbeza dengan makmum yang datang kemudian dan tidak bersama dengan imamnya di dalam beberapa rakaat.

 

Saya bermastautin di Kemaman dan bermukim di Shah Alam, bila saya musafir dan sampai ke Shah Alam bolehkah saya mendapat rukhsah (keringanan) untuk sembahyang jama’ dan qasar?– Rohaya Abdul Rahim, Shah Alam.

Ya, saudari masih mendapat rukshah untuk sembahyang jama’ dan qasar di Shah Alam dalam tempoh tiga hari tidak termasuk hari tiba dan hari berlepas pulang.






______________________
Terbitan : 15 Mei 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com