Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Pasal marah dan perompak

Nampaknya Pengarah Eksekutif MTEN, Dato’ Mustapa Mohamed marah benar bila ada kalangan kakitangan kerajaan dan pihak tertentu mendakwa pemberian bonus setengah bulan oleh kerajaan sebagai ‘ rasuah politik ‘. Lantas sebagai memenuhi nafsu kemarahannya beliau mencabar kakitangan kerajaan yang mendakwa bunos itu sebagai rasuah politik supaya memulangkannya dan kerajaan sedia menerimanya semula.

Sebagai ‘orang tua ‘ dan diangkat pula sebagai pemimpin tertinggi, sepatutnya kata-kata macam itu tidak keluar dari mulut beliau. Nampak sangat macam tabiat ‘ budak-budak ‘ semasa main guli. Bila dah kalah, ajak pula berkelahi. Bila kawan yang diajak berkelahi itu tak mahu, dia pun membebel minta main guli diadakan semula untuk menentukan siapa sebenarnya ‘ hero ‘ main guli!.

Kakitangan kerajaan selain dari negeri Kelantan melihat tindakan Tok Pa itu semata-mata untuk memenuhi kehendak perasaan marah dan supaya dianggap sebagai ‘ orang berani mencabar orang ‘ . Kalau Tok Pa boleh cabar kakitangan kerajaan, mereka juga boleh mencabar semula supaya beliau letak jawatan , kerana Tok Pa pegang jawatan macam-macam sekarang semata-mata kerana ‘ anugerah ‘ pemimpin tertinggi Umno dan bukan kerana sokongan dan pilihan dari rakyat .Rakyat negeri Kelantan tentu lebih paham tentang tabiat-tabiat Tok Pa ni. Bak kata orang tua-tua sudah jadi ‘ teman sekelambu ‘ apa yang tidak tahu tentang tabiatnya !. Sebab itu Tok Pa terguling………….

Tentang laporan ketua Geng 24 , See Sat Tuan, 34 yang berjaya ditangkap polis baru-baru ini di kasino Genting Highland , kakitangan kerajaan melihat peristiwa tersebut sebagai ‘mengesahkan’ lagi dakwaan parti pembangkang di Malaysia bahawa pusat judi dan juga tempat yang seumpama dengannya, sebagai punca kepada segala kerosakan moral dan keamanan. Kerana itu kebanyakan mereka lebih suka menyokong pendapat dan minat kepada parti pembangkang. Sementara itu pemimpin kerajaan yang memerintah pula lantas bertindak segera mengadakan berbagai-bagai jenis sekatan termasuk mewujudkan ikrar aku janji , supaya sokongan itu dapat dihapuskan segera.

Macam mana kakitangan kerajaan tak ‘ pening kepala ‘ apabila naluri mereka disekat dengan cara tidak demokrasi sebenarnya. Sudahlah begitu, mereka ‘ digula-gulakan’ pula denga perbuatan yang mereka sudah tahu apa tujuan sebenar pemberinya. Sebab itulah boleh lahir dakwaan macam-macam wahai Tok Pa……..

AWANG DALANG.






______________________
Terbitan : 9 Jun 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com